DALAM rumah tangga, hal kecil seperti makanan adakalanya boleh menjadi isu besar sehingga menyedihkan ada yang berakhir dengan perceraian.
Begitulah kisah dikongsikan seorang pengguna media sosial selepas mendedahkan wujud lelaki tidak sanggup menjamah lauk yang dimasak semalam, biarpun dipanaskan semula.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads imanriznoah_official, individu berkenaan berkata, kisah itu diketahui daripada rakan-rakan peguam yang pernah menerima aduan daripada isteri tertekan dengan sikap cerewet suami mereka.
BACA LAGI: Rumitnya konflik suami isteri, mesti cepat bawa berbincang atau lebih baik teruskan berdiam diri
“Tak sangka dalam dunia ini ada lelaki yang tak makan lauk semalam kalau ada lebih.
"Contohnya isteri masak lauk hari ini tak habis, esok dipanaskan semula tapi suami tak nak makan.
"Nak lauk baharu katanya, hari-hari kena masak lauk baharu. Meminta betul manusia macam ini,” tulisnya pada Selasa.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata berkongsi situasi sama turut dialami mereka.
Antaranya, ernisyuhadahasni yang memberitahu, suaminya cenderung mengambil pendekatan membuang makanan sekiranya tidak habis.
“Aku ini jenis sayang makanan, pulun habiskan seorang. Dia (suami) relaks saja, semua benda nak dibuangnya,” katanya.
Seorang lagi pengguna, wany_127 turut mengaku situasi sama berlaku dalam rumah tangganya.
“Samalah suami saya. Sebab itu saya masak ngam-ngam saja, cukup untuk sekali dua makan,” ujarnya.
Ada juga berkongsi pengalaman lebih ekstrem, seperti suami enggan menjamah bahan pernah dibekukan.
“Itu belum lagi yang tak makan lauk dibekukan. Hari-hari isteri kena pergi pasar.
"Ikan, ayam, daging yang pernah dibekukan pun dia tak nak. Macam-macam demand,” adu hakitatomate.
Sementara itu, akmlhmd pula mendedahkan beliau pernah menegur suaminya yang cerewet soal makanan dengan sindiran lembut.
“Dulu-dulu saya layan juga nak masak makanan segar tiap hari tapi kadang-kadang saya bagi ‘tarbiah’ sikit.
"Contohnya, ‘kita ini bukan orang senang, terima sajalah kalau makan lauk semalam. Jangan berlagak, nanti ALLAH uji'," ceritanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
