ISU tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak tanpa mengira keadaan fizikal atau mental kembali mendapat perhatian masyarakat.
Ia rentetan keputusan mahkamah pada Jumaat yang mendapati Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada arwah kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Tidak dinafikan, peranan ibu bapa terhadap anak-anak cukup berat dan bukanlah perkara mudah namun, segelintir pihak masih memandang ringan isu berkenaan yang akhirnya mengundang perpecahan keluarga.
Dalam konteks anak berkeperluan khas ataupun Orang Kelainan Upaya (OKU), penjagaan ibu bapa seharusnya lebih tertumpu tanpa sedikit pun mengabaikan hak mereka sebagai anak.
Peguam Syarie dan perunding kekeluargaan, Aiman Zulkifli menerusi laman Threads berkata, kes seumpama itu menjadi peringatan besar bahawa anak-anak, sama ada normal atau OKU tidak boleh diabaikan walau dalam apa jua keadaan.
Kronologi kes Zayn Rayyan
Pada Jumaat, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, memutuskan bahawa Ismanira Abdul Manaf didapati bersalah terhadap pertuduhan mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berusia enam tahun ketika kejadian.
Dalam penghakimannya, Hakim Dr. Syahliza Warnoh berkata, mahkamah telah meneliti hujahan pihak pembelaan dan mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, serta bon berkelakuan baik selama dua tahun dan khidmat masyarakat selama 120 jam ke atas tertuduh selepas dibebaskan.

Ismanira didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Prosiding sebelum itu turut ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada pihak pembelaan menyediakan hujahan mitigasi untuk memohon pengurangan hukuman.
Kes tersebut mendapat perhatian meluas kerana melibatkan kanak-kanak autisme yang kehilangan nyawa dalam keadaan tragik pada Disember 2023.
Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Pasangan itu didakwa kerana telah mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di kawasan berhampiran Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, serta di sungai berhampiran, antara tengah hari 5 Disember 2023 dan 9.55 malam keesokan harinya.
Anak perlu pengawasan rapi
Menurut Aiman Zulkifli, nafkah anak adalah satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan selagi mana ibu bapanya masih hidup dan mampu bekerja.
Berdasarkan panduan Islam, tanggungjawab memberi nafkah kepada anak bukanlah pilihan dan berikut merupakan antara bentuk nafkah yang digariskan oleh fuqaha dan mahkamah syariah di Malaysia:
1. Makanan
Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, kadar nafkah anak ditentukan mengikut keperluan dan adat sesebuah negara, termasuk makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan penyusuan.
2. Pakaian
Pakaian sopan dan menutup aurat wajib disediakan dan ia tidak perlu dibeli setiap bulan, namun jika rosak sebelum tempoh sepatutnya maka wajar digantikan dengan yang baharu.
3. Perubatan
Menurut Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, kos rawatan anak termasuk ubat wajib ditanggung kerana ia termasuk dalam kategori nafkah yang bil ma‘ruf (mengikut kebiasaan yang baik).
4. Pendidikan
Berdasarkasn kajian kes Faridah Hanim dan Abd. Latif pada 2006, beliau menegaskan pendidikan formal termasuk buku, tuisyen dan yuran sekolah adalah sebahagian daripada nafkah anak yang wajib ditanggung ibu bapa.
5. Tempat tinggal
Tempat tinggal untuk anak-anak walaupun dalam bentuk rumah sewa perlu disediakan agar terlindung dari sebarang bahaya dan keselematan di tahap optimum.
6. Perbelanjaan persekolahan
Meliputi pakaian seragam, kasut, buku, alat tulis dan yuran PIBG semua ini termasuk dalam tanggungjawab untuk memastikan anak dapat ke sekolah dengan sempurna.
Kes Zayn Rayyan membuka mata banyak pihak bahawa pengabaian anak bukan sekadar isu keluarga, tetapi kesalahan undang-undang dan kezaliman kemanusiaan.
Dalam apa jua keadaan, setiap anak berhak mendapat kasih sayang, perlindungan dan nafkah yang sewajarnya daripada kedua-dua ibu bapa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
