[VIDEO] Ceria di media sosial, wanita suara 'macho' dedah kisah pilu dibuang di flat semasa bayi, 21 tahun hidup tanpa MyKad


  • Bonda
  • Selasa, 04 Nov 2025

Haszran (kiri) ketika berkongsi kisah hidupnya menerusi audio siar di saluran YouTube Aiteam.official pada Ahad lalu.

DI sebalik personaliti ceria dan suara ‘macho’ yang sering menghiburkan pengikut di media sosial, pencipta kandungan dikenali sebagai Haszran, 23, mendedahkan pernah melalui kisah hidup penuh liku, termasuk dibuang ketika masih bayi.

Kisah itu dikongsikan Haszran menerusi satu episod audio siar di saluran YouTube Aiteam.official pada Ahad lalu.

Beliau memberitahu, dirinya dijumpai selepas ditinggalkan di kawasan perumahan flat dekat Skudai, Johor.

BACA LAGI: Sultan Pahang, Tunku Azizah lepas rindu jumpa anak angkat hidap sindrom Werewolf di Sarawak

BACA LAGI: Suami, isteri kongsi pengalaman naik turun lengkapkan prosedur hak penjagaan anak angkat, lega dapat 'lampu hijau'

“Orang jumpa saya dan bawa ke hospital. Apabila sampai di hospital, tidak ada siapa yang tuntut saya sebagai waris,” katanya.

Menurut Haszran, ketika ditemui, tubuhnya dipenuhi darah kering menandakan dirinya ditinggalkan dalam tempoh lama tanpa sebarang penjagaan.

“Waktu dijumpai, ada orang beritahu darah saya dah kering dan boleh kopek-kopek dekat badan. Kira dah lama terbiar,” ujarnya.

Ujar Haszran, selepas dibawa ke hospital dan tiada waris tampil menuntutnya, beliau diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga usia dua tahun.

Menurutnya lagi, ibu bapa angkatnya yang tidak dikurniakan zuriat kemudian mengambilnya sebagai anak angkat.

Bercerita lanjut, Haszran berkata, beliau mengetahui dirinya anak angkat ketika berusia lapan tahun.

“Mak tengah gosok baju, saya pula baca buku, kemudian mak cakap ‘adik tahu tak adik sebenarnya bukan anak mak’.

"Saya tanya, ‘adik ini anak siapa?' Mak kata 'adik anak angkat'. Masa itu saya tak faham apa maksud anak angkat,” ceritanya menambah, hanya apabila meningkat remaja barulah beliau memahami konsep anak angkat, hubungan mahram dan batas aurat.

Jelasnya, disebabkan tiada waris sah yang mendaftarkan kelahirannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), beliau membesar tanpa sijil lahir dan kad pengenalan.

"Semasa nak ambil UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) kantoi sebab nama saya tiada dalam sistem,” ceritanya.

Kongsi Haszran, proses mendapatkan kewarganegaraan mengambil masa hampir sembilan tahun dan hanya diselesaikan ketika dirinya berumur 21 tahun.

“Saya mohon masa umur 12 tahun, katanya dua tahun setengah dah boleh dapat, tapi saya tunggu sampai umur 21 tahun baru dapat.

"Sepanjang tempoh tersebut, saya tak boleh keluar mana-mana sebab tiada kad pengenalan, lesen dan tak boleh juga naik flight atau buka akaun bank,” katanya.

Malah, Haszran juga pernah mengalami diskriminasi ketika mencari pekerjaan kerana statusnya ketika itu.

Tidak hanya itu katanya, beliau juga pernah dihalau dan dihina secara terbuka ketika memohon beberapa kerja.

"Gaji saya dulu waktu kerja semua (dibayar) secara tunai,” katanya lagi.

Walaupun lahir daripada kisah tragis, Haszran menjadikan pengalaman silam sebagai kekuatan untuk berkongsi inspirasi dan menyebarkan aura positif kepada orang lain menerusi kandungannya di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram