KES membabitkan seorang lelaki yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada Julai lalu digugurkan oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis selepas pengadu menarik balik aduan.
Tertuduh, Wan Mohamad Aliff Wan Mohd Sofian, 26, sebelum ini didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 terhadap pelajar lelaki terbabit yang berusia 13 tahun 10 bulan.
Perbuatan itu didakwa berlaku pada 26 Julai 2025, kira-kira pukul 7.30 pagi di bilik asrama sekolah berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Penguat kuasa 'ambush' warga asing di Semporna, ada sanggup lari tinggalkan barang niaga
Peguam yang mewakili tertuduh, Sabrina Mohamad memaklumkan bahawa pengadu telah hadir ke mahkamah dan menyatakan hasrat untuk menarik balik aduan tersebut.
"Pihak pengadu sudah hadir di hadapan mahkamah dan mahkamah telah merekodkan bahawa pihak pengadu menarik balik aduan dia.
"Pihak pendakwa pun telah menggugurkan kes, kita tiada bantahan, kita cuma mohon agar anak guam kita dilepaskan," katanya selepas prosiding.
Menurut Sabrina, dia tidak dapat mengulas lanjut memandangkan kes melibatkan kanak-kanak dan menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah serta menjaga sensitiviti semua yang terlibat.
"Itu saja yang saya boleh komen memandangkan kes ini melibatkan kanak-kanak, kita kena menghormati semua pihak dan juga keputusan mahkamah," tambahnya.
Sebelum ini, tertuduh yang merupakan bekas guru praktikal mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim N. Kanageswari atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun 10 bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
