Pegawai polis Auckland dinobat Miss Universe New Zealand 2025, sedia cabar stereotaip wanita berkerjaya


  • Sukses
  • Ahad, 06 Jul 2025

Sturgin berharap mampu menjadi inspirasi kepada gadis-gadis muda yang masih tercari identiti dan keyakinan diri dalam mengejar impian. — Agensi

SEORANG pegawai polis barisan hadapan di Auckland, Abby Sturgin, mencipta sejarah apabila dinobatkan Miss Universe New Zealand 2025.

Pemilihan Sturgin diumumkan pada 24 Jun lalu, sekali gus melayakkannya untuk mewakili New Zealand ke pentas Miss Universe edisi ke-74 yang bakal berlangsung di Thailand pada November tahun ini.

Lebih menarik, wanita berusia 28 tahun berdarah campuran Kiwi-Laos itu bukan hanya memegang gelaran ratu cantik semata-mata, malah turut bertugas sebagai konstabel polis.

BACA LAGI: Deniz Sagdic transformasi seni dari bahan kitar semula jadi 'suara' isu kelestarian, alam sekitar

BACA LAGI: Palsukan ijazah, bekas Ratu Cantik China dipenjara 240 hari

Membuktikan bahawa kecantikan dan profesionalisme bukan sesuatu perlu dipisahkan, Sturgin mengakui hasratnya untuk membawa erti baharu kepada dunia ratu cantik serta mencabar persepsi masyarakat terhadap wanita memiliki cita-cita tinggi.

“Masyarakat sering beranggapan seseorang wanita tidak boleh menjadi cantik dan pada masa sama bijak atau bekerja keras.

"Saya mahu tunjukkan bahawa wanita tidak perlu merendahkan pencapaian dan impian mereka untuk kelihatan menarik,” katanya.

Sturgin berharap mampu menjadi inspirasi kepada gadis muda yang masih tercari-cari identiti dan keyakinan diri dalam mengejar impian mereka.

“Saya mahu mereka berfikir ‘wau hebatnya, dia seorang pegawai polis, tapi juga boleh bergaya dengan kasut tumit tinggi dan gaun yang menawan',” ujarnya.

Selain menjulang nama negaranya di pentas antarabangsa, Sturgin turut berikrar untuk menggunakan platform Miss Universe bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu sosial yang dekat di hatinya.

Ia termasuk seperti keganasan rumah tangga, selain menyokong kerja-kerja amal bersama pertubuhan tempatan.

Kemenangan Sturgin bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi turut mencerminkan perubahan landskap pemikiran masyarakat global terhadap erti kecantikan, keupayaan dan peranan wanita masa kini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram