Hati-hati guna terapi sedut herba, gagal ujian makmal, Thailand keluar amaran kesihatan


  • Sihat
  • Rabu, 29 Okt 2025

FDA menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa membeli atau menggunakan penyedut herba tersebut. — Gambar janaan AI

PIHAK Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand mengeluarkan amaran kesihatan kepada orang ramai berhubung terapi sedut jenama Hong Thai, selepas produk itu gagal dalam ujian makmal akibat pencemaran mikrob melebihi tahap dibenarkan.

FDA dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, sampel Penyedut Herba Hong Thai, Formula 2 dengan nombor pendaftaran G 309/62 dan dihasilkan oleh syarikat Hong Thai Panich, telah diuji oleh Jabatan Sains Perubatan Thailand bagi menilai tahap keselamatan dan kualitinya.

Menurutnya, hasil ujian mendapati produk tersebut tidak mematuhi piawaian kualiti.

BACA LAGI: Tak batal puasa jika hidu terapi, situasi berbeza jika hisap vape atau rokok

BACA LAGI: Thailand lapor kes pertama Mpox Clade 1b babit warga Eropah

"Keputusan menunjukkan paras bakteria aerobik, yis dan kulat gabungan melebihi had dibenarkan. 

"Malah ujian turut mengesan kehadiran bakteria berbahaya iaitu Clostridium spp, yang berpotensi menjejaskan kesihatan pengguna," katanya.

Jelas FDA, keputusan ujian itu menunjukkan pelanggaran terhadap Notis Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang menetapkan standard ketulenan dan ciri penting lain bagi memastikan keselamatan produk herba di pasaran.

Produk tersebut dilaporkan didaftar pada 2021, namun pihak FDA mengambil langkah untuk mendedahkan hasil pemeriksaan makmal itu kepada umum sebagai langkah pencegahan dan bagi meningkatkan kesedaran pengguna.

Sehubungan itu, FDA menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa membeli atau menggunakan penyedut herba tersebut dan mengelakkan penggunaannya jika diragui status keselamatan.

Agensi berkenaan turut memaklumkan, mereka kini meneliti tindakan undang-undang terhadap pengeluar produk berkenaan mengikut peruntukan yang termaktub dalam undang-undang sedia ada. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram