Duduk pangsapuri pun boleh tanam padi, Desaru Fruit Farm cipta inovasi guna botol, semai minat pertanian anak muda


  • Hias
  • Selasa, 21 Okt 2025

Desaru Fruit Farm menjalankan pelbagai inovasi tanaman sayuran dan buah-buahan bagi menggalakkan aktiviti pertanian masyarakat.

DUDUK pangsapuri pun boleh tanam padi. Demikian mesej yang ingin disampaikan Desaru Fruit Farm, Kota Tinggi, Johor apabila memperkenalkan inovasi penanaman padi dalam botol.

Kaedah itu bertujuan menyemai minat pertanian dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang tinggal di kawasan bandar dan kediaman bertanah kecil.

Menurut pemandu pelancong Desaru Fruit Farm, Zaranah Yaakub, idea itu tercetus selepas melihat banyak perbincangan tular mengenai soal keselamatan makanan dan keperluan rakyat mempunyai sumber tanaman sendiri dalam skala kecil.

BACA LAGI: Visit Johor 2026 sasar 12 juta pelancong, Cuping dan Jucy ikon lambang tradisi moden

BACA LAGI: 'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun

"Sekarang ramai risau soal sumber makanan, jadi orang mula cuba macam-macam cara untuk hasilkan makanan sendiri.

"Ada yang ada tanah besar, ada yang tinggal ruang sempit beberapa kaki saja tapi sebenarnya masih boleh tanam padi," katanya kepada Majoriti pada Program Fam Trip Majestic Johor bersama media bersempena Visit Johor 2026 baru-baru ini.

Jelasnya, pihaknya melakukan beberapa siri uji kaji sebelum berjaya menghasilkan tanaman padi dalam botol menggunakan tanah organik dengan penjagaan kelembapan yang konsisten.

"Alhamdulillah, selepas tiga bulan, padi fasa pertama kami matang sepenuhnya dan sedia dituai, dengan cara ini, orang ramai boleh cuba tanam padi di rumah walaupun ruang terhad," katanya.

Tambahnya, inovasi itu bukan hanya menjadi tarikan pelancong, malah turut memberi inspirasi kepada pengunjung termasuk warga pendidik dan pelajar-pelajar sekolah yang datang mengadakan lawatan.

Sebelum ini kebanyakan sekolah difahamkan hanya menggalakkan murid menanam sayuran seperti sawi namun, selepas melihat sendiri tanaman padi di Desaru Fruit Farm, beberapa sekolah mula bereksperimen dengan tanaman yang sama.

Zaranah menerangkan kaedah tanaman padi dalam botol yang dijalankan di Desaru Fruit Farm.

"Ada sekolah datang lawatan, tengok projek kami, balik dan terus buat di tempat mereka, ini perkembangan yang positif dan boleh jadi ikutan budak-budak sekolah.

"Kita tengok apa orang buat, kemudian kita modify untuk sesuai dengan ruang kita, cuaca dan cara kita," ujarnya.

Inisiatif menanam padi dalam botol bukan sekadar tarikan agropelancongan, tetapi satu langkah kecil yang membuka peluang baharu dalam bidang pertanian bandar.

Terdahulu, kempen Visit Johor 2026 dilancarkan secara rasmi dengan pengenalan maskot, lagu, video promosi dan ‘tagline’ rasmi dalam majlis yang berlangsung di Zoo Johor.

Dua ekor harimau belang, Cuping dan Jucy, diperkenalkan sebagai maskot rasmi yang mewakili kekuatan dan keramahan selari dengan semangat Johor yang berani serta mesra.

Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata, inisiatif itu bukan sekadar simbolik, malah merupakan manifestasi komitmen Johor untuk terus menjadi destinasi pelancongan utama di rantau ini.

"Kita mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Johor bukan sekadar negeri di selatan tanah air, tetapi sebuah destinasi yang penuh warna dan jiwa, kaya dengan warisan semula jadi serta kepelbagaian produk pelancongan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram