
DALAM era moden ini, ramai anak muda dan orang bujang memilih untuk tinggal di kondominium atau rumah studio yang kompak.
Ruang terhad menjadi cabaran utama, terutama bagi mereka yang bekerja dari rumah atau sering menerima tetamu.
Namun, dengan perancangan bijak, rumah kecil boleh menjadi tempat yang selesa dan berfungsi tanpa mengorbankan gaya hidup.
BACA LAGI: Bandar-bandar ‘hantu’ di Jerman cuba tarik penduduk baharu melalui 'trial living'
Dekorasi rumah bukan sekadar tentang menambah barang, tetapi tentang mencipta ruang yang mempunyai pelbagai fungsi dan menarik secara visual.
Bagi golongan muda yang sibuk, estetika menjadi keutamaan kerana rumah bukan sahaja tempat berehat, tapi mencerminkan personaliti mereka.
Idea-idea kreatif seperti penggunaan warna cerah, pencahayaan semula jadi dan aksesori minimalis boleh menjadikan ruang kecil kelihatan lebih luas serta moden.
Salah satu penyelesaian terbaik adalah dengan mengguna pakai perabot 2 dalam 1, yang bukan saja menjimatkan ruang tetapi menambah nilai estetik.
Konsep itu amat sesuai untuk anak muda yang tinggal sendirian di kondominium atau studio, di mana setiap inci ruang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Perkongsian daripada @mybrooklynapartment di Instagram menunjukkan bagaimana meja makan di apartment mereka berfungsi sebagai 2 dalam 1.
Selain dijadikan meja komputer dan bekerja, perabot sama juga boleh menjadi meja makan termasuk menyimpan item dekorasi meja.
Idea itu mempamerkan kreativiti bahawa perabot sedia ada boleh diubah suai untuk memenuhi keperluan harian tanpa mengganggu estetika keseluruhan rumah.
Majoriti senaraikan beberapa idea perabot pelbagai fungsi yang boleh dicuba, khusus untuk unit kondominium atau jenis studio yang mempunyai ruang terhad, tapi masih kelihatan cozy.
Idea-idea berkenaan diilhamkan daripada trend semasa dan sesuai untuk anak muda atau orang bujang.
1. Meja komputer diubah jadi meja makan
Seperti dalam perkongsian @mybrooklynapartment, meja komputer boleh diubah suai menjadi meja makan dengan menambah elemen penyimpanan di bawahnya.
Pilih meja dengan kaki boleh laras atau rak tambahan untuk menyimpan pinggan mangkuk serta barang dekorasi.
Ini menjimatkan ruang di studio kecil, yang mana anda boleh bekerja siang hari dan menghidang makan malam tanpa perlu perabot tambahan.
Estetiknya boleh ditingkatkan dengan menambah lampu meja moden atau tanaman kecil.
2. Sofa jadi katil
Sofa bed adalah pilihan klasik untuk ruang tamu kecil.
Ia berfungsi sebagai tempat duduk harian dan boleh dibuka menjadi katil untuk tetamu atau tidur malam.
Bagi anak muda di kondominium, pilih reka bentuk minimalis dengan kain tahan lama dan warna neutral untuk mengekalkan estetika moden.
Tambah bantal hiasan untuk sentuhan peribadi, menjadikannya pusat ruang tamu penuh bergaya tanpa memenuhi lantai.
3. Bangku ruang tamu dengan fungsi penyimpanan
Bangku atau ottoman dengan ruang penyimpanan di dalamnya boleh digunakan sebagai tempat duduk tambahan atau meja kopi.
Ia sempurna untuk menyimpan majalah, selimut, atau barang-barang kecil yang sering bertaburan.
Untuk rumah studio, pilih ottoman bulat atau segi empat dengan bahan kulit atau kain yang mudah dibersihkan, menambah elemen estetik sambil menyembunyikan kekacauan.
4. Katil dinding dengan rak buku atau meja
Katil dinding yang boleh dilipat ke dinding apabila tidak digunakan, sering digabungkan dengan rak buku atau meja kecil.
Ini ideal untuk bilik tidur kecil di kondo, yang mana ruang lantai boleh digunakan untuk aktiviti lain siang hari.
Reka bentuk moden dengan mekanisme mudah membuka menjadikannya praktikal untuk orang bujang, sambil mengekalkan rupa bilik yang bersih dan estetik.
5. Meja kopi jadi meja makan
Meja kopi dengan mekanisme angkat boleh dinaikkan menjadi meja makan penuh.
Ia sesuai untuk ruang tamu terhad, yang mana anda boleh minum kopi santai atau menghidang makanan untuk parti kecil.
Pilih model dengan roda untuk mudah digerakkan, dan tambah elemen dekorasi seperti lilin atau vas bunga untuk menambah daya tarikan visual.
Dengan idea-idea itu, rumah kecil boleh menjadi lebih berfungsi dan estetik, membolehkan anda menikmati gaya hidup moden tanpa rasa sesak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram