DI tengah kesibukan dan kemodenan ibu kota Kuala Lumpur, kondominium mewah pertama dan tertua di Malaysia, Desa Kudalari nyata menyimpan sejarah tersendiri.
Siap dibina pada 1984, projek berprestij itu merupakan hasil visi jauh ke hadapan tokoh korporat terkenal, mendiang Datuk Tan Chin Nam, yang ketika itu sudah membayangkan Kuala Lumpur akan berkembang menjadi kota metropolitan yang memerlukan kediaman kondominium berkepadatan rendah, selesa dan eksklusif.
Desa Kudalari dibangunkan dengan konsep mewah keluarga bandar, menampilkan unit luas, ruang dalaman praktikal dan kemudahan lengkap yang pada zaman Chin Nam dianggap cukup moden.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia berminat beli rumah di Jepun, ini 5 panduan praktikal boleh cuba!
Ia termasuk kolam renang besar, gelanggang tenis, taman hijau, gimnasium dan kawalan keselamatan 24 jam.
Menerusi perkongsian di Instagram tantandevelopments, menariknya, nama Desa Kudalari membawa maksud perkampungan kuda lumba, diinspirasikan oleh pemandangan asal yang menghadap ke litar lumba kuda Selangor Turf Club, sebelum kawasan itu berubah wajah menjadi The Golden Triangle.
Lebih empat dekad berlalu, Desa Kudalari kekal berdiri megah sebagai ikon kediaman klasik, menawarkan pemandangan menakjubkan dari setiap balkoni unitnya.
Walaupun dikelilingi pembangunan moden seperti KLCC dan menara pencakar langit baharu, Desa Kudalari masih mengekalkan pesona damai dan suasana tenang yang menjadi daya tarikan utama kepada penghuninya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
