Sultan Pahang, Tunku Azizah lepas rindu jumpa anak angkat hidap sindrom Werewolf di Sarawak


  • Cinta
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah gembira bertemu semula anak angkat baginda, Missclyen anak Roland, di Kuching sempena lawatan rasmi ke Sarawak. — Facebook/Kesultanan Pahang

LAWATAN rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sarawak kali ini bukan sekadar mengukuhkan silaturahim antara dua negeri, malah diwarnai dengan detik mengharukan.

Saat bermakna itu adalah apabila baginda berdua kembali bertemu anak angkat mereka yang pernah tular, Missclyen anak Roland.

Pertemuan semula penuh kasih sayang itu berlangsung di sebuah kafe, Commons The Old Court House, Jalan Tun Haji Openg, Sarawak pada Jumaat.

BACA LAGI: 'Lampu pintar banjir', inovasi pelajar KV Shah Alam, beri amaran awal, elak kerugian rosak harta benda

BACA LAGI: Projek sistem rumah pintar rekaan pelajar KV Setapak bantu pemilik 'homestay' jimat bil elektrik 30 peratus!

Perjumpaan itu mencetuskan rasa gembira selepas terukir jelas pada wajah Seri Paduka Baginda berdua, sekali gus menyentuh hati ribuan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan mereka.

Untuk info, Missclyen anak Roland ialah kanak-kanak perempuan dari Bintulu, Sarawak yang pernah mencuri perhatian dan meruntun hati Al-Sultan Abdullah serta Tunku Azizah ketika Kembara Kenali Borneo pada 2023.

Kehidupan Missclyen tular kerana dia dilahirkan dengan kondisi yang jarang berlaku, iaitu Hypertrichosis atau lebih dikenali sebagai sindrom Werewolf.

Penyakit kulit itu menyebabkan pertumbuhan bulu yang berlebihan dan lebat, khususnya di sebahagian besar wajahnya.

Bukan sahaja di wajah, bulu-bulu halus juga tumbuh pada seluruh badannya.

Tambah menyedihkan lagi, Missclyen turut dilahirkan tanpa lubang hidung sekali gus memerlukan perhatian dan penjagaan perubatan yang begitu rapi.

Terkesan dengan nasib Missclyen, Tunku Azizah pada penghujung 2023, semasa baginda berdua masih memegang tampuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, berkenan mengambil Missclyen sebagai anak angkat.

Pengambilan itu bukan sahaja menjamin perubatan berterusan untuk Missclyen malah turut meliputi perbelanjaan persekolahannya kelak, sekali gus meringankan beban keluarga Roland Jimba.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang, Paduka Baginda berdua meluangkan masa bertemu Missclyen dan keluarganya.

Kehadiran Missclyen bersama ibu bapanya ke kafe tersebut jelas mengundang keceriaan dengan senyuman dan gelak tawa yang memenuhi ruang pertemuan.

Pertemuan itu berlaku sempena Lawatan Rasmi Empat Hari Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke negeri Sarawak yang bermula pada Jumaat Jumaat.

Lawatan itu adalah yang pertama bagi 2025 sejak program Kembara Borneo pada 2024, dengan ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan akrab antara Pahang dan Sarawak.

Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan menghadiri pelbagai acara rasmi dan kebudayaan, termasuk Majlis Malam Mesra Sarawak-Pahang, meninjau kegiatan tenunan tradisional di Seri Gedong Songket serta lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Selain itu, baginda berdua juga akan menghadiri Majlis Penangguhan Regatta Sarawak dan Festival Kraf Borneo Sarawak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram