PENYANYI dan pelakon legenda negara, Noorkumalasari kembali mencuri perhatian peminat apabila baru-baru ini muncul di sebuah kedai piring hitam, Poppy Records dalam bangunan Zhongshan yang terletak di Kampung Atap, Kuala Lumpur.
Kemunculan istimewa beliau adalah bersempena dengan Peszta, sebuah festival seni dan budaya yang diadakan setiap tahun.
Pada sesi eksklusif bersama peminat, artis yang mesra dengan panggilan Noor itu, tampil berkongsi tentang koleksi piring hitam kegemarannya.
Menjadi simbol kenangan zaman kegemilangan muzik era 1970-an dan 1980-an, peminat berpeluang bersua muka dengan pelantun suara Selamat Pagi Sayang itu selepas sekian lama menyepi dalam industri.
Tidak sekadar membangkitkan nostalgia, momen itu turut menjadi detik mengharukan buat peminat setianya yang menyifatkan penyanyi itu sebagai lambang keanggunan wanita Melayu hiburan tempatan.
BACA LAGI: Bella Astillah iringi anak hingga garisan penamat, Ayden dan Ara julang gelaran Iron Kids Langkawi
Ikon era klasik
Noor Kumalasari Mohamed Taib, 69, merupakan antara figura paling berpengaruh dalam dunia seni tanah air pada era 70-an dan 80-an.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi bersuara lembut dan halus, tetapi juga pelakon prolifik yang pernah membintangi sejumlah filem terkenal ketika zaman kegemilangannya.
Antara lagu popularnya yang masih diingati hingga kini termasuk Hilang Satu Ganti Seribu (1979), selain beberapa kolaborasi duet yang memperlihatkan keunikan vokalnya.
Suatu ketika dahulu, beliau juga sering dibandingkan dengan kakaknya, Anita Sarawak namun masing-masing mengekalkan identiti seni tersendiri.
Atas sumbangan besarnya kepada dunia hiburan, Noor pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-31, mengiktiraf dedikasi dan legasinya sebagai anak seni.
Kehidupan sederhana
Di sebalik populariti dikecapi, Noor kini memilih untuk hidup lebih tenang bersama suaminya, Wan Mohammad Yusof yang dikahwini pada 1990.
Pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata Wan Amin Nurrashid, Wan Amni Nuruddin dan Wan Irfan Nurul Atiq, selain seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu, Abdul Qayyum.
Walaupun sudah lama meninggalkan dunia nyanyian dan lakonan secara aktif, nama Noorkumalasari kekal meniti di bibir peminat.
Gaya pertuturan yang lembut dan raut wajahnya masih anggun, beliau antara artis lama yang menelusuri kehidupan dengan penuh ketenangan.
Kemunculannya semula baru-baru ini bukan sekadar momen nostalgia, tetapi juga peringatan bahawa nilai seni sejati tidak pernah lapuk ditelan zaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
