BERBEKALKAN semangat tidak pernah putus asa, penyanyi popular Bella Astillah cekal menemani anak-anaknya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna hingga ke garisan penamat dalam acara Iron Kids Langkawi 2025 yang berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah.
Kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mencuri tumpuan apabila mengiringi Bella dan anak-anaknya di lokasi kejohanan, selain dikatakan turut membantu persiapan fizikal Ayden dan Ara sebelum acara berlangsung.
Larian tersebut merupakan sebahagian daripada Ironman Malaysia Langkawi, program triatlon bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan peserta dari seluruh dunia.
BACA LAGI: Adik 'perit' hilang bayi 11 bulan, abang gesa pemilik lembu tampil tanggungjawab kemalangan di Bera
Tahun ini, edisi Iron Kids mencuri tumpuan ramai dengan kehadiran kedua-dua anak Bella yang berjaya menamatkan cabaran penuh semangat, diiringi sorakan pengunjung di situ.
Sokongan Syed Saddiq
Menariknya, Syed Saddiq bukan sekadar hadir memberi sokongan moral, malah turut terlibat secara langsung dalam melatih persiapan fizikal Ayden dan Ara menjelang kejohanan tersebut.
Dikenali sebagai figura politik yang aktif dalam gaya hidup sihat, Syed Saddiq sebelum ini pernah menyertai acara Ironman dan sering berkongsi rutin latihan larian jarak jauh serta aktiviti berbasikal di media sosial.
Dalam beberapa rakaman tular, Bella kelihatan berlari di sisi anak-anaknya sambil memberikan semangat, malah memeluk mereka sebaik tiba di garisan penamat.
Aksi spontan itu mengundang pujian ramai, termasuk peserta dan penonton yang menganggap Bella contoh ibu moden yang aktif dan menyokong minat anak-anak secara konsisten.
Iron Kids pupuk disiplin anak
Acara Iron Kids Langkawi bertujuan memupuk minat kanak-kanak terhadap gaya hidup aktif melalui sukan triatlon gabungan disiplin lari, renang dan berbasikal.
Ia juga menjadi pentas awal untuk mencungkil bakat muda sebelum melangkah ke kejohanan Ironman sebenar pada usia remaja.
Penyertaan keluarga selebriti seperti Bella Astillah secara tidak langsung menjadi pemangkin minat baharu dalam kalangan ibu bapa dalam memberi pendedahan awal kepada anak-anak terhadap sukan lasak dan aktiviti fizikal.
Malah, kejayaan Ayden dan Ara bukan sekadar pencapaian individu, tetapi simbol semangat kekeluargaan dan sokongan moral yang kukuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
