
BAGI sesetengah pasangan, perjalanan menuju zuriat bukanlah sesuatu yang mudah.
Ada yang bertahun-tahun menunggu kehadiran cahaya mata, berikhtiar pelbagai cara termasuk rawatan kesuburan, namun takdir menentukan rezeki itu hadir dalam pelbagai bentuk antaranya kehadiran seorang anak angkat.
Situasi itu dihadapi oleh sepasang suami isteri ini yang akhirnya mampu tersenyum lega selepas memperoleh hak penjagaan penuh terhadap anak angkat mereka selepas lebih dua tahun melalui proses mencabar.
BACA LAGI: 'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun
Menurut wanita hanya mahu dikenali sebagai Ara, 32, beliau dan suami mula menjaga anak tersebut sejak dilahirkan dan kini sudah berusia 2 tahun.
Kehadirannya disifatkan sebagai penyeri rumah tangga yang sebelum ini sunyi tanpa tangisan anak.
"Keseluruhan proses hampir dua tahun juga bermula dari laporan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sampai Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN), semua kena lengkap.
"Pihak JKM juga menilai keadaan kewangan, tempat tinggal serta kerjaya kami untuk pastikan benar-benar stabil sebelum luluskan hak penjagaan," katanya.
Sebelum berjaya melalui prosedur rasmi itu, mereka pernah berdepan kekecewaan apabila dua kali menjadi mangsa penipuan ketika mencari anak angkat.
Namun, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba demi kehadiran seorang cahaya mata selepas lebih enam tahun perkahwinan.
"Masuk tahun keenam perkahwinan kami masih belum ada anak, lalu suami cadangkan cuba ambil anak angkat.
"Mula-mula mak ayah pun terkejut sebab kami tak pernah bincang hal ni sebelum ni tapi kami cekal sabar naik turun JKM lalui prosedur yang betul.
"Sayang tu datang sendiri, kita rancang lain, tapi ALLAH bagi yang lebih indah, syukur sangat bila semua akhirnya selesai dan kami dapat lampu hijau daripada pihak berkuasa,” katanya lagi.
Menariknya, pasangan itu mengenali ibu kandung bayi tersebut melalui satu kumpulan di Facebook, yang menghimpunkan individu dan pasangan mencari keluarga angkat sesuai untuk anak mereka.
"Saya join satu kumpulan di Facebook, ada ibu bapa yang tak mampu besarkan anak sebab masalah rumah tangga atau kewangan.
"Dari situ kami berhubung, tapi sekarang dah tak berhubung lagi, sebab masing-masing dah ada kehidupan sendiri," jelasnya.
Kini, selepas memperoleh hak penjagaan penuh berserta surat akuan sumpah sebagai bukti sah, pasangan itu menyifatkan anaknya sebagai anugerah tidak ternilai dalam hidup mereka.
"Kami anggap dia rezeki paling bermakna, kepada pasangan yang masih TTC, jangan putus asa. Kalau nak ambil anak angkat, buat ikut saluran betul dan paling penting, suami isteri kena sama-sama sokong.
"Kalau seorang saja berusaha, memang susah nak jalan," katanya menutup bicara.
Bukan semua pasangan diberi laluan mudah untuk memiliki zuriat, namun dengan hati yang terbuka dan kasih sayang yang tulus, kehadiran seorang anak walau bukan daripada darah daging sendiri tetap mampu menyempurnakan makna sebuah keluarga.
Maka, setiap anak yang hadir, sama ada lahir dari rahim atau hadir dari takdir, tetap membawa cahaya dan makna dalam kehidupan sesebuah keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram