Wayang Women angkat kisah seram wanita Asia Tenggara antaranya hantu penanggal, persembahan lebih segar


  • Sukses
  • Selasa, 04 Nov 2025

Kumpulan Wayang Women, yang diketuai oleh dalang Illya berada di sebalik layar ketika membuat persembahan di RexKL pada Oktober lalu. — Nana Mazlan

SENI tradisional wayang kulit atau teater bayang-bayang yang selama ini sinonim dengan dominasi lelaki kini mendapat nafas baharu melalui kemunculan kumpulan antarabangsa diterajui sepenuhnya oleh wanita, dikenali sebagai Wayang Women.

Jika dahulu seni tersebut hanya dipersembahkan oleh lelaki pada waktu malam, dengan kisah berpusat pada wira, peperangan dan penaklukan daripada epik Hindu Ramayana serta Mahabharata, kini naratifnya mula berubah.

Ditubuhkan pada 2023, Wayang Women tampil dengan pendekatan segar menggabungkan wayang kulit tradisional Kelantan bersama persembahan kontemporari yang menampilkan muzik, unjuran visual, permainan bayang dan penceritaan moden.

BACA LAGI: Anak usia 3 tahun tunjuk ciri kurang keyakinan diri, kecewa, ini penjelasan pakar kaunseling

BACA LAGI: Anak usia 3 tahun tunjuk ciri kurang keyakinan diri, kecewa, ini penjelasan pakar kaunseling

Ia bagi menonjolkan suara dan kisah rakyat daripada perspektif wanita.

Diterajui penerbit teater dan penggiat wayang kulit Malaysia, Illya Sumanto, kumpulan itu menghidupkan watak kulit buatan tangan pereka Thailand, Mali yang menampilkan gabungan unik antara seni tradisional dan reka bentuk moden.

Barisan Wayang Women terdiri daripada lapan anggota iaitu Tigra Rose (Indonesia) dengan alat muzik celempung, suling, gitar, pianica dan rainstick; Ola (Thailand) di khim dan saw-u; Annabel Laura (Indonesia) di gitar, ocarina khas dan vokal opera; Victoria Yam (Malaysia) di laptop; Sophie Decker (Jerman) di synthesiser dan gitar; Lynn Nandar Htoo (Myanmar) di sampler serta Sarah Amer (Malaysia) sebagai penerbit kreatif.

Mereka menggabungkan instrumen tradisional dari Indonesia, Malaysia dan Thailand dengan muzik elektronik serta vokal moden, mewujudkan pengalaman audio-visual yang segar dan bertenaga.

Siri persembahan Hantu Kopek: Wayang Women In KL mencatat kejayaan luar biasa apabila tiket habis dijual di RexKL pada Oktober lalu, selepas penampilan sulung mereka di Chiang Mai Design Week, Thailand, pada Disember tahun sebelumnya.

Menurut Sarah yang berpangkalan di Kuala Lumpur, sambutan terhadap persembahan itu amat memberangsangkan.

“Kami berjaya menjual 720 tiket dalam dua malam dan terpaksa tambah tempat duduk pada saat akhir.

"Ia bukti semangat persembahan kami benar-benar menyentuh penonton tempatan,” katanya.

Pemuzik Wayang Women mengiringi jalan cerita yang disampaikan melalui wayang kulit Illya, menambahkan sentuhan muzik yang indah. —

Kekok

Idea penubuhan kumpulan itu tercetus ketika Illya menjalani latihan wayang kulit di Kelantan bersama Tok Dalang terkenal Pak Dain.

Ketika itu, beliau menyedari beliau ialah satu-satunya wanita dalam kumpulan tersebut.

“Saya rasa kekok dan tidak yakin kerana saya seorang sahaja wanita.

"Saya terfikir, alangkah baiknya jika ada wanita lain supaya saya boleh mengekspresikan diri dengan lebih bebas,” kata Illya, yang juga seorang guru seni di sebuah sekolah antarabangsa di Chiang Mai.

Beliau terus menimba ilmu daripada Pak Dain selama lebih dua tahun dan menyedari bahawa kehadiran wanita mampu menjadikan ruang muzik lebih inklusif, menyokong dan berdaya kreatif.

Dengan ahli dari pelbagai negara, Wayang Women biasanya merancang persembahan secara jarak jauh sebelum berkumpul untuk sesi latihan intensif.

Antara persembahan mereka termasuk di International Women’s Forum di Bangkok, selain Chiang Mai Design Week.

Illya menghidupkan boneka-boneka wayang di hadapan penonton yang terpukau di RexKL bulan lalu.

Mitos

Antara kelainan Wayang Women ialah cara mereka menulis semula tradisi melalui penceritaan semula mitos dan kisah seram wanita Asia Tenggara seperti hantu kopek, pontianak dan penanggal.

“Kebanyakan roh dalam cerita Asia Tenggara adalah wanita.

"Kami gunakan tubuh wanita dalam persembahan untuk mempersoalkan kepercayaan dan ketakutan ini.

"Ia bukan sekadar seram, tapi refleksi terhadap pengalaman dan tekanan sosial terhadap wanita,” jelas Illya.

Menurutnya, banyak kisah rakyat itu pada asalnya dicipta untuk mengawal tingkah laku anak-anak dan Wayang Women berusaha menyingkap kembali maksud di sebaliknya.

Walau bagaimanapun, kumpulan berkenaan tidak meninggalkan akar tradisi.

Setiap persembahan tetap dimulakan dengan babak klasik Dewa Panah seperti yang diajar oleh Pak Dain, bagi mengekalkan roh asal wayang kulit Kelantan.

Pada permulaan persembahan, Illya mempersembahkan babak tradisional Kelantan, Dewa Panah — Yugo Hattori

Di RexKL, Illya mempersembahkan gabungan segmen tradisional dan kontemporari bertajuk Hantu Kopek, dengan kekuatan fizikal dan emosi yang memukau penonton.

Apabila ditanya sama ada beliau kini boleh dianggap sebagai Tok Dalang wanita, Illya tertawa.

“Panggil saya apa saja yang awak mahu! Pengalaman ini satu perjalanan.

"Sekarang apabila main, saya rasa yakin sampai lengan kebaya pun rasa ketat,” ungkapnya berseloroh.

Selepas kejayaan di Thailand dan Malaysia, Wayang Women kini menuju ke Indonesia dengan persembahan Wewe Gombel di Ubud Writers & Readers Festival 2025 di Bali, berdasarkan mitos roh wanita Jawa yang menculik kanak-kanak.

“Tahun depan kami berharap dapat menjelajah ke Eropah, dengan jemputan daripada duta Malaysia ke Perancis dan Republik Czech.

"Namun kami memerlukan dana untuk menjadikannya kenyataan,” kata beliau.

Baginya, setiap tiket yang dijual bukan sekadar menyokong pementasan, tetapi juga membantu memperkasa misi membawa kisah dan suara wanita Asia Tenggara ke pentas dunia. — The Star/HANIS MAKETAB

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram