
SETIAP kali berlaku kes pergaduhan pelajar, video buli atau insiden tidak bermoral tular di media sosial, kita cepat benar menuding jari kepada sekolah dan ibu bapa.
Guru dipersalahkan kerana gagal mendidik, manakala ibu bapa dituduh cuai dan tidak ambil tahu.
Tapi dalam sibuk mencari siapa yang harus dipersalahkan, kita jarang sekali mahu melihat cermin dan bertanya adakah kita sendiri bebas daripada sikap itu?
BACA LAGI: Teknologi jadi perisai, KPM boleh cuba 3 peranti moden bantu cegah pelajar dibuli
Realitinya, penyakit sosial hari ini bukan hanya berpunca daripada kegagalan pendidikan atau kelekaan penjagaan anak.
Ia berpunca daripada budaya tular yang kita sendiri hidup dan benarkan berkembang budaya ‘sakit’ yang menjadikan perhatian dan tontonan lebih penting daripada nilai kemanusiaan.
Lihat sahaja apa yang berlaku melibatkan tragedi berdarah pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam hingga mati oleh remaja lelaki berusia 14 tahun di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Ramai yang berlumba-lumba memuat naik gambar mangsa dan suspek tanpa mereka sedari tindakan itu adalah perbuatan yang salah di sisi undang-undang.
Pada masa sama, ada yang mengambil peluang menjadi 'Detektif Conan' sehingga membuat spekulasi sendiri sehingga menimbulkan fitnah.
Ramai yang berlumba-lumba memuat naik gambar mangsa dan suspek tanpa mereka sedari tindakan itu adalah perbuatan yang salah di sisi undang-undang. — Gambar Hiasan/Janaan AI
Gambar mangsa berlumuran darah itu sebenarnya sudah cukup membuktikan merka juga 'sakit' dan tiada empati.
Malah, demi duit dari FBpro, ramai yang tanpa segan silu memuat naik kandungan ganas, lucah dan aib manusia lain hanya untuk mendapatkan ‘engagement’.
Lagi kejam, lagi ramai penonton. Lagi berani buka aib orang, lagi tinggi jumlah ‘views’.
Seolah-olah harga maruah dan moral boleh dijual beli dengan mata wang maya.
Dalam masa yang sama, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pula disalah guna secara melampau.
Ada yang mencipta imej palsu untuk menjatuhkan orang lain, ada pula yang menyebar berita tidak benar seolah-olah ia fakta sahih.
Dunia digital yang sepatutnya menjadi ruang ilmu dan kemajuan kini menjadi medan fitnah, kebencian dan manipulasi.
Budaya tular sudah menenggelamkan nilai empati. Bila berlaku kemalangan, pergaduhan atau kejadian tragis, bukan lagi naluri untuk membantu yang muncul tetapi sebaliknya naluri untuk merakam.
Penggunaan AI yang melampau sehingga menimbulkan fitnah dan penyebaran maklumat palsu.— Gambar Hiasan/Janaan AI
Telefon pintar lebih pantas diangkat daripada tangan untuk menolong. Lebih ramai mahu jadi 'orang pertama' yang memuat naik video ngeri, bukannya orang pertama yang menenangkan mangsa.
Dalam pada itu, kita juga tidak sedar bahawa anak-anak kecil kini sedang membesar dengan racun digital.
Mereka terdedah kepada kandungan ganas, lucah dan tidak bermoral tanpa kawalan.
Kita mungkin menganggap ia sekadar hiburan, tetapi tanpa disedari, media sosial sedang menjadi guru sebenar mereka dengan mengajar bahawa keaiban itu lucu, dan kekerasan itu menghiburkan.
Nilai adab, hormat dan batas moral semakin terhakis akibat budaya mengejar populariti segera.
Ramai lebih takut kehilangan pengikut daripada kehilangan maruah. Yang dulunya malu berkongsi hal peribadi, kini berlumba-lumba menceritakan segalanya di media sosial termasuk perkara yang sepatutnya disimpan sebagai aib keluarga.
Ramai lebih takut kehilangan pengikut daripada kehilangan maruah.— Gambar Hiasan/Janaan AI
Media sosial kini berubah menjadi mahkamah rakyat dan setiap isu dihakimi tanpa bukti, setiap tragedi dijadikan bahan tontonan, bukan pengajaran.
Masing-masing mahu menjadi polis internet, hakim dan wartawan segera walaupun tidak tahu hujung pangkal cerita.
Lebih malang, masyarakat hari ini lebih percaya kepada influencer berbanding sumber rasmi atau pihak berautoriti. Fitnah dianggap fakta, dan kebenaran pula ditenggelamkan oleh suara viral.
Sebenarnya, kita semua sedang ketagih, ketagih kepada perhatian, kepada pujian, kepada notifikasi yang berbunyi setiap kali ada orang menekan butang ‘like’.
Dalam ketagihan itu, kita perlahan-lahan hilang rasa malu dan empati. Derita orang lain jadi bahan hiburan dan keganasan dijadikan bahan tular.
Sejujurnya, kita menormalisasikan kezaliman atas nama 'konten' dan lebih membimbangkan, generasi muda sedang membesar dengan persepsi salah bahawa keganasan, drama dan keaiban adalah hiburan.
Generasi muda sedang membesar dengan persepsi salah bahawa keganasan, drama dan keaiban adalah hiburan. — Gambar Hiasan/Janaan AI
Mereka tidak lagi melihat maruah sebagai nilai, tetapi sebagai bahan untuk content. Bila ini berlarutan, apa yang akan tinggal dalam masyarakat kita nanti selain manusia yang kebal terhadap rasa bersalah?
Sebelum kita terus menuding salah kepada ibu bapa dan guru, mungkin sudah tiba masanya kita berhenti sejenak dan menilai diri sendiri.
Adakah kita mendidik dengan contoh yang baik, atau kita sendiri sedang menunjukkan bahawa populariti lebih penting daripada akhlak?
Jangan salahkan sekolah jika anak tidak tahu batas, sedangkan kita sendiri setiap hari mempamerkan contoh buruk di depan mata mereka dengan perkongsian tanpa tapisan, kutukan tanpa fakta, dan tularan tanpa rasa tanggungjawab.
Kerana akhirnya, kerosakan moral generasi ini bukan bermula di bilik darjah atau rumah, tetapi di hujung jari kita sendiri di setiap kali kita menekan butang 'share' tanpa berfikir panjang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram