
MESKIPUN memiliki kelayakan profesional sehingga ke peringkat ijazah sarjana (master), namun ia tidak menjadi masalah bagi pempengaruh dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagramnya pada Rabu, Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, 33, mengenang semula detik ketika beliau baru bergelar ibu tunggal selepas bercerai pada 17 Ogos 2016 dengan personaliti TV, Ally Iskandar.
Farah yang mengusahakan sebuah perniagaan buah-buahan ketika itu berdepan kesukaran mencari wang sewaktu dalam fasa tersebut, ditambah pula dengan tanggungjawab sebagai mahasiswa di sebuah universiti di United Kingdom.
BACA LAGI: ‘Kerja dapur bukan untuk perempuan saja’, majoriti sokong ibu bapa didik anak lelaki bantu sekali
BACA LAGI: Dua pelajar wanita Malaysia cipta sejarah, raih tempat di Kolej Harvard
"Hari ini sambil bungkus tempahan, saya syahdu sikit mengenangkan kesusahan mencari duit, terutamanya semasa awal-awal jadi ibu tunggal dan sambung master di UK," tulis Farah.
Meskipun pernah mengalami detik sukar itu, Farah menzahirkan kesyukuran atas kestabilan kewangannya kini.
Justeru, ibu kepada seorang anak itu memilih untuk terus berusaha dan melakukan pelbagai kerja walaupun ada yang menganggapnya 'tidak setaraf' dengan kelayakan akademiknya.
"Alhamdulillah, kewangan saya stabil tetapi saya rasa masih ada ruang untuk saya usaha lebih dengan buat kerja-kerja yang saya mampu lakukan.
"Walaupun pada standard mata orang yang lihat kelayakan dimiliki saya, mungkin (mereka) rasa benda-benda yang saya buat ini," katanya.
Dalam hantaran yang disertakan dengan gambar bungkusan tempahannya, dia turut mendedahkan rancangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD).
"Kalau orang tengok kelayakan aku, mesti rasa macam kenapa dia ni 'sesak' sangat siap buat bisnes buah pula.
"Tetapi aku memang sejenis suka usaha sendiri dan tidak segan buat apa-apa kerja pun, asalkan kerja itu tidak menganiaya orang lain dan halal," ujarnya.
Dalam pada itu, Farah juga berhasrat untuk berkongsi rezeki dengan lebih ramai orang melalui perniagaannya.
"Ni pun aku rancang nak ada ramai ejen supaya dapat kongsi rezeki dengan orang lain walaupun mungkin keuntungan akan berkurangan," kata Farah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram