Anak usia 3 tahun tunjuk ciri kurang keyakinan diri, kecewa, ini penjelasan pakar kaunseling


  • Bonda
  • Selasa, 21 Okt 2025

Ibu bapa memainkan peranan besar dalam mendidik anak untuk mengawal emosi. — ​​​​​​​Gambar hiasan

MENDIDIK anak yang masih kecil sememangnya suatu cabaran bagi ibu bapa.

Rata-ratanya juga sering buntu apabila melihat anak mudah marah, menangis atau kecewa jika sesuatu perkara tidak menjadi seperti diharapan.

Berdasarkan perkongsian pakar kaunseling dan psikologi menerusi akaun Threads @aizasafar, terdapat segelintir ibu bapa menyimpulkan bahawa sikap itu ciri kurang keyakinan diri.

BACA LAGI: Pesona busana tradisional ungu warnai Deepavali, sekeluarga tampil sedondon

BACA LAGI: Sia-sia ubah suai jadi rumah mewah, mentua datang mengejut, 'claim' tanah, halau menantu

Kanak-kanak yang sedang membesar cenderung untuk sukar mengawal emosi. — Gambar hiasan

Menurutnya, ia merupakan antara proses perkembangan emosi biasa terjadi pada kanak-kanak yang sedang membesar.

Beliau pada sama berkongsi lanjut tentang situasi seorang ibu yang bimbang selepas melihat ciri tersebut pada anaknya berusia tiga tahun.

"Untuk usia sedemikian, anak masih dalam fasa pembentukan dan kawalan emosi.

"Bila anak puan kecewa, mengamuk, menangis bukan sebab isu kurang keyakinan diri, tetapi sebab belum capai tahap untuk biasa dengan kekecewaan.

"Selain tu, lihat juga bagaimana tindak balas kita bila anak buat salah atau kecewa," tulisnya.

Katanya, peranan ibu bapa amat penting dalam membimbing anak mengenal emosi dan mencari jalan keluar apabila berhadapan dengan situasi sukar.

Sebagai contoh, beliau mencadangkan ibu bapa menunjukkan sendiri bagaimana untuk mengurus kesilapan dengan tenang.

"Puan tuang air ke dalam gelas tetapi sedikit tertumpah. Lap air yang tumpah dan terangkan pada anak 'cuba adik tengok, mama pun buat silap, tak mengapa buat silap, mama boleh lap dan akan tuang perlahan-lahan'.

"Kemudian, tuang semula air dengan lebih berhati-hati sambil berkata 'nampakkan, tak tumpah dah'.

"Ajak anak raikan momen itu dan cuba tunjuk guna pendekatan ini bila anak hadapi situasi yang lebih kurang sama," katanya.

Langkah kecil seperti itu bukan sahaja membantu anak belajar mengawal diri ketika kecewa, tetapi menanam nilai ketabahan dan sikap tidak mudah putus asa.

"Tugas ibu bapa adalah dengan tidak membiasakan anak tak nampak jalan keluar bila perlu berhadapan dengan kekecewaan," jelasnya.  

Pendekatan positif sebegini pada masa sama mampu melatih anak kecil mengurus emosi dengan sihat serta membina keyakinan diri secara semula jadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram