DIIKTIRAF antara lapangan golf paling mencabar di Asia Tenggara, The Els Club Desaru Coast, Johor bukan sekadar destinasi elit untuk peminat sukan itu, malah menjadi platform pembangunan bakat baharu dalam kalangan golfer muda tempatan.
Menurut Pengurus Besar The Els Club Desaru Coast, Harris Abdullah, reka bentuk padang yang unik hasil sentuhan pereka tersohor dunia menjadikan ia medan terbaik untuk menguji kemahiran pemain di pelbagai peringkat.
"The Els Club diketahui antara lapangan paling susah di Asia Tenggara.
"Keadaan bukit dan perangkap pasir (bunker) yang banyak direka secara strategik oleh pereka menjadikannya satu cabaran menarik kepada setiap pemain," katanya kepada Majoriti.
Destinasi golf taraf dunia di Johor
Terletak di Desaru Coast, Johor, lapangan ini menawarkan dua padang utama Ocean Course dan Valley Course yang masing-masing memiliki karakter tersendiri.
Tambahnya, pemain yang datang disarankan untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya dua hari bagi mencuba kedua-dua padang.
"Kalau datang ke Desaru, sebaiknya stay satu atau dua malam dan cuba kedua-dua lapangan, ia memberikan pengalaman permainan yang berbeza dan sangat mencabar," jelasnya.

Harris mahu sukan golf dipelopori setiap lapisan masyarakat tanpa membezakan peringkat usia.
Golf bukan sukan elit
Harris turut menolak persepsi bahawa sukan itu hanya untuk golongan elit, sebaliknya menegaskan ia kini terbuka kepada semua lapisan masyarakat berikutan banyak kemudahan dan padang golf di Malaysia mudah diakses oleh orang ramai.
"Dulu orang anggap golf sukan orang kaya, tapi sekarang tidak lagi.
"Banyak driving range, akademi dan kelab golf terbuka kepada semua pemain termasuk pelajar, wanita dan keluarga," katanya.
Menurutnya, perkembangan tersebut turut disokong dengan perlbagai inisiatif dan kejohanan peringkat sekolah serta program pembangunan atlet muda yang semakin aktif di Malaysia.
Tumpuan junior golfer, keluarga
The Els Club turut menonjol dengan inisiatif Junior Golf Program yang direka untuk menarik minat kanak-kanak dan remaja menceburi sukan golf bersama ibu bapa mereka.
"Unik mengenai Els Club kami sangat menggalakkan junior golf.
"Ibu bapa boleh bermain bersama anak-anak mereka di mana parents bayar, junior main percuma, ini salah satu cara kami tarik minat generasi muda," katanya.

Inisiatif Junior Golf Program direka khusus buat aktiviti seisi keluarga bersama anak-anak kecil.
Selain itu, kemudahan latihan di kelab berkenaan turut diiktiraf antara yang terbaik di rantau ini, termasuk long range, short game area, putting green dan Els Performance Golf Academy yang dikendalikan oleh jurulatih profesional bertauliah.
"Kami ada akademi latihan lengkap di mana pemain boleh belajar teknik, ambil lesen golf dan dibimbing oleh jurulatih profesional, ia terbuka kepada semua peringkat umur," jelasnya lagi.
Dengan landskap golf yang semakin berkembang di Malaysia, The Els Club Desaru Coast berperanan bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia, tetapi juga sebagai pusat pembangunan bakat baharu dalam industri golf negara.
Fokusnya kini mahu menjadikan golf sebagai sukan gaya hidup inklusif, yang boleh dinikmati oleh semua golongan masyarakat daripada pelancong, pemain profesional, hingga keluarga yang datang beriadah hujung minggu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
