'Maafkan abah, Bilal', PU Riz luah terkilan, masih dihantui insiden 'karpet Nilai' berlaku 4 tahun lalu


  • Bonda
  • Jumaat, 31 Okt 2025

PU Riz sentiasa mengutamakan keharmonian serta tanggungjawabnya bersama keluarga.

PENDAKWAH selebriti, PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail meluahkan rasa sebak mengenang kembali detik hitam yang pernah dilaluinya sekitar empat tahun lalu.

Jelasnya, insiden itu terpalit dengan isu tular karpet Nilai sehingga dirinya terpaksa berdepan prosiding mahkamah.

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan di media sosialnya, suami kepada selebriti dan usahawan terkenal Neelofa itu menyifatkan peristiwa tersebut sebagai antara momen paling mencabar dalam hidupnya terutama kerana ia berlaku ketika isterinya sedang sarat hamil anak sulung mereka, Muhammad Bilal.

BACA LAGI: 'Patik junjung kasih Tuanku tajaan IVF' bapa syukur dapat kembar 3, setahun lepas tragedi anak sulung 'pergi' di taska

BACA LAGI: Adik 'perit' hilang bayi 11 bulan, abang gesa pemilik lembu tampil tanggungjawab kemalangan di Bera

"Percayalah, tiada satu pun sisi diri saya yang menginginkan hal ini berlaku.

"Apatah lagi ketika isteri sedang sarat mengandung dan saya pula tiada pengalaman bakal menjadi bapa," katanya.

Menurutnya, tekanan emosi ketika itu bukan sahaja menjejaskan dirinya sebagai suami dan pendakwah, malah turut menimbulkan kerisauan terhadap keadaan anak yang masih dalam kandungan.

"Kadang-kadang hadir suara kecil berbisik dalam fikiran kau bukan seorang bapa yang baik.

"Sehingga hari ini, setiap kali mengenangkan peristiwa itu, saya akan memeluk Bilal dan berbisik padanya, maafkan abah Bilal," katanya.

 

 

 

 

Dihantui sindiran

Walaupun kes berkenaan telah pun diselesaikan di mahkamah, PU Riz mengakui masih menerima komen berbaur sindiran di media sosial hingga kini.

"Hampir empat tahun berlalu, namun komentar seperti 'karpet ada jual tak?' atau 'Nilai kat Selangor ke?' masih muncul.

"Tiada apa yang boleh saya lakukan kecuali menyerahkan semuanya kepada Tuhan," ujarnya.

Tambahnya, luahan itu bukan untuk menuntut simpati, sebaliknya sebagai peringatan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menilai dan menuturkan kata-kata terhadap orang lain di alam maya.

"Kita negara hukum, bukankah mahkamah tempat kita merujuk dan menegakkan keadilan? Kes sudah dibicarakan dan keputusan telah dikeluarkan, ini sekadar luahan kekesalan," katanya lagi.

Dalam perkongsian sama, PU Riz turut menyentuh mengenai pengalaman dikecewakan oleh rakan seperjuangan dalam industri hiburan apabila kisah peribadinya dijadikan bahan lawak di hadapan khalayak ramai.

Beliau menjelaskan, ketika menerima panggilan tawaran program berkenaan, pihak produksi hanya memaklumkan tentang watak ustaz, tanpa menyebut isu peribadi akan disentuh.

"Yang mempelawa itu sahabat baik saya dalam program Pencetus Ummah dahulu, dengan sangkaan baik dan persahabatan yang saya kira suci, ia dirobek demi mengejar rating.

"Namun kerana hal ini sudah lama berlalu, saya maafkan,” katanya sambil menambah beliau masih menyimpan mesej yang dikirimkan kepada individu berkenaan sebagai tanda kekecewaan.

 

 

Pilih untuk memaafkan

Meskipun mengakui luka lama masih meninggalkan kesan, PU Riz memilih untuk memaafkan semua pihak yang pernah menyakiti hati keluarganya, selaras dengan ajaran Islam yang menyeru kepada keampunan dan kasih sayang sesama manusia.

"Kami juga insan biasa yang ada kekurangannya, keadilan sudah ditegakkan dan kami pertahankan apa yang benar, sekarang, marilah kita harmonikan budaya memaafkan," katanya.

Kini, selepas beberapa tahun berlalu, pasangan suami isteri itu dilihat lebih tenang menjalani kehidupan berkeluarga dengan dua cahaya mata mereka.

Luahan itu dilihat sebagai satu refleksi peribadi bukan sekadar untuk menjernihkan keadaan, tetapi juga sebagai bentuk didikan kepada masyarakat tentang pentingnya empati dan adab dalam berinteraksi di dunia digital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram