[VIDEO] Tak gentar diperhati ketika 'live painting', skil melukis Mia miliki gaya dan ekslusiviti tersendiri


  • Sukses
  • Selasa, 28 Okt 2025

Mia (kanan) tampil dengan pendekatan yang bukan sekadar artistik, tetapi sarat sentuhan emosi pasangan pengantin dalam masa nyata.

DALAM setiap sapuan berusnya, terselit kisah, emosi dan jiwa yang hidup. 

Itulah magis sentuhan pelukis, Sumi Aris Aziz yang kini mencipta fenomena baharu dalam dunia seni tempatan menerusi konsep khidmat pelukis secara langsung (LWP).

Datang daripada keluarga besar, seni sudah sebati dalam diri anak kedua daripada sembilan beradik itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Perkenalan ibarat 'eksperimen', beratur di tandas jadi permulaan cinta Mark Zuckerberg dan Priscilla Chan

BACA LAGI: [VIDEO] Hargai isteri, suami pakat dengan anak-anak sambut 'anniversary' buat pertama kali lepas 22 tahun kahwin

Sejak kecil, anak kepada pelukis veteran tersohor tanah air, Pak Aris Aziz itu sudah mula melukis dan seiring meningkat remaja, nalurinya terhadap seni menjadi semakin mendalam.

Kini bergelar ibu kepada enam cahaya mata, bakat seni tersebut turut mengalir ke generasi ketiga keluarganya.

Walaupun pernah berkhidmat dalam sektor korporat dan kerajaan sejak era 90-an, cinta beliau yang lebih dikenali dengan nama Mia D’Artiste terhadap seni tidak pernah pudar.

Mia berkata, zaman remajanya diwarnai pengalaman bekerja di sebuah tabloid, aktif dalam kewartawanan dan menghasilkan ilustrasi visual untuk ruangan cerpen mingguan.

Namun titik perubahan besar hadir pada 2009, selepas mengambil keputusan berani meninggalkan dunia pekerjaan untuk menumpukan sepenuhnya pada tempahan lukisan potret dan variasi karya lain.

"Dalam masa sama, saya mengikuti kursus Seni Halus di ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) sambil terus berkarya sepenuh masa di  Pasar Seni bersama ayah dan adik-beradik lain,” katanya kepada Majoriti.

Antara karya yang dihasilkan secara langsung oleh Mia.

Kanvas pengantin

Berkongsi lanjut, Mia memberitahu, ilham untuk melukis di majlis perkahwinan sebenarnya tercetus seawal 2010, namun hanya menjadi realiti selepas pandemik Covid-19.

Pada awalnya, beliau masih belum menemui kaedah sesuai kerana beranggapan LWP perlu dilukis sepenuhnya tanpa sebarang rujukan, menyebabkan idea tersebut dibiarkan begitu sahaja.

Sehinggalah setahun selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau menonton video daripada luar negara yang memaparkan konsep tersebut.

"Reaksi pertama saya 'what? How is that possible?' Dari situ, saya mula menonton lebih banyak video melukis secara langsung di majlis perkahwinan melalui media sosial,” ujarnya mengimbau detik awal memulakan konsep LWP.

Mia (kiri) menunjukkan hasil lukisannya kepada pasangan pengantin.

Selepas memahami konsep sebenar pelukis secara langsung, anak jati Kuala Lumpur itu mula bereksperimen, hingga akhirnya mula memperkenalkan gaya tersendiri.

Beliau tampil dengan pendekatan yang bukan sekadar artistik, tetapi sarat sentuhan emosi pasangan pengantin dalam masa nyata.

“Apabila melukis secara langsung di majlis, saya bukan hanya hasilkan potret, tapi saya rasa suasananya termasuk muzik, tawa dan air mata, semuanya jadi sebahagian daripada karya.

"Energi tersebut yang buat lukisan terasa hidup,” jelasnya.

Bercerita tentang proses menghasilkan sesebuah karya, ujar Mia, ia bermula dengan sapuan berus terus di atas kanvas tanpa lakaran pensel.

Menggunakan cat akrilik dan air, jelasnya, setiap karya mengambil masa antara empat hingga enam jam untuk disiapkan di lokasi, sebelum disempurnakan di studio dalam tempoh 15 hingga 20 jam lagi.

"Setiap karya kemudian diberi finishing lengkap termasuk varnish dan framing sebagai nilai tambah eksklusif untuk pelanggan," ungkap beliau.

Mia mengakui sudah terbiasa dengan gelagat orang ramai yang melihat proses melukis dilakukan.

Ceritanya, antara cabaran utama yang sering dihadapi pelukis baharu dalam bidang live wedding painting ialah apabila proses mereka diperhatikan secara langsung oleh orang ramai.

Namun bagi Mia, situasi itu bukan tekanan, sebaliknya satu pengalaman yang menyeronokkan.

Katanya, sejak 2010 beliau sudah terbiasa melukis di khalayak umum, sekali gus menjadikan kehadiran penonton sebagai sumber tenaga dan inspirasi, bukannya gangguan.

“Bagi saya, apabila orang datang melihat atau bertanya semasa melukis, suasana itu memberi semangat. Ia menjadikan seni lebih dekat dengan manusia,” tuturnya yang sudah menerima tempahan daripada lebih 150 pasangan pengantin sejak awal 2024.

Namun begitu, Mia mengakui kekangan masa merupakan cabaran terbesar dalam setiap sesi melukis secara langsung di majlis perkahwinan.

Mia (kanan) perlu menyiapkan potret pengantin dengan pantas agar sempat menangkap detik penting sebelum dikongsikan kepada pengantin.

“Dalam tempoh empat hingga enam jam itu, saya perlu menyiapkan potret pengantin dengan pantas agar sempat menangkap detik penting sebelum karya tersebut didedahkan kepada pasangan,” bicaranya.

Beliau menambah, cabaran juga terletak pada keseimbangan antara latar belakang dan potret utama, yang mana di Malaysia, nisbah masa melukis biasanya 70 peratus untuk latar dan hanya 30 peratus untuk wajah pengantin.

“Sebenarnya ia akan lebih mudah jika potret diberi keutamaan 70 peratus dan latar hanya 30 peratus, tetapi di sini pelukis perlu pandai menyesuaikan teknik dan proses mengikut suasana majlis,” jelasnya lagi.

Beliau percaya seni tradisional masih punya tempat yang istimewa di tengah arus teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih.

“AI boleh hasilkan gambar cantik tapi ia tidak akan boleh menyalin sentuhan manusia termasuk rasa cinta, debaran, emosi sebenar yang saya tangkap waktu majlis berlangsung,” katanya yang mengidolakan bapanya, Gustav Klimt, Rene Magritte dan John Singer Sargent dalam dunia seni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram