Dari pulau ke stadium ikonik, Johor destinasi liburan mesra keluarga, gelongsor air terus ke laut pikat kanak-kanak!


  • Bonda
  • Rabu, 22 Okt 2025

Johor sarat dengan lokasi percutian alam semula jadi dan pembangunan moden sesuai buat seisi keluarga.

JOHOR terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara destinasi pelancongan pilihan keluarga di Malaysia.

Selain berpenanan sebagai pintu masuk pelancong negara jiran Singapura, negeri itu kini giat mempromosikan pelancongan rekreasi, warisan dan sukan bersempena perasmian kempen Visit Johor 2026 baru-baru ini.

Antara tumpuan ikonik yang menjadi tumpuan seantero dunia ialah Stadium Sultan Ibrahim (SSI) milik kelab bola sepak gergasi tanah air Johor Darul Takzim (JDT) di Iskandar Puteri.

BACA LAGI: Visit Johor 2026 sasar 12 juta pelancong, Cuping dan Jucy ikon lambang tradisi moden

BACA LAGI: Duduk pangsapuri pun boleh tanam padi, Desaru Fruit Farm cipta inovasi guna botol, semai minat pertanian anak muda

Menurut pemandu pelancong bertauliah, Sheikh Abdullah Md Taufek, rekaan stadium tersebut membawa identiti uniknya tersendiri apabila diinspirasikan daripada bentuk pelepah pisang yang merupakan cetusan idea Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Stadium SSI merupakan antara mercu tanda kebanggaan rakyat Johor.

"Struktur stadium ini menampilkan 56 tiang utama dicantumkan seperti helaian pelepah pisang, sekali gus menghasilkan binaan seperti serban atau turban apabila dilihat dari udara.

"Rekaan asalnya bukan datang daripada cadangan arkitek luar, sebaliknya berasaskan ilham tradisional pemilik kelab JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Unsurnya tradisional, tetapi diterapkan dalam pembangunan stadium moden ini," katanya kepada Majoriti.

Selain tarikan pelancongan sukan, Johor turut terkenal dengan jajaran pulau yang menawarkan penginapan berlatar belakangkan pemandangan laut.

1. Batu-Batu Resort, Pulau Tengah

Terletak kira-kira 15 kilometer dari jeti pantai Mersing, Batu-Batu Resort merupakan sebuah destinasi mewah yang mengekalkan konsep mesra alam.

Resort ini dibina dengan seni bina tradisional Melayu menggunakan kayu keras dan menempatkan lapan pantai berpasir putih yang mengelilingi pulau kecil tersebut.

Menariknya, resort tersebut turut menempatkan projek konservasi penyu, menjadikannya bukan sahaja destinasi pelancongan tetapi juga lokasi pendidikan alam sekitar, sesuai untuk lawatan pelajar dan keluarga.

Dengan suasana yang tenang dan pemandangan laut biru kehijauan, Batu Batu Resort menawarkan pengalaman percutian premium yang mendidik serta menenangkan minda.

2. Bayu Lestari Island Resort, Pulau Besar

Bagi yang menggemari suasana santai, Bayu Lestari Island Resort di Pulau Besar menawarkan konsep perkampungan moden dengan rumah kayu tradisional dilengkapi sentuhan tropika yang eksklusif.

Dikelilingi air laut biru jernih dan pasir putih halus, resort ini turut menyediakan aktiviti menarik seperti menunggang kuda di tepi pantai, berbasikal serta bersantai sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.

Reka bentuk penginapan yang selesa dan keakraban suasana kampung menjadikan Bayu Lestari antara pilihan utama pelancong tempatan yang ingin menikmati percutian ringkas tetapi memuaskan bersama keluarga.

3. Rawa Safaris Resort, Pulau Rawa

Pulau Rawa yang terletak hanya 20 hingga 30 minit dari Jeti Mersing terus menjadi sebutan pelancong kerana keunikan aktiviti yang ditawarkan di Rawa Safaris Resort.

Selain terkenal dengan gelongsor air besar yang terus menghala ke laut, resort berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti keluarga seperti snorkeling, berkayak, gelanggang badminton, bola keranjang dan pickleball.

Pulau karang kecil itu turut memiliki perairan yang sangat jernih dan terumbu karang yang mudah dicapai dari pantai, menjadikannya lokasi ideal bagi keluarga dengan anak kecil yang mahu memperkenalkan dunia marin dalam suasana selamat.

Kekal tarikan pelancongan berpotensi tinggi

Dengan gabungan tarikan semula jadi, seni bina dan budaya warisan moden, Johor bukan sekadar negeri transit ke Singapura, tetapi destinasi pelancongan yang semakin menyerlah di peringkat antarabangsa.

Pelancong boleh memilih antara pengalaman percutian pulau yang tenang, atau menjelajah ke kawasan bandar bagi melihat sendiri kehebatan Stadium Sultan Ibrahim dan pembangunan sekitarnya yang pesat.

Ia sekali gus menawarkan keseimbangan antara rekreasi, pendidikan dan budaya, menjadikannya destinasi pelancongan lengkap yang sesuai dikunjungi seisi keluarga.

Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan) pada majlis pelancaran maskot rasmi Visit Johor 2026 di Zoo Johor.

Terdahulu, dua ekor harimau belang, Cuping dan Jucy, diperkenalkan sebagai maskot rasmi yang mewakili kekuatan dan keramahan selari dengan semangat Johor yang berani serta mesra.

Cuping, harimau jantan lahir pada 2013, melambangkan semangat juang rakyat Johor, manakala Jucy, harimau betina kelahiran 2018, membawa simbol hospitaliti dan keanggunan.

Sementara itu, tagline rasmi Meh Lah Johor! turut dilancarkan bagi meneroka keunikan budaya, alam semula jadi dan tarikan moden yang ditawarkan di seluruh Johor.

Kempen Visit Johor 2026 dalam masa sama dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah pelancong serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan buat penduduk tempatan menjelang 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram