Niat nak mudahkan kerja mak-mak moden, bekas jurutera bangunkan jenama minuman herba bentuk kiub


  • Sukses
  • Isnin, 13 Okt 2025

Hayfa Amira (kiri) dan Aizuddin sudahpun berbisnes sejak di universiti dan membina empayar sedikit demi sedikit.

BAGI pengasas jenama minuman herba moden Supercube, Hayfa Amira Ahmad Kamal, langkahnya ke dunia bisnes lahir daripada naluri keibuan, keperluan hidup dan minat tidak pernah padam sejak zaman universiti.

Sejak zaman kampus, wanita berusia 38 tahun itu sudah mula berniaga kecil-kecilan termasuk menjual baju kepada rakan-rakan universiti.

Ketika itu, graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu tidak sedar pengalaman kecil tersebut bakal menjadi asas kepada empayar minuman sihat yang kini menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ikat' perut, tumpang bilik kecil di rumah keluarga ketika bisnes merudum, kini Caryn Law personaliti e-dagang berjaya

BACA LAGI: Diuji susah menetap di setinggan, Afidah Kamaruddin titip pesan, wanita jangan gentar berdiri di kerusi kepimpinan

Sebaik menamatkan pengajian pada 2010, beliau melangkah ke alam pekerjaan sebagai jurutera pada usia 23 tahun.

Wanita yang lahir di Negeri Sembilan dan membesar di ibu kota itu mula meniti dunia profesional, meninggalkan jejak selama hampir empat tahun dalam bidang kejuruteraan.

Segalanya berubah apabila beliau menimang cahaya mata kedua.

Kesibukan kerja yang memerlukan ke luar daerah membuatkan hatinya tidak tenang meninggalkan anak-anak di rumah.

Kesibukan kerja sebagai jurutera sebelum ini membuatkan hati Hayfa Amira tidak tenang meninggalkan anak-anak di rumah.

Titik perubahan

Di situlah titik perubahan berlaku.

“Saya putuskan untuk letak jawatan selepas bersalin anak kedua sebabnya agak sukar untuk meninggalkan mereka apabila dah jadi ibu,” katanya membuka bicara kepada Majoriti.

Hayfa Amira kemudian mula berniaga dari rumah, mencuba pelbagai jenis produk antaranya karpet, buah-buahan hinggalah sambal buatan sendiri.

Apa sahaja yang boleh dijual dijadikan peluang, namun segalanya masih berskala kecil.

Hanya selepas anak-anaknya membesar, barulah beliau dan suami, Aizuddin Alif Yusof, 38, yang juga rakan kongsi perniagaan mula menapak dengan lebih serius dan melahirkan produk pertama Supercube.

Bercerita lanjut mengenai Supercube, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, idea menghasilkan produk tersebut tercetus daripada pengalaman sendiri sebagai ibu menyusukan anak.

Menurutnya, ketika itu beliau berdepan kesukaran menyediakan minuman tradisional seperti teh herba, beri goji dan kurma merah (juga dikenali sebagai jujube) yang perlu direbus lama bagi membantu meningkatkan penghasilan susu badan.

“Dulu masa menyusu, setiap kali nak minum teh herba kena rebus dulu.

"Saya tahu bukan semua orang ada masa untuk buat begitu. Dari situ saya terfikir untuk hasilkan sesuatu lebih mudah dan praktikal, hanya perlu bancuh saja,” katanya.

Tambahnya lagi, idea itu membawa pada kelahiran produk sulung dalam bentuk kiub pada 2020, yang diinspirasikan daripada amalan kesihatan masyarakat Timur seperti China, Jepun dan Taiwan.

Bahan seperti beri goji dan kurma merah itu jelasnya, sudah digunakan beribu tahun di negara Timur, cuma belum begitu meluas dalam masyarakat Melayu.

"Jadi saya mahu memperkenalkan semula ramuan tradisional tersebut dalam bentuk moden yang sesuai dengan gaya hidup masyarakat kini.

“Saya percaya mak-mak zaman sekarang nak sesuatu yang senang dan cepat. Jadi konsep kami mudah, campur dan bancuh sahaja,” jelasnya.

Hayfa Amira (kiri) ketika menyertai Dubai Natural & Organic Expo pada 18 hingga 20 November 2024.

Menariknya, setiap idea produk baharu lahir daripada pengalaman peribadi Ketua Pegawai Eksekutif Supercube International Sdn. Bhd., itu sendiri.

Selepas memasuki usia 35 tahun, Hayfa Amira mengakui berdepan perubahan hormon dan kenaikan berat badan walaupun pola makannya tidak berubah.

“Saya suka belajar jadi lepas perasan badan makin naik walaupun makan sedikit, saya ambil kursus dan belajar tentang hormon.

"Saya juga tak suka makan pil, jadi lebih baik hasilkan teh yang membantu stabilkan hormon dan kurangkan stres,” ujarnya yang menghasilkan loose leaf tea, dicipta membantu wanita menjaga keseimbangan hormon secara semula jadi.

Restu

Akuinya, peralihan daripada kerjaya stabil ke dunia perniagaan bukan keputusan mudah.

"Mak saya memang sedih masa berhenti kerja dulu, sebagai ibu bapa mereka berharap saya teruskan dalam bidang profesional.

"Lagipun saya pelajar tajaan biasiswa, jadi bila buat keputusan sendiri tanpa berbincang, memang agak mengejutkan mereka.

"Namun lama-kelamaan mereka nampak saya boleh berdiri sendiri, boleh bantu keluarga balik, barulah rasa tenang itu hadir,” tuturnya yang meminati bidang kreatif selepas melihat pemasaran iklan karya pengarah, arwah Yasmin Ahmad.

Bagi menjaga keseimbangan hubungan pasangan suami isteri itu gemar merancang percutian bersama.

Kaunseling perkahwinan

Hayfa Amira dan suami sudah berbisnes sejak di universiti lagi, membina empayar sedikit demi sedikit.

Tuturnya, bekerja bersama pasangan merupakan perjalanan penuh warna yang menuntut toleransi, komunikasi dan kematangan emosi.

“Saya dan suami masing-masing anak nombor dua, jadi kami jenis dominan. Kadang-kadang tanpa sedar, balik rumah pun masih cerita pasal kerja.

"Namun apabila makin matang, kita mula belajar mengenal kekuatan masing-masing,” ungkapnya.

Namun, bekerjasama sebagai suami isteri memerlukan garis sempadan yang jelas.

Bagi menjaga keseimbangan itu, mereka berdua mengamalkan rutin kecil seperti membuat janji temu dan percutian berdua.

“Momen berdua itu penting sebab bila kita asyik beroperasi dalam mod kerja, hubungan suami isteri boleh jadi tegang,” akui beliau.

Hayfa Amira tidak segan berkongsi bahawa mereka pernah mengikuti sesi kaunseling perkahwinan, bukan kerana hubungan bermasalah, tetapi untuk memperkukuh kefahaman terhadap peranan masing-masing.

Tegasnya, penting untuk menormalisasikan tindakan mendapatkan bantuan pakar.

"Sama seperti ketika sakit fizikal perlu berjumpa doktor, jadi kalau hati atau hubungan kita ‘sakit’, kenapa tak cari pakar?" soal beliau.

Sesi terapi itu menurutnya, membantu mereka memahami perbezaan fitrah antara lelaki dan wanita, yakni lelaki lebih fokus pada tanggungjawab mencari rezeki, manakala wanita khususnya ibu, lebih cenderung mengutamakan keluarga.

“Dulu saya pun pernah terfikir nak adil, kalau suami kerja sampai malam, saya pun kena sibuk sama, tapi lama-lama saya sedar, tak perlu pun. Kita berbeza dan saling melengkapi.

“Bila ada masalah, jangan simpan cuba selesaikan. Kalau tak mampu berdua, biar ada pakar yang bantu," ujarnya yang sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram