Trauma membesar sebagai anak 'tak diperlukan', wanita kini jaga anak saudara 'hilang' ibu, elak alami situasi sama


  • Cinta
  • Selasa, 04 Nov 2025

Wanita tersebut memutuskan untuk menjaga anak buahnya kerana enggan remaja itu melalui penderitaan yang sama. — Gambar janaan AI

SEORANG wanita menceritakan bagaimana trauma dibesarkan sebagai 'anak tidak diperlukan' berjaya membentuk dirinya menjadi insan lebih tabah hari ini.

Mengimbau zaman kanak-kanaknya, beliau dibesarkan oleh datuk dan nenek, bukan ibu dan bapa.

Difahamkan, wanita tersebut merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan mempunyai saudara kembar lelaki.

BACA LAGI: Anak usia 3 tahun tunjuk ciri kurang keyakinan diri, kecewa, ini penjelasan pakar kaunseling

BACA LAGI: Apabila anak kecil enggan tinggal bersama ibu, bekas suami tidak pujuk dianggap langgar perintah mahkamah

“Mungkin mak dan abah tak 'menang tangan' nak jaga kembar, jadi saya dihantar ke Ipoh, (Perak) untuk tinggal dengan datuk dan nenek,” kongsinya menerusi hantaran di akaun Threads miliknya pada Isnin.

Ujarnya, beliau hanya kembali tinggal bersama ibu bapanya pada usia lima tahun sebelum memasuki asrama ketika berumur 13 tahun.

Sejak itu, wanita tersebut hidup jauh daripada keluarga dan mengakui perasaan 'tidak diinginkan' sentiasa menghantuinya.

“Perasaan tak pernah hilang. Tak kira apa pun alasan waktu itu, hakikatnya saya seorang sahaja yang dihantar jauh,” ceritanya.

Akuinya lagi, trauma masa kecil itu menyebabkan beliau membesar sebagai individu yang sangat berdikari, tetapi sukar mempercayai hubungan rapat (avoidant attachment).

“Saya beli rumah sendiri, tinggal seorang diri dan tak pernah ada hubungan percintaan.

"Kucing-kucing jadi teman yang faham kesunyian dan tetap ada bila saya perlukan kehangatan,” tulisnya lagi.

Namun, kehidupan wanita itu berubah selepas kakaknya meninggal dunia.

Beliau mengambil keputusan untuk kembali tinggal bersama ibu bapa selepas 24 tahun berjauhan untuk menjaga anak saudaranya, Arman yang juga remaja autistik agar tidak melalui penderitaan sama.

"Bapa kandung (anak buah) masih hidup tapi tak pernah besarkan anaknya, dah bercerai dari umur (budak itu) tiga tahun.

“Saya tak mahu anak saudara rasa terabai atau membesar di tempat yang tak terasa seperti rumah.

"Kita tak boleh ubah masa lalu, tapi kita boleh pilih untuk tidak ulang kesakitan yang pernah membentuk diri,” katanya.

Beliau turut menyatakan, status bujang membolehkannya menjaga anak-anak saudara tanpa sebarang halangan.

“Saya mak cik bujang yang mampu jaga anak-anak buah tanpa perlu fikir izin suami atau urusan kerja.

"Mungkin inilah cara saya berdamai dengan masa lalu, dengan membesarkan anak saudara sendiri,” bicaranya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram