SEJAK kecil, Aisya Rahman sudah terbiasa dengan erti perjuangan hidup tanpa sandaran lelaki.
Dilahirkan dalam keluarga ibu tunggal, beliau membesar melihat ibunya berhempas pulas mencari rezeki membesarkan empat beradik.
Namun ceritera ketabahan itu bukan bermula dengan ibunya sahaja, bahkan lebih jauh ke belakang iaitu daripada neneknya yang turut membesarkan anak-anak sendirian selepas dimadukan.
BACA LAGI: Niat nak mudahkan kerja mak-mak moden, bekas jurutera bangunkan jenama minuman herba bentuk kiub
Mengimbas memori zaman kecilnya, anak sulung daripada empat beradik itu mengakui, kewangan ialah masalah utama yang membelenggu kehidupan mereka.
"Dari situ saya sedar betapa pentingnya wanita ada ilmu dan kesedaran tentang pengurusan kewangan,” katanya kepada Majoriti.

Ujar Aisya, penting untuk wanita mempunyai ilmu dan kesedaran tentang pengurusan kewangan. — Aisya Rahman
Berkat ujian dan pengalaman hidup itulah yang membentuk ketabahan diri Aisya hingga membawanya ke kedudukan hari ini, sebagai perancang kewangan bertauliah dan pengasas Aisya Rahman Advisory, organisasi yang memberi tumpuan pada bimbingan kewangan wanita.
Aisya memulakan kerjaya dalam bidang pemasaran dan perbankan, namun hidupnya berubah selepas suaminya jatuh muflis pada 2012.
“Hanya selepas berkahwin dan mengandung, barulah saya tahu suami muflis.
"Kami pergi AKPK (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit) tapi mereka tak boleh bantu sebab statusnya sudah muflis.
"Dari situ juga saya belajar pentingnya ilmu kewangan dan komunikasi dalam perkahwinan,” ujarnya menambah nilai hutang ketika itu mencecah RM150,000.

Syarikat Aisya Rahman Advisory turut ditubuhkan bersama suaminya, Hakiki (kanan) sebagai rakan kongsi perniagaan.
Wanita berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu kemudian membuat keputusan besar, berhenti kerja di bank untuk membantu suami keluar dari muflis dengan berniaga sendiri.
Beliau sedar, jika terus bekerja makan gaji, pendapatannya tidak akan meningkat dengan ketara.
Justeru, Aisya mengambil keputusan untuk menceburi bidang jualan dengan memasarkan produk kewangan seperti takaful, pusaka dan unit amanah.
"Dari situlah bermulanya langkah awal saya mendalami dunia kewangan,” jelasnya.
Aisya kemudian memperoleh sijil Perancang Kewangan Bertauliah (CFP) dan Perancang Kewangan Islam (IFP) sebelum memiliki lesen Financial Advisor Representative (FAR) yang dikawal selia Bank Negara serta Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) di bawah Suruhanjaya Sekuriti.
Sehinggalah pada 2021, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau sedar sebahagian produk yang dijualnya berunsur riba.
“Saya berhenti sekejap (daripada memasarkan produk) tapi kewangan adalah satu-satunya bidang yang saya tahu.
"Jadi saya mula bercakap, mengajar masyarakat dan berkongsi ilmu dengan cara Islamik,” katanya.

Aisya menubuhkan program bimbingan kewangan khusus untuk membantu golongan wanita. — Aisya Rahman
Bengkel kewangan
Ilham itu membawa pada penubuhan Women & Wealth Workshop, program bimbingan kewangan khusus untuk kaum Hawa.
Yang lebih menarik kata Aisya, idea nama itu datang secara tidak disangka, betul-betul saat beliau keluar dari tandas.
Pada hujung 2022, sempena hari lahirnya, Aisya mengasingkan diri selama dua hari di sebuah hotel dekat Kota Damansara, Selangor untuk menulis dan membentuk modul pertama Women & Wealth.
“Waktu itu saya 'muntahkan' semua pengalaman dari kecil sampai sekarang.
"Saya fikir kalau boleh diundurkan masa, 'apa yang saya nak ajar diri sendiri tentang kewangan? Dari situ model pertama Women & Wealth tercipta,” ceritanya menambah, Aisya Rahman Advisory turut ditubuhkan bersama suaminya, Hakiki Khamis yang kini menjadi rakan kongsi perniagaan.

Bengkel Women & Wealth dijalankan secara bersemuka bagi memastikan bimbingan dan interaksi yang lebih berkesan. — Aisya Rahman
Di saat kedua-duanya menyangka segalanya semakin pulih, mereka sekali lagi diuji apabila syarikat menanggung kerugian kira-kira RM300,000 dalam tempoh tiga tahun pertama beroperasi.
“Disebabkan itu saya tak ambil satu sen pun daripada keuntungan.
"Semua saya rolling ke dalam syarikat untuk bina sistem, tambah tenaga kerja dan tingkatkan teknologi,” jelasnya yang pernah bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat penerbangan tambang rendah.
Bagi Aisya, kesilapan terbesar ramai wanita ialah terus melompat ke pelaburan tanpa memahami asas kewangan diri.
Malah akuinya, tidak kurang juga yang menganggap topik kewangan terlalu teknikal untuk wanita.
“Sebenarnya kita cuma belum ada orang yang menerangkan dengan cara yang kita faham. Saya sendiri dulu kerja bank pun tak tahu melabur,” katanya yang menggemari warna putih dan ungu.

Peserta diajar mengenali corak emosi, tanggungan dan keutamaan hidup sebelum membina tabungan. — Aisya Rahman
Berkongsi lanjut mengenai modul Women & Wealth, Aisya berkata, peserta diajar bermula dengan asas diri, yakni mengenali corak emosi, tanggungan dan keutamaan hidup sebelum membina tabungan atau membuat pelaburan.
“Kalau tiada simpanan langsung, jangan terus melabur. Asas pertama ialah kenal diri sendiri. Apabila dah stabil baru fikir strategi pelaburan,” maklumnya.
Kini, selepas 10 kohort dengan hampir 170 peserta, Women & Wealth menjadi wadah bimbingan kepada pelbagai golongan wanita daripada ibu tunggal, balu, wanita bekerjaya hinggalah mereka yang masih bujang.
“Kami tak ambil ramai, setiap kohort hanya 20 peserta selama tiga bulan.
"Namun kesannya besar sebab mereka akan lalui proses ‘detoks kewangan’. Apabila wanita ini berubah, keluarga mereka pun berubah,” katanya.
Untuk rekod, 'detoks kewangan’ adalah proses mengawal tabiat kewangan untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, meningkatkan kesedaran dan mencapai kestabilan kewangan.

Peserta Kohort sembilan yang menyertai bengkel Women & Wealth terdiri daripada wanita profesional seperti dalam industri minyak dan gas, doktor pakar termasuk guru yang pernah berkhidmat di Jepun.
Malu
Ditanya mengapa fokusnya khusus kepada wanita, Aisya menjelaskan, dalam kelas bercampur, wanita cenderung diam dan malu berkongsi masalah sebenar.
"Berbeza apabila cuma mereka sahaja dalam kelas, semuanya lebih terbuka. Jadi dari situ senang untuk kita bantu," ungkap pemegang Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Projek daripada Universiti Malaya itu.
Program bimbingannya kini menarik perhatian wanita Malaysia yang menetap di luar negara seperti Jerman, Australia dan Iraq.
Menurut Aisya, ramai peserta dari luar negara menunjukkan minat menyertai bengkel tersebut dan bertanya sama ada ia dijalankan secara dalam talian.
Bagaimanapun buat masa ini, pihaknya masih mengekalkan sesi secara bersemuka bagi memastikan bimbingan dan interaksi yang lebih berkesan.
"Namun kami tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan format dalam talian pada masa akan datang,” katanya menambah, terdapat juga penyertaan peserta berbangsa India dan Cina yang berminat mempelajari aspek pengurusan kewangan berteraskan nilai Islam.
Bagi Aisya, setiap wanita berhak untuk celik kewangan.
“Ilmu kewangan bukan untuk orang kaya sahaja. Ia untuk semua yang mahu hidup dengan tenang, tanpa dibelenggu hutang dan ketakutan,” ujarnya mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
