PELAKON tersohor Bollywood, Akshay Kumar gagal menahan sebak apabila seorang wanita berusia 88 tahun memukau ribuan penonton dengan persembahan tarian pedang pada sebuah acara Kejohanan Kudo Antarabangsa di Surat, India, baru-baru ini.
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan lebih 2,000 peserta Kudo dari 32 negeri seluruh India, menutup tirai musim 2025–2026 dengan penuh semangat dan inspirasi.
Momen menyentuh hati itu berlaku pada malam penutup kejohanan menerusi persembahan luar biasa Shanta Pawar, atau lebih dikenali sebagai Shanta Ba, seorang wanita berusia 88 tahun dari Pune yang tampil bersama cucu perempuannya.
Dengan tenaga luar biasa, Shanta Ba mempersembahkan aksi tongkat dan pedang selama hampir 15 minit, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bekerja.
Shanta Ba difahamkan mula belajar seni mempertahankan diri sejak berusia sembilan tahun, hasil didikan ibu bapanya.
Sepanjang hayat, beliau mendedikasikan diri untuk mengekalkan warisan seni tradisional India dan masih aktif membuat demonstrasi jalanan demi mencari rezeki serta membantu anak-anak yatim di kawasan kediamannya.
Pelakon aksi filem klasik Bollywood
Di sebalik kehidupan sederhana dimiliki, Shanta Ba sebenarnya merupakan bekas pelakon aksi industri perfileman Hindi satu ketika dahulu.
Beliau pernah menjadi pelakon lagak ngeri bagi beberapa filem terkenal, termasuk Seeta Aur Geeta (1972) lakonan Hema Malini dan Sherni.
Ketabahan dan disiplin tinggi menjadikan beliau sumber inspirasi kepada ramai termasuk bintang-bintang Bollywood yang turut hadir pada malam tersebut.
Akshay Kumar tersentuh
Selesai persembahan, Akshay Kumar yang terkenal sebagai pakar seni mempertahankan diri dan penganjur utama kejohanan Kudo itu dilihat berlari ke arah Shanta Ba sebelum memeluknya dengan penuh erat.
Tindakan spontan itu mengundang tepukan gemuruh daripada ribuan penonton yang terharu menyaksikan penghargaan luar biasa tersebut.
“Keberanian dan semangatnya luar biasa, dia bukti bahawa kekuatan sebenar tidak bergantung pada usia," kata Akshay dalam nada sebak.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah pelakon Jackie Shroff dan Twinkle Khanna, isteri kepada Akshay Kumar.
Jackie mencuri perhatian dengan gayanya yang bersahaja apabila menyapa hadirin dalam loghat Gujarati sambil berseloroh, "Kenapa risau? Harus ada seorang anak muda di setiap rumah!”
Gurauannya yang mesra membuatkan suasana dewan bergema dengan sorakan dan tawa penonton.
Semangat dan disiplin
Majlis tersebut turut memberi penghormatan kepada anggota polis Surat atas khidmat mereka kepada masyarakat.
Dengan kehadiran atlet dan penggiat seni mempertahankan diri dari pelbagai peringkat umur, kejohanan itu bukan sahaja meraikan kekuatan fizikal tetapi juga semangat juang dan nilai kemanusiaan.
Shanta Ba membuktikan bahawa usia tidak pernah menjadi penghalang untuk terus memberi inspirasi, malah mengingatkan dunia bahawa keberanian datang daripada hati yang tidak pernah menyerah kalah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
