'Doa dan usaha membuahkan hasil', anak bongsu Zambry Kadir secara rasmi bergelar peguam


  • Bonda
  • Ahad, 02 Nov 2025

Anak bongsu Zambry Kadir, Mukhlis kini bergelar peguamcara dan peguambela.

ANAK bongsu kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila secara rasmi bergelar peguamcara dan peguambela selepas berjaya melepasi sesi long call.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Zambry menerusi satu hantaran di media sosial yang meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan anak bongsunya, Mukhlis.

BACA LAGI: Bella Astillah iringi anak hingga garisan penamat, Ayden dan Ara julang gelaran Iron Kids Langkawi

BACA LAGI: 'Patik junjung kasih Tuanku tajaan IVF' bapa syukur dapat kembar 3, setahun lepas tragedi anak sulung 'pergi' di taska

"Syukur Alhamdulillah, hari ini hari bersejarah buat kami sekeluarga. Anak bongsu saya, Mukhlis, telah berjaya melepasi ‘long call’ dan kini secara rasmi bergelar Peguambela dan Peguamcara," katanya.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil daripada perjalanan panjang yang penuh dengan usaha, doa dan pengorbanan seluruh keluarga.

"Alhamdulillah, satu perjalanan panjang yang penuh usaha, doa dan pengorbanan akhirnya membuahkan hasil. Kepada Mukhlis atau ‘Adik’, tahniah dan syabas!

"Semoga terus menjadi peguam yang berintegriti dan berdedikasi demi agama, bangsa dan negara," katanya lagi.

 

 

Dr. Zambry yang juga Ahli Parlimen Lumut, merupakan figura politik berpengalaman yang kini menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak Disember 2023.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri dan turut dikenali sebagai bekas Menteri Besar Perak dari 2009 hingga 2018.

Selain aktif dalam bidang politik dan pentadbiran, Zambry juga mempunyai latar belakang akademik yang kukuh.

Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pemikiran politik Islam dari Temple University, Amerika Syarikat (AS), serta pernah bergiat dalam dunia penulisan dan akademik sebelum menceburi dunia politik secara aktif.

Terdahulu, Zambry mengecap kenangan manis apabila beliau menyampaikan sendiri skrol graduasi kepada Mukhlis pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-40 pada tahun lalu.

Zambry yang hadir ke majlis tersebut bagi menyampaikan skrol kepada 565 graduan daripada Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim serta Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi secara tidak langsung berpeluang untuk menyampaikan sendiri skrol kepada anak lelakinya itu.

Kejayaan Mukhlis bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah turut menerima ucapan tahniah daripada warga maya dan rakan-rakan Zambry di media sosial yang rata-ratanya mengucapkan selamat maju jaya kepada peguam muda itu dalam kerjaya baharunya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram