[VIDEO] Wartawan 'White House' kongsi pengalaman penuh protokol naik Air Force One bersama Trump ke Malaysia


  • Sukses
  • Rabu, 29 Okt 2025

Sophia (kanan) berkongsi pengalaman ketika mengikuti Trump dalam penerbangan ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

SEORANG wartawan dari Rumah Putih berkongsi pengalaman mengikuti Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam penerbangan selama 23 jam ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung 26 hingga 28 Oktober lalu.

Wartawan berkenaan, Sophia Cai menganggap perjalanan panjang itu sebagai momen yang cukup unik dan penuh protokol.

BACA LAGI: Ikan siakap, sate dan lemang menu buat Trump dan 5,000 tetamu sempena Malam Gala Sidang Kemuncak Asean

BACA LAGI: 'Lebih bersih dari California', berbakul-bakul rakyat AS puji jalan di Malaysia

“Pernahkah anda terfikir bagaimana rasanya terbang selama 23 jam menaiki Air Force One?

"Saya baru sahaja mendarat di Malaysia bersama Presiden Trump. Kami baru tiba di Kuala Lumpur.

"Biar saya bawa anda melihat sedikit di sebalik tabir perjalanan ini,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram Politico pada Isnin.

Menurut Sophia, disebabkan tempoh penerbangan yang lama, rombongan Trump menggunakan pesawat Air Force One bersaiz besar antara dua pesawat rasmi yang tersedia.

Beliau menjelaskan, kabin media terletak di bahagian paling belakang pesawat, di belakang Secret Service dan terpisah sepenuhnya daripada kabin presiden.

"Wartawan tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam kabin tersebut atas faktor keselamatan," katanya lagi.

Namun begitu ujar Sophia, pengalaman di udara tetap selesa dengan hidangan bertaraf premium.

“Ada sate daging, ayam bersama wafel, malah sandwic mentega kacang dan jem dihidangkan pada tengah malam!” katanya sambil memaklumkan Trump sendiri sempat datang ke bahagian belakang pesawat untuk beramah mesra dengan wartawan.

Sophia turut menyifatkan Trump dalam mood yang baik, menjawab pelbagai soalan berkaitan isu domestik dan antarabangsa sepanjang perjalanan tersebut.

Kongsinya, antara momen menarik lain ialah ketika pesawat berhenti mengisi minyak di Qatar.

"Presiden sendiri menjemput Perdana Menteri dan Emir Qatar menaiki Air Force One.

"Wartawan turut dibawa ke bahagian hadapan pesawat untuk merakam detik bersejarah tersebut," katanya.

Bagi Sophia, detik paling mengujakan adalah ketika dua jet pejuang F-18 mengiringi Air Force One menuju ke Kuala Lumpur di penghujung penerbangan.

Selepas hampir 24 jam di udara, rombongan akhirnya mendarat di Malaysia dan terus menuju ke acara rasmi pertama Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram