Makin ramai budak alami kanser? Doktor perjelas situasi sebenar, 5 kanser kerap 'serang' kanak-kanak di Malaysia


  • Bonda
  • Isnin, 03 Nov 2025

Kadar kelangsungan hidup pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia kini mencecah 70 hingga 80 peratus, terutamanya jika dikesan awal. — Gambar hiasan

RAMAI ibu bapa menyangka semakin ramai kanak-kanak menghidap kanser pada masa kini, namun hakikatnya kadar sebenar penyakit itu tidak meningkat secara mendadak.

Sebaliknya jelas Pakar Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak Dr. Nisa Khalil, peningkatan kesedaran awam dan perkongsian meluas di platform digital menyebabkan ramai beranggapan penyakit itu kini lebih kerap berlaku berbanding dahulu.

BACA LAGI: Keadaan wad kanak-kanak, kisah ibu cetus tekad Dr Saun beri harapan kepada pesakit kanser di NCSM

BACA LAGI: Nampak seperti sakit biasa rupanya kanser, pakar pediatrik kongsi panduan kenal pasti anak-anak alami kanser

"Doktor, kenapa macam ramai saja budak kena kanser sekarang? Bertambah ke?

"Biar saya jelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Media sosial memperbesarkan segalanya.

"Satu kisah dikongsi ribuan kali, lalu kita rasa macam ia semakin kerap berlaku, padahal bukan begitu,” katanya menerusi hantaran di akaun Threads pada Isnin.

Tambah beliau, kemajuan teknologi perubatan dan kesedaran ibu bapa juga menyebabkan lebih banyak kes dapat dikesan awal, sekali gus memberi peluang rawatan yang lebih berkesan.

Malah, ujarnya, ibu bapa juga sekarang lebih terbuka berkongsi kisah anak mereka untuk mendapatkan sokongan.

"Dulu, keluarga lebih cenderung merahsiakan perkara seperti ini,” ujarnya.

Dr. Nisa berkata, kesedaran dan pendedahan masyarakat terhadap isu kesihatan kanak-kanak kini semakin tinggi. — Dr. Nisa Khalil

Mengulas lanjut mengenai kadar sebenar, Dr. Nisa berkata, kanser kanak-kanak berlaku kira-kira satu dalam 10,000 kanak-kanak setahun di Malaysia.

Angka itu jelas beliau, jauh lebih rendah berbanding kanser dalam kalangan orang dewasa.

“Dalam sekolah yang ada 1,000 murid, secara statistik kurang daripada seorang mungkin akan didiagnosis sepanjang zaman kanak-kanak mereka,” maklumnya.

Beliau memberitahu, walaupun jumlahnya kecil, ratusan keluarga tetap terkesan setiap tahun dan setiap kes amat bermakna.

Bagaimanapun, Dr. Nisa yang aktif berkongsi maklumat kesihatan di media sosial menegaskan, ia bukan wabak tetapi penyakit jarang berlaku.

Berita baiknya juga, beliau berkongsi bahawa kadar kelangsungan hidup pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia kini mencecah 70 hingga 80 peratus, terutamanya jika dikesan awal.

“Tujuh hingga lapan daripada 10 kanak-kanak boleh pulih sepenuhnya. Antara faktor peningkatan termasuk rawatan lebih baik, pengesanan awal, tubuh kanak-kanak yang cepat pulih dan rangkaian sokongan keluarga serta komuniti yang semakin kukuh.

"Ini bukan kanser zaman dahulu. Rawatan moden telah mengubah segalanya,” katanya.

Antara jenis kanser paling kerap menyerang kanak-kanak di Malaysia termasuk:

  • Leukemia atau kanser darah (paling biasa berlaku)
  • Tumor otak
  • Limfoma
  • Tumor tulang (osteosarcoma)
  • Tumor buah pinggang (wilms tumour)

Kemajuan teknologi perubatan dan kesedaran ibu bapa menyebabkan lebih banyak kes kanser dapat dikesan awal. — Gambar hiasan

Dr. Nisa menjelaskan, kanser kanak-kanak berbeza daripada golongan dewasa kerana sel tubuh mereka masih membesar dan bertindak balas lebih baik terhadap rawatan.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar peka terhadap beberapa tanda amaran awal, antaranya:

  • Kulit pucat atau mudah lebam.
  • Demam berpanjangan lebih dua minggu.
  • Benjolan tidak normal pada leher, perut atau anggota badan.
  • Kehilangan berat badan tanpa sebab.
  • Sakit kepala berterusan disertai muntah.
  • Sakit tulang yang tidak sembuh.

“Pemeriksaan bukan bermakna diagnosis, ia boleh beri ketenangan atau peluang rawatan awal,” katanya.

Dr. Nisa menegaskan, kebanyakan kanser kanak-kanak tidak boleh dicegah dan bukan berpunca daripada kesilapan ibu bapa.

Antara yang boleh dilakukan adalah memastikan anak mendapat pemakanan seimbang, tidur cukup, gaya hidup aktif, imunisasi lengkap dan pemeriksaan kesihatan berkala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram