
DIKENALI menerusi lakonannya dalam filem popular Gol & Gincu (2005), pelakon dan pengacara, Sazzy Falak bukan sahaja aktif di layar kaca, malah turut mengekalkan gaya hidup cergas melalui pelbagai aktiviti sukan dan senaman di gimnasium.
Terbaharu, beliau dilihat semakin aktif bermain sukan yang sedang meningkat popularitinya di Malaysia, pickleball.
Sazzy atau nama sebenarnya, Sazlini Datuk Shamsul Falak mengakui minatnya terhadap sukan pickleball bukan sekadar untuk beriadah, tetapi juga kerana ia menjadi ruang untuk bersosial dan mengekspresikan gaya peribadi.
BACA LAGI: [VIDEO] Matcha, manfaat atau risiko untuk kesihatan haid wanita?
BACA LAGI: Ibu anak autisme kecewa terima surat 'layang' dari jiran, seru masyarakat lebih empati
Sazzy yang mula bermain pickleball secara serius pada awal tahun ini berkata, aktiviti itu kini menjadi sebahagian rutin keluarga, termasuk suami dan anak-anaknya.
"Menarik bagaimana kehidupan kami tahun ini banyak berkisar tentang pickleball. Sebenarnya, semua ahli keluarga saya bermain pickleball,” katanya yang juga ibu kepada tiga orang anak itu.
Tambahnya, minat itu selaras dengan gaya hidup keluarganya yang aktif bersukan sejak dahulu lagi.
“Daripada kecil lagi saya memang aktif bersukan begitu juga suami. Kami pernah mewakili sekolah dan bila bercuti pun kami akan cari aktiviti sukan untuk dilakukan," ujarnya.
Bagi wanita berusia 44 tahun tersebut, keistimewaan pickleball terletak pada suasana santai yang membolehkan pemain berinteraksi sambil melakukan aktiviti sihat.
"Saya suka pickleball kerana ia tempat sosial yang sangat baik. Bukan sahaja kita dapat berjumpa kawan-kawan, kami dapat bersosial dan sambil melakukan aktiviti sihat," katanya.
Beliau turut mengakui aspek penampilan memberi kepuasan tersendiri ketika berada di gelanggang.
"Saya dapat memakai pakaian sukan yang comel dan kelihatan cantik," katanya sambil menyifatkan pickleball mudah diakses kerana kemudahan gelanggang kini terdapat di banyak lokasi, khususnya di Kuala Lumpur.
Walaupun jadual penggambaran padat, Sazzy tetap memastikan dirinya kekal aktif melalui aktiviti sukan lain dan senaman di gimnasium.
Sepanjang dua bulan ini saya membuat penggambaran tanpa henti, jadi jarang dapat bermain. Tetapi pada masa biasa, jika saya ada banyak masa lapang, kekerapan saya bermaian pickleball boleh meningkat hingga tiga atau empat kali seminggu,” katanya.
Beliau turut berkata, senaman di gimnasium menjadi keutamaan bagi memastikan keseimbangan kecergasan.
“Saya tetap memastikan pergi ke gim lebih daripada bermain kerana badminton atau pickleball adalah kardio sahaja. Jadi, saya cuba menjaga keseimbangan,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram