Nadirah, Nadiah kembar hijab pertama Singapura cipta sejarah arena gusti profesional


  • Sukses
  • Khamis, 30 Okt 2025

Bagi Nadirah (kiri) dan Nadiah, gusti bukan sekadar sukan, tetapi satu bentuk ekspresi diri dan seni persembahan. — Agensi

DI sebuah unit industri di kawasan Ubi, Singapura, kelihatan dua wanita muda beraksi lincah di atas gelanggang gusti berukuran enam kali enam meter.

Gerakan mereka pantas, penuh tenaga dan disiplin, namun bukan hanya itu yang paling mencuri perhatian, sebaliknya penampilan kedua-duanya lengkap bertudung.

Itulah Nadirah dan Nadiah Hirwandy, pasangan kembar berusia 23 tahun yang kini mencipta nama sebagai ahli gusti profesional berhijab pertama Singapura di bawah akademi Grapplemax Pro Wrestling.

BACA LAGI: Tak batal puasa jika hidu terapi, situasi berbeza jika hisap vape atau rokok

 

BACA LAGI: [VIDEO] Tak gentar diperhati ketika 'live painting', skil melukis Mia miliki gaya dan ekslusiviti tersendiri

Dalam satu sesi latihan baru-baru ini, aksi Nadirah atau lebih dikenali sebagai Amani dalam gelanggang sempat terhenti seketika apabila rambut hadapannya terkeluar dari tudung.

Dengan senyum malu, beliau berpaling untuk membetulkannya sebelum kembali beraksi.

Dari luar gelanggang, kembarnya Alani (nama pentas Nadiah) hanya tersenyum melihat insiden kecil itu.

Menyedari sukan gusti sering dikaitkan dengan kekasaran, sentuhan fizikal dan aksi dramatik, pasangan kembar itu tekad memecahkan persepsi bahawa wanita beragama Islam tidak sesuai dalam bidang sebegitu.

“Kami nak buktikan bahawa wanita berhijab juga boleh buat apa saja,” ujar Nadirah penuh keyakinan.

Nadirah (kanan) dan Maisarah menjalani latihan di GrappleMax. — Agensi

Mereka mula menjalani latihan profesional sejak Julai 2024 dan kini menjadi antara wajah baharu yang mendapat perhatian dalam arena gusti tempatan.

Namun perjalanan mereka tidak sunyi daripada kritikan termasuk daripada keluarga terdekat yang berpandangan konservatif.

“Ada yang cakap, ‘awak perempuan beragama Islam', tak patut buat benda macam ini.’

"Namun kami tahu kami tak buat salah. Selagi ibu bapa restu dan kami gembira, ia sudah cukup,” kata Nadiah.

Bapa

Minat terhadap gusti bermula sejak kecil apabila mereka sering menonton rancangan gusti bersama bapa.

Siapa sangka, sesuatu yang bermula sebagai hiburan akhirnya menjadi cita-cita buat dua beradik itu.

“Bapa kami pun peminat gusti, jadi beliau bangga dengan kami. Katanya ia satu bentuk aktiviti fizikal, bukan hal yang memalukan,” ujarnya.

Namun, mereka mengakui agak sukar untuk meyakinkan ibu yang lebih risau akan risiko kecederaan.

“Kami kena yakinkan ibu dengan tunjuk manfaatnya. Sekarang, beliaulah orang pertama yang bercerita dengan bangga tentang kami kepada rakan-rakannya,” kongsi Nadiah sambil tersenyum.

Dari kiri: Nadirah, Maisarah dan Nadiah ketika sesi latihan. — Agensi

Ekspresi diri

Bagi kembar tersebut, gusti bukan sekadar sukan, tetapi satu bentuk ekspresi diri dan seni persembahan.

“Gusti membolehkan kami menzahirkan watak dan berhubung dengan peminat. Ia satu cara untuk jadi diri sendiri,” jelas Nadirah.

Walaupun kelihatan yakin di gelanggang, mereka tidak menafikan ada kalanya muncul rasa diri tidak cukup baik.

Namun, sokongan antara satu sama lain menjadi kekuatan untuk terus berjuang.

“Setiap kali kami berlatih atau bertanding, kami tahu ia bukan sekadar untuk diri sendiri, tapi juga untuk mengubah cara orang pandang wanita Muslim,” tambahnya.

Sementara itu, menurut pengasas bersama Grapplemax Pro, Greg Ho, kemunculan ramai wanita berhijab dalam dunia gusti menuntut pendekatan lebih sensitif dan inklusif.

“Ada gerakan melibatkan kelajuan tinggi dan sentuhan tubuh. Kami bekerjasama dengan mereka untuk menyesuaikan teknik agar selesa dan selamat,” jelasnya.

Beliau mengakui organisasi itu kini sedang meneroka cara terbaik untuk mengekalkan keseimbangan antara autentisiti persembahan dan hormat terhadap latar budaya atlet.

“Kami tahu kami sedang memecah batas dan persepsi. Ini proses pembelajaran untuk semua pihak,” katanya.

Maisarah (kiri) percaya bahawa wanita berhijab boleh mencipta ruang sendiri dalam apa jua bidang, termasuk gusti profesional. — Agensi

Ikon hijabi

Pasangan kembar itu turut mendapat tunjuk ajar daripada ahli gusti berhijab pertama Singapura, Maisarah Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Sarah Coldheart.

Maisarah yang juga penerbit video berusia 30-an, menceburi gusti pada 2019 selepas mencubanya sebagai cabaran peribadi.

Kini, beliau menjadi wajah tetap dalam persembahan Grapplemax Pro.

“Saya tak perlu ubah diri untuk orang lain. Setiap ahli gusti ada gaya dan personaliti tersendiri,” katanya.

Apabila ditanya mengenai sentuhan fizikal dengan lelaki dalam gelanggang, Maisarah sempat berseloroh.

“Selalunya saya yang angkat lelaki itu,” katanya dalam nada bergurau.

Maisarah percaya bahawa wanita berhijab boleh mencipta ruang sendiri dalam apa jua bidang, termasuk gusti profesional.

“Kita boleh mencipta ruang sendiri di mana saja. Tak perlu kecilkan diri.

"Orang akan kritik apa pun yang kita buat, jadi lebih baik nikmati perjalanan ini,” tutur beliau. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram