DI sebalik gaya hidup glamor dan jadual kerjaya yang padat, pelakon dan pengacara terkenal, Sazzy Falak, tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan.
Bagi wanita berusia 44 tahun itu kejayaan sebenar bukan sekadar pada layar kaca, tetapi bagaimana beliau membesarkan tiga anaknya menjadi insan berdisiplin, bijak berfikir dan seimbang dalam dunia digital serta kehidupan sebenar.
Di rumah, suasana mungkin tidak jauh berbeza dengan kebanyakan keluarga moden, ada tablet, gelagat anak-anak bermain permainan dalam talian dan ada masanya menonton YouTube.
BACA LAGI: Aktif bersukan sejak sekolah, kini pickleball pilihan Sazzy, kekal sihat, bergaya
BACA LAGI: [VIDEO] Sukan pickle ball makin canggih, gelanggang AI jadi tarikan Mothership
Namun Sazzy berkata, dirinya tidak pernah lepas tangan dalam soal penggunaan teknologi oleh anak-anaknya.
“Saya memang suka pantau apa yang anak-anak tengok atau main, sama ada di YouTube atau permainan dalam talian.
"Kita tak tahu perkara yang mereka terdedah melalui gajet, jadi penting untuk ibu bapa beri perhatian terhadap apa yang anak-anak lihat,” katanya ketika ditemui Majoriti, baru-baru ini.

Bagi Sazzy, sukan pickleball memberi peluang kepadanya untuk tampil sihat dan bergaya. — Instagram/sazzyfalak
Dikurniakan anak perempuan kembar dan seorang anak angkat lelaki berusia lima tahun, pelakon Gol & Gincu itu mengakui cabaran sebagai ibu dalam era digital bukan mudah.
Ketika diminta mengulas tentang permainan dalam talian Roblox yang kini hangat diperkatakan, Sazzy mengakui anak bongsunya, Idris turut pernah mencuba permainan berkenaan.
"Idris main juga tapi kakak-kakak dia yang dah besar akan jaga.
"Yang kakaknya dah boleh tahu beza baik dan buruk sebab saya ajar dari kecil, cuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, mereka masih mudah terpengaruh, jadi saya tetap pantau,” ujarnya.
Menariknya, keluarga Sazzy bukan jenis yang ‘melekat’ 24 jam dengan gajet.
Sebaliknya, mereka lebih gemar berpeluh di padang dan gelanggang.
“Kami memang aktif bersukan. Suami dan anak-anak masuk kejohanan pickleball, selain di sekolah mereka juga aktif dalam ragbi sentuh, hoki, bola tampar dan sofbol.
"Jadi masa mereka banyak diisi dengan aktiviti fizikal,” tambahnya.

Suami dan anak-anak Sazzy turut aktif menyertai kejohanan pickleball. — Instagram/sazzyfalak
Ceritanya lagi, gaya hidup aktif sekeluarga membantu mengimbangi masa anak-anak daripada terlalu bergantung pada dunia maya.
Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak tidak menafikan beliau menetapkan peraturan mengenai tempoh masa penggunaan gajet oleh anak-anak.
Namun kini, setelah meningkat remaja, beliau melihat Imaan Lily dan Tiara Rose, yang masing-masing berusia 14 tahun lebih bertanggungjawab dalam menguruskan masa sendiri.
“Dulu saya ada tetapkan SOP (prosedur operasi standard) berapa jam boleh main.
"Sekarang apabila remaja, mereka lebih bertanggungjawab. Malah, waktu minggu peperiksaan ini, dua minggu langsung tak main permain video” ujarnya tertawa kecil.

Sazzy (belakang, tengah) dan Nazril (belakang, kanan) dikurniakan dua kembar perempuan dan seorang anak angkat lelaki. — Instagram/sazzyfalak
Namun dalam tawa terselit juga rasa bimbang dalam hati isteri kepada personaliti keusahawanan, Nazril Idrus mengenangkan isu sosial melibatkan remaja hari ini, terutamanya kes buli di sekolah.
Bagi Sazzy, kunci utama dalam menghadapi dunia remaja moden ialah komunikasi terbuka.
"Sebagai ibu, saya memang risau tengok kes-kes buli yang makin kerap dilaporkan.
"Jadi setiap malam, saya dan anak-anak akan cuba duduk berbual dan berkongsi pandangan serta membincangkan isu semasa.
“Saya suka dengar pendapat mereka. Kadang-kadang mereka tanya soalan yang membuatkan saya berfikir juga, contohnya, 'kenapa kita terlalu fokus jaga anak perempuan, tapi tak cukup tekankan pentingnya membesarkan anak lelaki yang lebih baik?,” kata pemegang diploma bidang kewartawanan di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu.
Bagi Sazzy, perbualan seperti tersebut bukan sekadar rutin, tetapi satu cara membina kematangan dan empati dalam diri anak-anak.
“Apabila kita beri ruang bersuara, mereka belajar untuk berfikir dan faham kesan atas tindakan sendiri. Ia asas penting dalam mendidik anak-anak zaman sekarang,” jelasnya yang mendirikan rumah tangga bersama Nazril pada 8 November 2006.

Barisan pelakon yang menjayakan siri Safira (Bukan Nama Sebenar).
Karier
Mengenai kerjaya seni pula, Sazzy kini sibuk mempromosikan drama terbaharu berjudul Safira (Bukan Nama Sebenar).
Bakal ditayangkan di aplikasi iQIYI bermula 7 November depan, siri tersebut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datin Elvina Mohamad, Redza Rosli, Datuk Aaron Aziz dan ramai lagi.
Safira (Bukan Nama Sebenar) mengisahkan seorang gadis biasa bernama Nilam (lakonan Elvina) yang ingin mengubah nasib hidup seorang B40 dengan menjejak kaki ke dunia atasan T20.
Nilam kemudian menukar nama kepada Safira dan sekali gus menukar penampilan dirinya untuk masuk ke dunia golongan atasan itu.
Namun kehadiran beberapa lelaki menyebabkan dugaan satu persatu muncul dalam hidupnya.
Pengarah Urusan iQIYI Malaysia, Singapura dan Indonesia, Dinesh Ratnam berkata, aplikasi iQIYI sedang diberi perhatian untuk memperkukuhkan lagi produk tempatan Malaysia agar lebih berkembang pesat menjelang tahun hadapan.
“Di iQIYI, kami percaya pada pelaburan dalam ekosistem kandungan tempatan, sesuatu yang menjadi komitmen sejak lima tahun lalu.
"Safira merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan ini, sejajar dengan strategi kami untuk memperjuangkan kisah tempatan dan memupuk bakat kreatif di Malaysia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
