Inisiatif Syed Saddiq, Rafizi bukti usaha demi kumpul dana tanpa perlu jawatan Exco, menteri


  • Massa
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Syed Saddiq (kiri) dan Rafizi membuktikan kesungguhan meraih dana demi kawasan Parlimen masing-masing.

INISIATIF Fleximart diperkenalkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mula beroperasi pada Sabtu menerima sambutan hangat daripada orang ramai.

Ini kerana produk ditawarkan adalah jauh lebih murah berbanding lokasi lain seperti harga kon aiskrim yang ditetapkan pada RM1 sementara gandingan mi kari dan pilihan jus dijual serendah RM5.

Menurutnya, Fleximart yang dibuka di Shah Alam, Selangor itu merupakan langkah diambil untuk mengurangkan beban ekonomi harian dengan barangan runcit turut disediakan.

BACA LAGI: Rafizi, Wong Chen terima ancaman berhubung video lucah, peras ugut RM470,000

BACA LAGI: Polis siasat dakwaan individu ternama terlibat serang anak Rafizi

"Sasaran kami mudah, iaitu setiap keluarga patut ada pilihan yang lebih adil untuk poket mereka. Kalau ada di Shah Alam atau sekitar Lembah Klang, jemput singgah," tulisnya.

Pengenalan kedai tersebut menerima respons baik daripada orang ramai yang berpandangan inisiatif itu merupakan langkah diambil Rafizi untuk mengurangkan beban pengguna.

Malah, ada yang memuji langkah diambil bekas Menteri Ekonomi itu yang tidak memerlukan jawatan rasmi untuk mengumpul dana seperti mana turut dilakukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Rafizi tunjuk cara kepada Ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk berkhidmat dan beri manfaat buat rakyat tanpa perlu jawatan menteri atau Exco. Tidak perlu hanya jadi tukan komen di media sosial dan tukang jenaka di stesen radio.

"Syed Saddiq merupakan sebuah lagi contoh (kerana) dengan berlari, dia kutip dana bantu masyarakat. Rakyat memerlukan inspirasi kerana mereka sudah letih dengan janji politikus," tulis Borhan Abu Samah.

Khamis lalu, Ahli Parlimen Muar itu menyahut cabaran jenama pakaian tempatan, PrimaValet yang menjanjikan RM1 juta sekiranya berjaya menamatkan acara sukan lasak Ironman di bawah tempoh 13 jam.

Ini selepas rayuannya serta tiga lagi individu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan yang memberhentikan peruntukan kawasan Parlimen berkenaan ditolak.

Terkesan dengan keputusan itu, Syed Saddiq kemudian mengambil insiatif berbeza untuk memastikan dana dapat terus disalurkan kepada orang ramai di kawasan Parlimen tersebut.

Keazaman diambil kedua-dua ahli politik terbabit menceritakan pelbagai usaha boleh diambil bagi memperjuangkan kawasan masing-masing tanpa perlu terus mengharapkan kerajaan pusat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram