
SUKAN pickleball di Malaysia terus mencipta sejarah apabila Mothership dengan kerjasama strategik jenama raket global Six Zero, memperkenalkan ekosistem pickleball yang dianggap antara tercanggih di rantau ini.
Mothership memperkenalkan fasiliti gelanggang pickleball berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang direka khusus bagi memberi kepuasan kepada pemain sosial mahupun mereka yang bercita-cita untuk bergelar profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap pengasasnya, Janet Teo berkongsi bahawa reka bentuk gelanggang itu menitikberatkan faktor ruang permainan yang luas, lantai berkualiti dan jaring berstandard antarabangsa bagi memastikan pengalaman terbaik kepada pemain.
BACA LAGI: Perkenal latte bandung dan gula melaka, elemen nostalgia Koppiku pikat cita rasa pelanggan
"Jika anda seorang pemain pickleball sosial atau bahkan bercita-cita untuk menjadi profesional, apabila anda turun ke gelanggang untuk bermain, ia boleh menjadi sesuatu yang mengecewakan sekiranya gelanggang itu tidak mempunyai ruang yang mencukupi.
"Bayangkan gelanggang yang disewa dengan kadar RM50 hingga RM70 sejam, sudah tentu anda mahu menikmatinya sepenuhnya. Perkara terakhir yang anda mahukan ialah terjatuh, terhantuk tiang atau berdepan ruang terhad ketika bermain," katanya.
Janet ditemui ketika Majlis Pelancaran Mothership menerusi kerjasama strategik dengan jenama raket global Six Zero yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, pembangunan gelanggang itu juga mengambil kira evolusi sukan pickleball yang kini semakin kompetitif, dengan kayu pemukul lebih berkuasa dan gaya permainan yang beralih kepada pukulan laju.
CEO Mothership, Janet (kanan) dan pengasas Six Zero, Dale Young.
Justeru, pemain memerlukan ruang serta permukaan lantai yang konsisten untuk mengelakkan kecederaan.
"Selain itu, kami juga pastikan jaring sentiasa pada ketegangan dan ketinggian yang tepat supaya permainan berjalan lancar. Apabila sukan ini matang, pemain akan lebih menghargai fasiliti sebegini," jelasnya.
Janet menambah, Mothership bukan sahaja mahu memenuhi keperluan pemain sosial, malah berhasrat membawa pickleball ke tahap lebih tinggi di Malaysia dengan menyediakan kemudahan setaraf antarabangsa.
"Jika mahu menjadikan pickleball sebagai sukan masa depan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, fasiliti yang betul perlu disediakan bagi menyokong pemain yang serius," jelasnya.
Dia turut mendedahkan pihaknya akan menubuhkan akademi pickleball melalui program pelancaran awal dikenali sebagai 'launchpad' bagi melatih pemain dari peringkat asas hingga ke tahap lebih kompetitif.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran ini, Six Zero memperkenalkan dua model raket terkini iaitu Black Opal dan Ruby Pro yang direka untuk meningkatkan kawalan, ketepatan serta kuasa permainan.
Black Opal menampilkan teras padu terapung dengan paten dalam proses, lapisan Power Gel dan pemegang Shock Shield, manakala Ruby Pro dibina dengan teras sel 12 milimeter, lapisan gentian Aramid bersudut 45 darjah dan tekstur Diamond Tough.
Kedua-duanya ditawarkan secara eksklusif di Mothership dan Picklefox. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram