
NADA suara lembut, tutur kata sopan dan pilihan pemakaian sederhana, persis seperti yang sering dipertontonkan dalam kandungan media sosialnya.
Pertemuan pertama bersama si cantik manis, Caryn Law di pejabatnya yang terletak di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur mendedahkan sisi sebenar usahawan wanita berusia 34 tahun itu.
Kepada Majoriti, Caryn mengakui lebih selesa mengenakan pakaian longgar dan tidak terlalu terdedah, selari dengan personalitinya yang ringkas dan tenang.
BACA LAGI: Pernah berdepan situasi sama, wartawan sudah 'predict' nasib rakyat Malaysia ditahan tentera rejim
BACA LAGI: Pernah berdepan situasi sama, wartawan sudah 'predict' nasib rakyat Malaysia ditahan tentera rejim
Caryn dan suami cenderung membuat kajian tentang trend pemasaran di seluruh dunia.
Menurutnya, sewaktu mula menceburi platform jualan TikTok, beliau sering keliru dengan pilihan pakaian untuk dipakai ketika membuat siaran langsung.
Namun, setelah melalui fasa percubaan, anak bongsu daripada dua beradik itu mendapati gaya sederhana dan sopan lebih dekat dengan dirinya.
“Dari kecil saya memang begitu, tak suka berpakaian seksi. Saya kurang selesa dengan baju ketat atau berlengan pendek.
"Kadang rasa macam ada (bahagian badan) yang buatkan saya nampak agak gemuk dan saya jadi tidak yakin," katanya tertawa kecil.
Caryn mengakui, perjalanan itu menjadi titik mula untuk beliau mengenali gaya sebenar.
“Selama lebih 30 tahun hidup, baru saya dapat cari gaya yang sesuai dan dari situ, saya terus kembangkan lagi identiti fesyen sendiri," ungkapnya.
Bercerita mengenai perjalanan awal karier, Caryn berkata, usai pengajian, beliau terus terjun ke dalam dunia perniagaan bersama suaminya, Joseph Law, 35, yang ketika itu masih bergelar teman lelaki.
Pasangan tersebut pada awalnya membuka kios jus di sebuah pusat beli-belah.
Empat tahun pertama perniagaan itu memberi pengalaman berharga buat mereka, namun akhirnya terhenti akibat masalah pengurusan kos dan keuntungan yang tidak seimbang.
Tidak ada jalan lain, Caryn dan suaminya yang dikenali dengan panggilan 'abang' kembali bekerja di sektor korporat.
Minat terhadap dunia keusahawanan mendorong Caryn (kiri) dan Joseph mendalami bidang tersebut.
Kongsinya, jiwa usahawan dan suka akan cabaran Joseph bagaimanapun mendorong mereka meninggalkan kerjaya stabil untuk mendalami bidang perniagaan tanpa perancangan kewangan rapi.
"Disebabkan saya sangat suka abang, saya pun ikut sama letak jawatan, apatah lagi kami berdua memang sangat berminat dengan bidang pemasaran, terutamanya e-dagang.
"Jadi kami pun buat kajian tentang trend pemasaran tidak hanya di Malaysia, tetapi juga seluruh dunia khususnya China.
"Kami mula menceburi e-dagang pada 2020, ketika pandemik Covid-19 melanda," ujar pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang pemasaran itu lagi.
Namun, dengan kekangan modal dan persaingan iklan yang tinggi, usaha tersebut menemui kegagalan.
Kehidupan menjadi sukar hingga wanita kelahiran Kuala Lumpur itu terpaksa menjual emas kahwinnya, menggunakan semua simpanan untuk menampung perbelanjaan harian.
"Sampaikan ada masa, kami makan sekali sehari saja, tidur pun menumpang di satu bilik kecil di rumah keluarga saya," tuturnya.
Bermula dengan sistem affiliate, kejayaan pertama tiba apabila mereka berjaya menjual habis stok baju tidur yang diperoleh daripada pemborong.
E-dagang
Ketika diuji dengan kesempitan hidup dan kehilangan kandungan akibat keguguran, pasangan itu hampir terjerumus dalam kemurungan.
Namun ujar Caryn, titik perubahan hadir apabila platform e-dagang sehenti, TikTok Shop dilancarkan di Malaysia pada 2021.
Tanpa pengalaman membuat konten, mereka belajar dari kosong dengan hanya sebuah telefon, ring light dan bilik kecil sebagai studio siaran langsung.
Walaupun siaran langsung pertama hanya ditonton dua orang termasuk mereka sendiri, putus asa bukanlah pilihan yang ada buat pasangan itu.
Ujar Caryn, mereka meneliti data, mencuba pelbagai bahasa dan gaya penyampaian, sehingga akhirnya menjumpai formula terbaik, yakni menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium utama.
“Bahasa Malaysia lebih mudah difahami semua kaum, lebih mesra dan engaging (mendorong interaksi),” katanya yang menggemari warna ungu.
Caryn menawarkan pilihan pakaian dan beg tangan di bawah jenama Dear Carynn.
Bermula dengan sistem affiliate, kejayaan pertama tiba apabila mereka berjaya menjual habis stok baju tidur yang diperoleh daripada pemborong.
Caryn yang membesar di Perak memberitahu, dari situ, jenama mereka mula dikenali dan berkembang kukuh dalam kategori fesyen serta barangan keperluan rumah.
“Majoritinya kami jual pakaian, terutamanya baju kurung dan fesyen sederhana serta beg tangan. Kadang-kadang ada juga produk rumah seperti beg bagasi, kipas dan botol air,” jelasnya.
Tambah Caryn, walaupun kini lebih banyak bergantung pada produk affiliate, beliau dan suami dalam perancangan untuk melancarkan jenama pakaian sendiri yang menumpukan pada fesyen sopan dan sederhana.
“Jenama tersebut dijangka dilancarkan tahun ini. Logo dan konsep sudah ada, nama juga sudah ditetapkan. Sekarang tinggal peringkat akhir sebelum diumumkan,” ungkapnya penuh teruja.
Bagi Caryn, koleksi terbaharu itu akan menampilkan rekaan yang dekat dengan gaya peribadinya iaitu selesa, sopan dan bergaya moden. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram