Solidariti Farah Lee di KLIA guna baju-T putih sebagai hijab dianggap kurang sesuai, bukan darurat


  • Gaya
  • Rabu, 08 Okt 2025

Baju-T putih dijadikan sebagai hijab sebagai simbol sokongan dan kasih sayang terhadap delegasi wanita Muslim. — Instagram/Farah Lee

PARA aktivis Malaysia terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza kini dilihat tidak berputus asa melantangkan suara tentang keganasan yang berlaku.

Meskipun dihalang untuk memasuki tembok Gaza, pempengaruh media sosial, Farah Lee menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menunjukkan solidariti.

Menerusi hantaran dikongsikan Farah baru-baru ini, sebuah program solidariti di bawah anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Fl. Childirity dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

BACA LAGI: Hero-hero Malaysia selamat tiba di KLIA, disambut ratusan hadirin

BACA LAGI: Keluarga jadi sumber kekuatan, 2 beradik berani berhutang lebih RM350,000 buka bisnes organik dari rumah

Poster program solidariti dengan pemakaian baju-T putih sebagai hijab. — Instagram/Farah Lee

Lebih menarik perhatian apabila program tersebut menetapkan gaya dan pakaian yang perlu dikenakan oleh para penyokong terutama golongan wanita.

Orang ramai diseru untuk mengenakan baju-T putih sebagai hijab sepanjang program berlangsung.

"Rejim Zionis sangka mereka sudah menjatuhkan maruah wanita Muslim.

"Tetapi mereka lupa, selagi ada sehelai benang pada tubuh, wanita Muslim akan tetap berusaha menutup auratnya dengan penuh harga diri.

"Tindakan mereka tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya menjadi modal untuk kita bersoladiriti.

"Mari kita sama-sama penuhi KLIA dengan berpakaian baju-T putih sebagai simbol hijab, tanda sokongan dan kasih terhadap delegasi wanita Malaysia serta wanita-wanita di Palestin yang terus berjuang dalam penindasan," serunya.

 

 

 

 

Walaupun ramai yang menyokong, namun masih ada segelintir masyarakat berpendapat bahawa pakaian tersebut mampu mengundang salah faham terhadap konsep menutup aurat.

"Maaf tidak setuju, pakai sebab darurat dah dijadikan trend pula," komen @fadilafazarul.

Manakala, pengguna akaun @fatin_nurkasih pula menyarankan agar wanita Muslim mengenakan pakaian sopan dengan menggunakan kain hijab atau tudung.

"Jangan sampai begitu, ada tudung yang sempurna lebih baik. Ada cara lain untuk bersolidariti.

"Jangan normalisasikan perkara yang tidak patuh syariah di saat bukan darurat," jelasnya.

Sementara itu, seramai 23 aktivis Malaysia selamat mendarat di KLIA, Sepang pada Selasa malam.

Mereka yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum itu berlepas dari Istanbul, Turkiye, disambut ratusan orang ramai yang menunggu di Terminal 1 KLIA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram