Apabila anak kecil enggan tinggal bersama ibu, bekas suami tidak pujuk dianggap langgar perintah mahkamah


  • Massa
  • Selasa, 04 Mac 2025

Setiap pihak terlibat dalam kes hak jagaan anak perlu mematuhi keputusan mahkamah demi kesejahteraan anak yang terlibat. 

MENITI alam rumah tangga tidak selalunya indah, Lebih-lebih lagi jika sudah dikurniakan cahaya mata, tanggungjawab dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh pasangan sudah tentunya semakin besar.

Jika tersilap langkah, rumah tangga yang dibina berpotensi mengundang masalah yang kemudiannya menyebabkan segelintir pasangan mengambil keputusan untuk membubarkan perkahwinan.

Jadi, dalam kes penceraian, antara isu yang sering menimbulkan persoalan adalah perkara berkaitan hak jagaan anak. Siapakah yang lebih berhak mendapat hak jagaan tersebut? Adakah si bapa atau si ibu?

BACA LAGI: Inspirasi seni bina Jaipur, ukiran bunga tiang seri, koleksi raya 2025 simbolik kekuatan, idea trio Mimpikita

BACA LAGI: [VIDEO] Scha didik Lara, Lyla tidak bermekap, bimbang implikasi bahan produk kosmetik, belum masanya

Irsamuddin menjelaskan, undang-undang menetapkan bahawa ibu yang paling berhak mendapatkan hak jagaan anak selepas perceraian. 

Berdasarkan peruntukan undang-undang syariah, keutamaan hak jagaan anak diberikan kepada ibu selagi mana ibu tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan kelayakannya untuk menjaga anak.

Menurut peguam syarie, Irsamuddin Fitri, undang-undang menetapkan bahawa ibu adalah individu yang paling berhak mendapatkan hak jagaan anak selepas perceraian. 

Keutamaan ini berdasarkan beberapa faktor, termasuk keupayaan ibu dalam membesarkan dan menjaga anak dengan penuh kasih sayang. 

Jika ibu tidak layak, hak jagaan akan beralih kepada nenek sebelah ibu, diikuti oleh bapa. Justeru, kedudukan bapa dalam senarai keutamaan hak jagaan jatuh ke tempat ketiga.

Namun, terdapat keadaan tertentu yang boleh menyebabkan seorang ibu kehilangan hak jagaan anak.

"Kalau selagi mana mahkamah dapati si ibu ni tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan kelayakan untuk menjaga, maka mahkamah akan putuskan hak penjagaan kepada ibu. 

"Katakanlah dia ni mendera anak. Apabila bekas suami dapat buktikan kepada mahkamah bahawa dia mendera, maka dia dah hilang kelayakan. Jadi dalam situasi antara plaintif dan defendan tu, maka ayah lebih berhak," jelasnya kepada Majoriti.

Faceless mother with naked baby, infant holding mommy's finger, mum spending time with her tiny child on light background.

Ibu yang mengandungkan anak selama sembilan bulan dan menyusukan anak sudah tentu mempunyai hubungan emosi yang lebih dalam dengan anak berbanding bapa. — Gambar hiasan/Freepik

Mengapa ibu lebih berhak?

Mengulas mengenai sebab kenapa ibu lebih berhak mendapat hak jagaan anak, kata Irsamuddin, ia tidak mempunyai jawapan memandangkan ia sudah termaktub dalam undang-undang.

Namun, jika mengikut logik akal, terdapat beberapa faktor yang menjadi asbab situasi itu berlaku.

"Ibu yang mengandungkan anak selama sembilan bulan dan menyusukan anak sudah tentu mempunyai hubungan emosi yang lebih dalam dengan anak berbanding bapa dan ibu juga mempunyai kelembutan dalam mendidik dan menjaga anak," ujarnya.

Oleh sebab itu, mahkamah lebih cenderung memberikan hak jagaan kepada ibu kecuali terdapat faktor-faktor yang boleh menggugat kesejahteraan anak.

Mengambil contoh dalam kes melibatkan pasangan pempengaruh media sosial popular yang mana anak mereka tidak mahu tinggal bersama si ibu walaupun mahkamah memberikan hak jagaan kepadanya, Irsamuddin menjelaskan, perintah mahkamah tetap perlu dipatuhi.

Dalam situasi tersebut, si bapa perlu menjalankan tanggungjawabnya untuk memujuk si anak mengikut ibu mereka kerana selagi mana si anak itu tidak diserahkan, ia dianggap melanggar perintah mahkamah. 

Jika ibu didapati bersalah mendera anak, maka, si bapa lebih berhak mendapat hak jagaan anak. — Gambar hiasan/Freepik

"Kalau anak itu perempuan berusia sembilan tahun dan lelaki berusia tujuh tahun, mahkamah akan panggil untuk diambil keterangan bagi membuat keputusan.

"Katakanlah mahkamah putuskan memang hak penjagaan pada si A, maka si B ni tugas dia adalah untuk pastikan anak itu diserahkan kepada si A. Jadi, selagi mana dia tak serahkan, maka pada saat itu dia dikira sebagai melanggar perintah mahkamah," jelasnya.

Berdasarkan temu bual ini, ibu jelas lebih berhak untuk mendapatkan hak jagaan anak selepas penceraian berdasarkan peruntukan undang-undang syariah. 

Keutamaan ini diberikan kepada ibu kerana peranan penting yang dimainkan oleh ibu dalam kehidupan anak, termasuk kasih sayang dan penjagaan yang diberikan sejak lahir. 

Pun begitu, jika ibu didapati tidak layak, hak jagaan boleh berpindah kepada nenek sebelah ibu atau bapa bergantung kepada keadaan.

Dalam setiap keputusan yang dibuat oleh mahkamah, kepentingan terbaik anak akan menjadi keutamaan utama. 

Justeru, setiap pihak yang terlibat dalam kes hak jagaan anak perlu mematuhi keputusan mahkamah demi kesejahteraan anak yang terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram