Transformasi bas lama jadi 'bas sensori', pamer karya seni 2 wanita autistik, pecah stereotaip


  • Sukses
  • Selasa, 04 Nov 2025

Dari kanan: Lilli dan Amanda merupakan pemenang karya seni Bas Sensori.

SEBUAH bas lama Torrens Transit kini diberi nafas baharu selepas diubah suai menjadi bas sensori iaitu ruang sensori mudah alih pertama di Australia Selatan yang direka khas bagi menyokong individu autistik menghadiri acara komuniti dengan lebih selesa.

Dibalut dengan karya seni hasil dua artis autistik tempatan, Lilli Giles dan Amanda Turner, bas unik itu bukan sahaja menarik perhatian dengan penampilannya, tetapi turut membawa misi besar.

Inisiatif itu diharapkan berupaya mengurangkan halangan penyertaan dan mewujudkan persekitaran inklusif bagi kanak-kanak, remaja dan orang dewasa autistik.

BACA LAGI: Keadaan wad kanak-kanak, kisah ibu cetus tekad Dr Saun beri harapan kepada pesakit kanser di NCSM

BACA LAGI: Keadaan wad kanak-kanak, kisah ibu cetus tekad Dr Saun beri harapan kepada pesakit kanser di NCSM

Bas sensori itu menyediakan ruang yang tenang, selamat dan mesra deria, membolehkan pengunjung menenangkan diri serta menstabilkan emosi sebelum kembali menyertai aktiviti mungkin dirasakan terlalu membebankan.

Ia dijadualkan menyertai pelbagai acara utama di sekitar Adelaide termasuk OzAsia Moon Lantern Trail, National Pharmacies Christmas Pageant, Multicultural Festival, bp Grand Final dan Tour Down Under.

Selain itu, organisasi lain juga boleh menempah bas berkenaan bagi tujuan program inklusif melalui perkhidmatan berbayar.

Projek tersebut terhasil melalui kerjasama erat antara kerajaan, komuniti dan industri, dengan pembinaan dilakukan oleh McMahon Services, reka bentuk inklusif oleh Cox Architecture, pengurusan projek oleh Ventia dan dikendalikan sepenuhnya oleh Autism SA.

Inisiatif itu turut menerima sokongan daripada Kelsian Group, yang menyumbangkan bas Torrens Transit untuk diubah menjadi ruang sensori khas serta menyediakan bantuan berterusan untuk memastikan kelestarian projek tersebut.

Bas sensori menyediakan ruang selamat, membolehkan pengunjung menenangkan diri sebelum kembali menyertai mana-mana aktiviti.

Komuniti autistik

Seni pada badan bas menjadi simbol kepada suara dan pengalaman komuniti autistik sendiri.

Bagi pemenang pertandingan artis muda yang rekaannya dipaparkan pada salah satu sisi bas, Lilli, 16, peluang itu menjadi wadah untuk memecahkan stereotaip terhadap autisme.

“Saya mahu karya seni ini mencerminkan kepelbagaian individu autistik, jadi saya sertakan watak berbilang kaum, wanita dan gadis,” katanya yang juga didiagnos sebagai autistik.

Lilli turut berharap bas tersebut dapat menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang berasa tertekan dalam suasana yang sibuk.

Sementara itu, bagi Amanda, 41, yang disahkan autistik pada usia 30-an, dunia sering terasa terlalu 'bising' dan pengalaman itu diabadikan dalam karyanya bertajuk My World Is Amplified.

Karya tersebut diinspirasikan daripada lagu ciptaannya sendiri yang menggambarkan kehidupan seharian sebagai individu autistik.

“Bas ini akan menjadikan acara yang sebelum ini sukar diakses kini lebih mesra dan boleh dinikmati oleh ramai orang.

“Ia memberi peluang kepada ramai individu autistik untuk hadir ke acara yang sebelum ini mungkin mereka terpaksa lepaskan,” kata Amanda.

Dengan inisiatif itu, Australia Selatan menunjukkan langkah proaktif ke arah masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin terhadap keperluan sensori, menjadikan setiap acara komuniti lebih mesra untuk semua. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram