Keadaan wad kanak-kanak, kisah ibu cetus tekad Dr Saun beri harapan kepada pesakit kanser di NCSM


  • Massa
  • Jumaat, 06 Sep 2024

NCSM menjadi platform memberi harapan dan kualiti hidup bagi pesakit kanser di Malaysia.

PENUBUHAN Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menjadi titik permulaan bagi Datuk Dr Saunthari Somasundaram menjadi pendorong semangat kepada pesakit kanser.

Memulakan langkah sebagai doktor di Unit Pedriatrik di Hospital Kuala Lumpur, beliau yang lebih disenangi dengan panggilan Dr Saun meneruskan niat murninya itu apabila melihat keadaan pilu di wad kanak-kanak tersebut.

Tidak lokek berkongsi tentang pengalaman dan perjalanannya dalam bidang perubatan, wanita berusia 58 itu berkata, kekurangan fasiliti terutamanya untuk kanak-kanak menghidap kanser menguatkan keinginannya bersama NCSM.

BACA LAGI: 'Wanita lebih berani dan cakna', Dr Saun galak lelaki buat saringan awal cegah kanser

BACA LAGI: [VIDEO] Tak perlu susah-payah keluar, aplikasi iClean Selangor boleh diperluas mudahkan urusan lupus barang terpakai

6255632636018015527

Dr Saunthari Somasundaram

Menurut Presiden dan Pengarah Perubatan di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia NCSM itu, terdapat dua faktor utama mendorong keputusannya itu iaitu rakan seperjuangan dan ibunya.

"Ketika masih bekerja di HKL, saya bekerja di bawah seliaan seorang pakar kanak-kanak yang sangat hebat dan gemar membantu pesakit kanser.

"Kata-kata beliau saya ingat sehingga sekarang adalah 'bilik wad kita tak cukup, tolong carikan bilik lagi untuk kanak-kanak kanser ini'.

"Disebabkan itu, ambil keputusan hubungi NCSM yang terletak bersebelahan sahaja dengan HKL ketika pertubuhan itu baru diperkenalkan sekitar 1966," katanya kepada Majoriti.

Dr Saun berkata, tindakannya itu sekali gus mencetuskan ideanya untuk bekerjasama dan menyertai NCSM dalam usaha membantu memberi kemudahan kepada golongan tersebut.

Hasil daripada keazamannya, inisiatif Rumah Harapan Kanak-Kanak Kanser (Children's Home of Hope) di NCSM diperkenalkan sejak 1996.

Namun, siapa sangka di sebalik kejayaannya itu menyimpan seribu satu kesedihan dan kepahitan yang terpaksa ditelan seumur hidup.

m7100113-cancer_chemotherapy-1024x683

Ibu Dr Saun juga antara pejuang kanser. — Gambar hiasan/Agensi

Ibu penguat semangat

Mengimbau kembali detik pertama kali ibunya didiagnosis sebagai pesakit kanser ketika usianya lima tahun, Dr Saun menjelaskan bahawa ia merupakan sumber kekuatan paling besar dalam hidupnya.

"Sebagai kanak-kanak normal, saya sendiri pada waktu itu membesar dengan pelbagai persoalan dan dilema tentang tempoh ibu saya boleh hidup.

"Ibu saya menghidap kanser pertamanya di tulang belakang dan disebabkan itu dia tidak boleh berjalan, nak pergi bilik air pun tak boleh," kongsinya.

Lebih memberi inspirasi apabila melihat semangat ibunya untuk menguruskan diri sendiri dan bangkit semula daripada sakitnya itu.

Ibunya juga tidak berputus asa memulihkan diri sehingga berjaya berjalan semula.

"Bukan sekali ibu didiagnosis dengan kanser, tetapi tiga dan wanita kuat ini berjaya meneruskan hidupnya sehingga sekarang dengan usianya 90 tahun," tambahnya.

asian_man_hospital_bed

Dr Saun membesar dengan stigma pesakit kanser yang akan berdepan dengan kematian. — Gambar hiasan/Agensi

Kanser dan kematian

Perjalanan tersebut tidak dinafikan sangat sukar untuk ditempuhinya disebabkan tanggapan dan stigma masyarakat tentang kematian sekiranya seseorang individu itu menghidap kanser.

Dr Saun juga tidak terlepas daripada menerima tempias dan mendengar segala persoalan yang dilontarkan oleh orang di sekeliling berhubung keadaan ibunya.

"Saya melihat sendiri ada orang yang berbisik dan bertanya 'adakah dia (ibu) sihat?', 'Dia (ibu) akan meninggal duniakah?'.

"Tetapi apabila lihat wajah ibu, saya kata kepadanya 'ibu boleh lawan' walaupun tidak seindah seperti sedia kala.

"Ini kerana, saya sangat yakin kepada kualiti kehidupan," ujarnya.

Baginya, pesakit berhak menikmati kebahagiaan meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran hidup.

Dr Saun berkata, berdamai dengan penyakit seumur hidup itu sememangnya sukar tetapi tetap perlu dilakukan oleh para pesakit.

"Hidup bukan semata-mata boleh bernafas sahaja, tetapi makna dalam kehidupan itu sangat penting.

"Tidak kisah makna daripada apa jua aspek baik keluarga, rakan-rakan, kerjaya, amal kebajikan atau banyak lagi," tambahnya.

Rentetan itu, Dr Saun bertekad untuk terus berusaha dalam memberikan dorongan dan sokongan moral terhadap para pesakit kanser melalui NCSM semampunya.

Dengan cara itu juga dapat memberikan secebis harapan kepada golongan itu untuk menikmati sisa kehidupan yang ada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram