DALAM dunia sukan yang penuh cabaran, disiplin dan sokongan keluarga menjadi kunci utama kejayaan permata atlet negara, Saif Nordin, yang kini semakin menyerlah di gelanggang sukan lawan pedang.
Biarpun masih bergelar pelajar, Saif membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan kejayaan sukan boleh berjalan seiring asalkan ada minat, fokus dan bimbingan yang berterusan daripada ibu bapa serta jurulatih.
Bagi Nordin Abdullah, menyokong perjalanan anaknya bukan sesuatu yang mudah kerana sukan lawan pedang bertaraf antarabangsa yang memerlukan latihan intensif dan penyertaan dalam pelbagai kejohanan luar negara.
BACA LAGI: 'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun
"Kadang-kadang masa keluarga pun dihabiskan untuk merancang dan mengurus logistik, tapi kami anggap semua itu pelaburan berharga.
"Seperti pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, dalam sukan, semangat pasukan itu sangat penting," katanya kepada Majoriti.
Rutin makan malam lepas perlawanan
Di sebalik kejayaan Saif dalam arena pertandingan, wujud satu rutin keluarga yang sentiasa keutamaan mereka sekeluarga setiap kali selesai perlawanan iaitu makan malam bersama.
Menurutnya, sesi tersebut bukan sekadar waktu untuk berehat, tetapi menjadi ruang komunikasi yang menguatkan sokongan keluarga terhadap karier sukan anaknya.
"Makanan adalah penghubung kami sekeluarga, setiap kali selesai pertandingan, kami akan makan malam bersama, berbincang tentang apa yang berlaku dan apa yang boleh diperbaiki.
"Sukan bukan sekadar tentang menang atau kalah tetapi tentang pembelajaran, disiplin dan semangat kekeluargaan yang terjalin sepanjang perjalanan itu," tambahnya.
Pencapaian antarabangsa
Terbaharu, Saif sekali lagi membuktikan konsistensinya di pentas sukan antarabangsa apabila meraih pingat emas dalam kejohanan Kadet Malaysia U17, satu pertandingan yang turut menghimpunkan peserta terbaik dari rantau ini.
Dalam aksi final yang sengit, Saif menutup perlawanan dengan kemenangan 15–6 ke atas Gale Brynt dari Filipina sebagai satu keputusan membanggakan yang sekali gus menambah koleksi kilauan emas peribadinya.
"Gembira melaporkan bahawa saya meraih pingat emas di kejohanan Kadet Malaysia U17 kali ini.
"Apa yang saya nikmati pada kejohanan ini ialah peluang untuk mengejar rakan-rakan dari Australia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina," ujarnya.
Kemenangan itu memahat satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan karier Saif sebagai atlet muda berbakat negara.
Sebelum ini, Saif itu turut merangkul emas di Kejohanan Remaja Persekutuan Fencing Asia Tenggara (SEAFF), pencapaian yang melonjakkan kedudukannya dalam ranking remaja kebangsaan (bawah 21 tahun).
Pentas Olimpik jadi sasaran
Bagi Saif sendiri, setiap langkah yang diambil kini adalah sebahagian daripada perjalanan jangka panjang menuju impian melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
“Matlamat utama saya layak ke Olimpik, itu akan mengambil masa bertahun-tahun latihan dan dedikasi tapi dalam masa terdekat, saya nak fokus pada SUKMA yang akan berlangsung di Selangor tahun depan dan kami sasarkan emas dalam acara berpasukan," katanya.
Biarpun sibuk dengan urusan wakili negara, Saif sentiasa menekankan pentingnya semangat berpasukan dan keseimbangan antara pelajaran, latihan serta kehidupan sosial.
“Cabaran terbesar sekarang ialah mencari keseimbangan, saya bukan robot saya masih perlukan masa dengan kawan-kawan juga.
"Tapi kalau nak jadi terbaik, kita kena berlatih dengan yang terbaik," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
