FENOMENA banjir kilat kerap melanda negara bukan sahaja mengancam nyawa, malah menyebabkan kerugian harta benda yang besar.
Menyedari cabaran ini, tiga pelajar cemerlang daripada Kolej Vokasional (KV) Shah Alam, Selangor, tampil dengan inovasi penyelesaian tempatan iaitu Smart Flood Alert Lamp.
Sistem amaran awal banjir ciptaan Nur Iftitah, Muhd Irfan dan Nur Ilmam itu menarik perhatian ramai pengunjung yang hadir ke Karnival Pendidikan TVET Madani 2025 yang berlangsung di KSL Esplanade Mall pada Ahad lalu.
BACA LAGI: Seni terarium bukan sekadar hobi, rutin menghias landskap mini jadi terapi
Produk ringkas tetapi efektif tersebut direka khusus untuk memberikan notifikasi segera kepada pemilik rumah sekiranya paras air di kawasan perumahan mereka mencapai tahap kritikal.
Inovasi ini membuktikan betapa pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mahir, malah proaktif dalam menyelesaikan isu-isu komuniti melalui teknologi.
Fizik
Menjelaskan mekanisme produk mereka, pelajar-pelajar ini berkongsi bagaimana lampu amaran pintar mereka berfungsi secara asas, menggunakan prinsip fizik yang mudah difahami.
"Caranya melalui daya apungan berbola gabus dalam botol. Berbola itu akan ternaik apabila air yang masuk itu menolak suis di bawah lampu itu, dan lampu itu akan menyala ataupun siren akan menyala untuk beri amaran (alert) kepada penduduk," jelas pelajar tersebut kepada Majoriti.
Mekanisme visual dan audio utama ini direka untuk memberi amaran kecemasan banjir segera kepada penduduk yang berada berhampiran lokasi pemasangan lampu.

Inovasi ini membuktikan betapa pendidikan TVET mampu melahirkan generasi muda yang mampu menyelesaikan isu-isu komuniti melalui teknologi.
Kelebihan utama Smart Flood Alert Lamp terletak pada keupayaan menawarkan amaran lebih spesifik dan awal berbanding kaedah tradisional seperti siren besar atau amaran media massa bersifat umum.
"Ya, produk ini mampu beri amaran lebih spesifik dan lebih awal kerana kami akan buat sistem ini ada aplikasi untuk memberi amaran lebih awal," ujar mereka, menunjukkan hala tuju masa depan untuk sistem ini.
Walaupun semiprototaip mereka buat masa ini belum mampu menghantar notifikasi secara automatik kepada pihak berkuasa atau individu, pelajar-pelajar ini mempunyai visi untuk penambahbaikan.
"Buat masa sekarang, semiprototaip kami tak boleh hantar lagi notifikasi apa-apa, tapi pada masa akan datang kami akan buat penambahbaikan. Ia akan menghantar notifikasi kepada telefon pintar, contohnya warden seperti di kolej kediaman kami," kata mereka, membayangkan sistem amaran yang terhubung secara terus.

Para juri sedang menilai rekaan Smart Flood Alert Lamp.
Menyedari cabaran lokasi pemasangan lampu yang berada di luar rumah dan terdedah kepada cuaca ekstrem, mereka turut merancang penambahbaikan dari segi ketahanan fizikal serta operasi sistem.
Antara cabaran yang dikenal pasti adalah penggunaan bahan mentah dan gangguan bekalan elektrik.
"Untuk pada masa akan datang juga kita akan pakai bahan yang lebih tahan cuaca. Seperti gangguan bekalan elektrik, kami akan tukar kepada penggunaan solar panel yang mana lebih sustainable (lestari) dan bertahan," jelas mereka.
Selain itu, bola pelampung (berbola gabus) juga akan ditukar kepada bahan yang lebih kukuh seperti PVC bagi menjamin operasi sistem yang lancar dan tahan lama.

Produk Smart Flood Alert Lamp yang dicipta oleh tiga pelajar KV Shah Alam.
Manfaat terbesar sekiranya sistem amaran awal ini dipasang secara meluas di kawasan perumahan terletak pada sumbangannya dalam proses pemindahan dan penyelamatan harta benda.
Sistem ini akan memberikan notifikasi awal kepada pengguna dan pentadbir (admin), justeru memudahkan urusan pemindahan barang-barang berharga.
"Ini memudahkan urusan pemindahan barang-barang. Jadi semua orang boleh siap siaga awal untuk pindah sekiranya air itu sampaikan paras yang bahaya. Ini amaran awal untuk semua orang supaya lebih peka, jadi boleh pindah awal," simpul mereka, menekankan nilai pencegahan dan persediaan yang ditawarkan oleh lampu pintar tersebut.
Inovasi Smart Flood Alert Lamp daripada pelajar KV Shah Alam ini membuktikan bahawa belia TVET kita berupaya mencipta solusi teknologi yang berimpak tinggi dalam menangani isu nasional.
Projek ini bukan sahaja mempamerkan kemahiran teknikal, tetapi juga kepekaan sosial mereka terhadap masalah banjir yang membelenggu rakyat.
Dengan sokongan dan pembangunan yang berterusan, sistem amaran awal yang ringkas, spesifik, serta lestari ini berpotensi besar untuk menjadi pelindung harta benda yang penting dalam setiap kawasan perumahan yang berisiko banjir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
