Adik 'perit' hilang bayi 11 bulan, abang gesa pemilik lembu tampil tanggungjawab kemalangan di Bera


  • Bonda
  • Sabtu, 25 Okt 2025

Mohamad Norismail kehilangan anak sulungnya usai kemalangan di Kilometer 49 Jalan Kerayong – Simpang Kepayang, Bera.

"KEPADA tuan lembu, mesti kau bahagia sekarang sedangkan adik aku kehilangan anak sulung yang selalu tunggu dia balik kerja".

Demikian luahan sayu Nor Azahar Abdullah, abang kepada mangsa yang kehilangan anak berusia 11 bulan ekoran insiden kemalangan yang berlaku di Kilometer 49 Jalan Kerayong – Simpang Kepayang, Bera, Pahang pada Jumaat.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, lelaki itu menzahirkan kekecewaan terhadap pemilik lembu yang dipercayai menjadi punca kemalangan, selain meluahkan kesedihan terhadap nasib adiknya yang terpaksa menanggung kehilangan besar pada usia muda.

BACA LAGI: 'Tak bagi kerja, kena makan makanan sihat', anak autisme pempengaruh 'berleter' lepas tahu ibu hamil, 10 tahun tunggu nak adik

BACA LAGI: Reda bukan rezeki kembar, hanya satu janin selamat, Bella Park alami 'vanishing twin syndrome'

Menurutnya, adiknya bukan sahaja pernah kehilangan ibu ketika berusia lima tahun, malah kini diuji pula dengan kehilangan anak sulung yang baru berusia 11 bulan.

"Menyorok la ke mana pun tuan lembu, kau tak dapat balasan dunia, insha-ALLAH kau dapat balasan di akhirat.

"Dia selalu salahkan diri sendiri atas kematian anaknya, kalau tuan lembu tu tahu apa yang kami rasa, datanglah jumpa adik aku, walaupun tak boleh kembalikan nyawa anak buah aku, sekurang-kurangnya tunjuklah rasa tanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong untuk membeli susu anak mereka.

 

Mangsa, Nur Adriana Amira Mohamad Norismail, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32 akibat kecederaan di bahagian kepala.

“Ketika tiba di lokasi, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar haiwan berkenaan dan terbabas ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan.

Bayi berkenaan difahamkan berada dalam pangkuan ibunya, Nik Nur Aini Azierah Che Azeman, 21, ketika kejadian, manakala kereta jenis Perodua Bezza dipandu bapa mangsa, Mohamad Norismail Sani, 22.

"Dua daripada tiga ekor lembu yang dilanggar mati di tempat kejadian, manakala seekor lagi cedera," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram