[VIDEO] Tasha Mae anggun berkebaya warisan nenek ketika berkunjung ke Konsulat Malaysia LA


  • Sukses
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Tasha pernah mewakili negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA serta siri jelajah FIVB. — Instagram/tashmae__

ATLET bola tampar pantai kebangsaan, Tasha Mae, mencuri perhatian selepas tampil anggun menyarungkan kebaya ketika berkunjung ke Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Mahasiswi psikologi yang kini melanjutkan pengajian di AS itu berkongsi pengalaman tersebut menerusi hantaran di Instagram miliknya, tashmae_, sekali gus meluahkan rasa bangga dapat mewakili budaya Malaysia di perantauan.

Menariknya, Tasha memilih untuk menggayakan kebaya kepunyaan neneknya yang diberikan sebelum beliau berangkat ke AS tahun lalu, dipadankan bersama seluar panjang hitam bagi memberikan penampilan lebih formal.

BACA LAGI: 'Ratu Pecut in the making', Nur Alferra catat rekod baharu 100m MSS Sabah

BACA LAGI: Bukan saja Jojo, Colleen, Ann antara atlet wanita cipta nama di gelanggang sukan tempur antarabangsa

Lengkap bergaya, atlet berusia 24 tahun itu turut mengenakan rantai pemberian nenek dan anting-anting hadiah ibu saudaranya dari Singapura.

“Saya sangat gembira dapat memakai pakaian keluarga hari ini untuk mewakili sedikit budaya Malaysia di AS,” katanya menerusi video tersebut.

Menurut Tasha, beberapa bulan lalu video yang dimuat naik di media sosialnya tular sehingga menarik perhatian pihak Konsulat Malaysia yang kemudian menjemputnya hadir ke pejabat rasmi berkenaan.

“Dalam perjalanan ke sana, saya mendengar muzik Malaysia dan rasa seperti baru pulang ke rumah.

"Sebaik sahaja masuk ke pejabat, fikiran pertama saya ialah, wow ini betul-betul macam setiap jabatan kerajaan di Malaysia.

"Suasananya sangat mengingatkan saya pada kampung halaman,” luahnya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.

Kunjungan tersebut turut mempertemukan Tasha dengan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Puan Anil Fahriza Adenan, yang menurutnya sangat mesra dan prihatin.

Sepanjang pertemuan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perjalanan kerjayanya sebagai pemain bola tampar pantai, termasuk penglibatannya sebagai atlet Malaysia pertama beraksi di liga National Collegiate Athletic Association (NCAA) Division 1 di AS, dan matlamatnya untuk mengangkat nama negara dalam sukan tersebut.

“Beliau (Anil Fahriza) menerangkan peranan konsulat dan acara yang dianjurkan untuk rakyat Malaysia di AS.

"Kami juga berbincang tentang hala tuju dan visi saya untuk pasukan bola tampar pantai dan bola tampar Malaysia.

"Malah, beliau sudi membantu menghubungkan saya dengan organisasi kerajaan di Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, atlet berdarah kacukan Cina-India itu mula berjinak-jinak dengan sukan bola tampar sejak usia 10 tahun sebelum menyertai skuad kebangsaan pada umur 16 tahun.

Bermula sebagai pemain bola tampar dalam dewan, Tasha kemudiannya beralih ke arena bola tampar pantai dan pernah mewakili negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA serta siri jelajah Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram