TIDAK ramai sedar, di sebalik kesungguhan anak-anak kecil melawan penyakit di hospital, ada ibu bapa yang berkorban segalanya demi menemani mereka sepanjang tempoh rawatan.
Namun, persoalan paling besar yang sering berlegar dalam fikiran keluarga pesakit adalah di mana mereka harus tinggal, terutama apabila rawatan anak memakan masa berbulan-bulan?
Menyedari keperluan itu, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) tampil membantu melalui penubuhan Rumah Ronald McDonald (RMH), dengan menyediakan kemudahan penginapan selamat, selesa dan berdekatan hospital.
BACA LAGI: McDonald’s Malaysia agih zakat korporat RM2 juta tahun ini, jelajah 14 negeri
Ia memberi peluang kepada ibu bapa untuk tinggal berhampiran anak-anak yang sedang menerima rawatan tanpa dibebani kos penginapan atau perjalanan berulang-alik dari rumah ke hospital.
Sejak mula beroperasi pada 1999, RMH di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM-UKM) menjadi tempat perlindungan sementara buat hampir 1,000 keluarga saban tahun.

RMH menyediakan bilik permainan dalam rumah sebagai sebahagian daripada kemudahan untuk keluarga pesakit kanak-kanak.
Terletak di dalam kawasan hospital, rumah banglo tiga tingkat itu dilengkapi 18 bilik tidur, dapur, ruang makan, bilik dobi, surau, taman permainan dan gimnasium mini.
Lebih daripada sekadar tempat berteduh, RMH menjadi sumber kekuatan dan sokongan emosi kepada ibu bapa yang berkongsi perjuangan sama dalam menemani anak-anak menjalani rawatan.
Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, RMH di seluruh negara mencatat kadar penghunian purata 82 peratus.
Menurutnya, peratusan itu menunjukkan keperluan berterusan terhadap kemudahan penginapan berhampiran hospital dan komitmen RMHC Malaysia dalam menyediakan ruang selamat serta memudahkan buat keluarga memerlukan.
"Kemudahan ini amat penting bagi keluarga pesakit kronik seperti kanser, pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan yang memerlukan rawatan jangka panjang.
"Apabila anak sedang sakit, kehadiran ibu bapa di sisi amat penting. Bukan sekadar untuk menjaga, tetapi memberi kekuatan emosi yang besar.
"Menurut kajian Persatuan Profesional Kehidupan Kanak-Kanak (ACLP), sokongan emosi daripada ibu bapa dan pakar kehidupan kanak-kanak membantu anak lebih tenang, selamat, selain mengurangkan tahap kebimbangan serta tekanan semasa berada di hospital," katanya.

Kediaman itu dilengkapi 18 bilik tidur dan dapat memuatkan empat hingga lima ahli keluarga dalam sebuah bilik.
Beliau berkata demikian ketika lawatan media ke RMH di HCTM-UKM baru-baru ini, bersempena Program Bulan Komuniti McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia.
Program tahunan itu meraikan semangat komuniti dan tanggungjawab sosial korporat McDonald’s Malaysia dalam menyantuni masyarakat di seluruh negara, khususnya aspek kebajikan dan kesihatan kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Mohd Nasri berkata, McDonald’s terus menunjukkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporatnya dengan bertindak sebagai rakan misi utama kepada RMHC.
“Sumbangan berterusan tersebut membolehkan RMHC mengekalkan pelbagai program komuniti yang memberi manfaat kepada ribuan keluarga,” katanya.

Mohd Nasri (kiri) memberi penerangan kepada media pada sesi lawatan ke RMH di HCTM-UKM.
Tambah Mohd Nasri, selain RMH HCTM-UKM, terdapat tiga lagi RMH di seluruh Malaysia iaitu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan; Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.
Menurutnya, dana bagi menguruskan rumah-rumah juga dikumpulkan melalui pelbagai cara, antaranya sumbangan pelanggan di restoran McDonald’s, sama ada menerusi tabung merah yang diletakkan di kaunter atau pilihan round up di kiosk digital, yang mana pelanggan menambah sedikit jumlah bayaran untuk disalurkan kepada tabung RMHC.
“Sumbangan kecil daripada pelanggan memberi impak besar.
"Majoriti dana operasi RMH datang daripada sumbangan sebegini, selain bantuan rakan korporat dan pembekal McDonald’s,” jelasnya.

Datin Dr. Anita Sulong berkata, hubungan rapat antara ibu bapa dan anak semasa tempoh rawatan berupaya membantu proses pemulihan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Diagnostik dan Sains Kesihatan) Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (TABTAR), Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Datin Dr. Anita Sulong berkata, hubungan rapat antara ibu bapa dan anak semasa tempoh rawatan bukan sahaja memberikan ketenangan emosi kepada pesakit kecil, tetapi juga membantu proses pemulihan keseluruhan.
"Kami melihat sendiri bagaimana kemudahan seperti RMH memberi impak positif pada kesejahteraan psikologi keluarga pesakit pediatrik.
"RMH adalah salah satu kemudahan amat diperlukan keluarga pesakit kami, terutamanya yang datang dari luar Lembah Klang,” kongsinya.
Dalam pada itu, salah seorang ibu pesakit, Nur Hazwani Harun, 39, berkongsi, kewujudan RMH di HCTM-UKM banyak meringankan beban dan memberi ruang untuknya terus kuat.
Anaknya, Muhammad Aisy Al Amin, 13, yang didiagnos sakit kronik paru-paru dan mild autisme mula menerima rawatan di HCTM-UKM sejak Januari 2013 selepas dipindahkan dari Hospital Selayang.
Menurutnya, keadaan Aisy ketika itu amat kritikal sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Nur Hazwani (kiri) dan anaknya merupakan antara penghuni RMH sejak 2013.
“Saya tinggal di Gombak, Selangor dan setiap hari perlu keluar rumah seawal pukul 5 pagi untuk ke hospital. Biasanya saya hanya pulang selepas tengah malam.
"Rutin itu sangat meletihkan, tapi saya tiada pilihan kerana mahu sentiasa berada di sisi anak,” katanya.
Melihat rutinnya berulang-alik setiap hari, jururawat Hospital Selayang kemudian menasihati Nur Hazwani agar merujuk kepada pihak kebajikan hospital.
Hasil rujukan itu, beliau ditawarkan menetap sementara di RMH.
"Saya amat bersyukur dapat menginap di RMH kerana sebelum dapat tempat di sana, kami terpaksa tidur di dalam kereta demi memastikan kami boleh berada di hospital secepat mungkin apabila doktor ingin berjumpa dan berbincang mengenai keadaan anak saya,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
