Jangan buta tuli tunding pada guru, masalah disiplin pelajar bermula dari luar pagar sekolah — Guru kaunseling


  • Bonda
  • Isnin, 13 Okt 2025

Penggunaan bahasa kasar dan kurang sopan dalam kalangan rakan sebaya turut menyumbang kepada normalisasi tingkah laku tidak bermoral. — Gambar hiasan/AI

KES rogol membabitkan empat pelajar Tingkatan 5 terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka pada minggu lalu mencetuskan pelbagai reaksi dan persoalan masyarakat.

Isu serangan seksual itu secara tidak langsung menunjukkan situasi yang nampaknya semakin membimbangkan para pendidik dan ibu bapa.

Pun demikian, sesetengah pihak berpendapat kesalahan itu tidak harus dilemparkan secara berat sebelah.

BACA LAGI: 'Mula dengan pakaian pun boleh', pakai purdah, tudung labuh dorong wanita kawal diri, perbaiki sikap

BACA LAGI: Peserta ‘blank’ atas pentas, tindakan spontan pelajar UM beri sokongan cipta momen nilai ukhwah

Berdasarkan ulasan guru kaunseling, Abdul Muiez, tanggapan orang ramai terhadap pihak sekolah tidak menjalankan tanggungjawab untuk mengekang masalah tersebut adalah tidak wajar.

"Kalau nak ikutkan apa sekolah buat, rasanya banyak. Baik program intervensi sehinggalah ke program pencegahan.

"Siapa sahaja yang kami tak jemput untuk datang ke sekolah. Polis Diraja Malaysia (PDRM) rasanya tahun ini dah tiga atau empat kali mereka datang.

"Daripada kes ponteng, jalan raya, buli sampailah ke seksual. Semua PDRM tapau. Kami jemput pula pegawai yang bukan calang-calang.

"Kalau bab dadah pula, Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) pun kami jemput.

"Saya sendiri pun dijemput untuk menyampaikan ceramah awal remaja dan seksual. Tak tersenarai dah sekolah dalam Sabak Bernam yang dah jemput saya.

"Tetapi kenapa masalah ini masih lagi berlaku? Tak lain tak bukan, puncanya dari luar," katanya.

Menurutnya, masalah sebenar bermula di luar pagar sekolah, terutama apabila anak-anak mula didedahkan dengan media sosial, internet dan persekitaran digital sukar dikawal.

Salah laku seksual dalam kalangan pelajar yang berpunca dari luar pagar sekolah. — Gambar hiasan

1. Telefon pintar

Katanya, penggunaan telefon pintar tanpa pengawasan menjadi punca utama masalah itu berlaku.

"Banyak laman sesawang lucah dah disekat, tetapi ada lagi yang masih terlepas.

"Mereka boleh muat naik dan boleh buka laman sesawang yang disekat itu.

"Dahulu mak ayah risau anak keluar malam. Sekarang, siapa yang ambil tahu apa anak buat dalam bilik?" ujarnya.

2. Kawan-kawan

Bahasa kasar dan lucah dalam kalangan rakan sebaya turut menyumbang kepada normalisasi tingkah laku tidak bermoral.

“Kalau masa main permainan video pun anak-anak dengar kawan mencarut, siapa mak ayah yang tegur," soalnya.

3. Filem

Walaupun ibu bapa menetapkan kawalan umur pada platform tontonan dalam talian seperti Netflix, beliau menjelaskan bahawa anak-anak kini lebih bijak mencari jalan lain.

"Mereka boleh tengok di Telegram atau aplikasi filem tidak sah.

"Anak-anak sekarang lebih cepat daripada mak ayah dalam bab teknologi," tambahnya.

4. Pendedahan awal kepada bahan lucah

Beliau turut menegaskan bahawa kandungan lucah kini boleh diakses secara tanpa sengaja melalui iklan dan media sosial.

"Kadang-kadang kita sendiri terima mesej lucah tanpa cari pun. Bayangkan kalau anak-anak yang terdedah," katanya.

5. Kecuaian ibu bapa

Paling utama, katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam memantau anak-anak.

"Bila dah bagi telefon pintar, jangan cakap itu hak peribadi anak.

"Selagi duit belanja datang dari kita, tanggungjawab pun masih di bahu kita.

"Sebelum kita salahkan sekolah, ingat empat jari lain menunjuk ke arah diri sendiri.

"Mak ayah dan sekolah perlu berganding bahu kalau benar mahu banteras gejala ini," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram