Bukan sekadar inovasi, 'Godmother of AI' ajar dunia cara ‘memanusiakan' teknologi


  • Sukses
  • Rabu, 29 Okt 2025

Ketegasan dan kejayaan Fei Fei menjadi inspirasi kepada generasi baharu saintis wanita di seluruh dunia. — Agensi

DALAM sejarah perkembangan kecerdasan buatan (AI), hanya segelintir nama yang disebut dengan penuh penghormatan dan salah satunya ialah Dr. Fei Fei Li. 

Dikenali sebagai 'Godmother of AI', sumbangan beliau dalam bidang computer vision telah mengubah cara mesin memahami dunia.

Sebagai pencipta ImageNet, Fei Fei menjadi perintis pada kemajuan deep learning moden yang kini digunakan dalam pelbagai teknologi daripada kenderaan pandu sendiri, pengecaman wajah, perubatan berasaskan AI hingga ke generatif AI.

BACA LAGI: [VIDEO] Demi bersama anak, lelaki tinggalkan ladang minyak, labur bisnes ATM, kini 'income' RM64,000 sebulan

BACA LAGI: [VIDEO] Tak gentar diperhati ketika 'live painting', skil melukis Mia miliki gaya dan ekslusiviti tersendiri

Fei Fei membuktikan kecerdasan sama ada manusia atau buatan akan berkembang apabila diberi ruang dan sokongan yang adil. — Agensi

Namun, kisah Fei Fei bukan sekadar tentang inovasi teknologi. 

Ia juga tentang ketabahan, perjuangan menongkah ketidaksamaan gender dan usaha beliau untuk 'memanusiakan' AI. 

Dalam dunia teknologi yang didominasi lelaki, Fei Fei membuktikan bahawa kecerdasan sama ada manusia atau buatan akan berkembang apabila diberi ruang dan sokongan yang adil.

Dilahirkan di Chengdu, China pada 1976, Fei Fei membesar jauh daripada dunia elit teknologi yang kelak diterajuinya. 

Pada usia 15 tahun, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) bersama keluarganya dan menetap di New Jersey.

Keluarganya mengusahakan kedai dobi kecil, sementara beliau membantu selepas waktu sekolah. 

Berkat kegigihan dan kecerdasan luar biasanya, Fei Fei berjaya menamatkan pengajian di Princeton University dalam bidang Fizik pada 1999 sebelum melanjutkan pelajaran ke Caltech dan memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Elektrik pada 2005.

Di situlah beliau mula meneliti bagaimana AI dapat meniru cara manusia melihat dunia.

Fei-Fei menamatkan pengajian di Princeton pada 1999 dan melanjutkan pengajian PhD di Caltech. — Agensi

Kekurangan AI

Sekitar 2006, ketika berkhidmat di University of Illinois Urbana-Champaign, Fei Fei menyedari kekurangan besar dalam penyelidikan AI iaitu data visual yang terhad.

AI pada masa itu tidak mampu mengenal pasti imej dengan tepat kerana dataset sedia ada hanya mengandungi ribuan imej, ia terlalu sedikit untuk melatih mesin.

Lantas, beliau tampil dengan idea radikal, membina pangkalan data imej berskala besar yang diberi nama ImageNet. 

Antara 2007 hingga 2010, beliau bersama pasukannya mengumpul 14 juta imej yang dikategorikan kepada 20,000 jenis objek berbeza.

Projek itu melonjakkan AI ke tahap baharu apabila pertandingan ImageNet Large Scale Visual Recognition Challenge (ILSVRC) diperkenalkan pada 2010.

Fei Fei juga berjuang menongkah ketidaksamaan gender dan berusaha untuk memanusiakan AI. — Agensi

Revolusi Deep Learning

Tahun 2012 menjadi detik bersejarah apabila pasukan penyelidik diketuai Geoffrey Hinton memperkenalkan model deep learning bernama AlexNet.

Menggunakan dataset ImageNet, model tersebut mencatat kejayaan luar biasa dengan kadar ralat hanya 15.3 peratus, jauh lebih baik berbanding sistem terdahulu.

Sejak itu, AI berkembang pesat. Syarikat gergasi seperti Google, Microsoft, OpenAI dan Tesla membina teknologi berasaskan deep learning, semuanya berakar daripada kerja asas Fei Fei.

Beliau bagaimanapun tidak melihat AI sebagai ancaman, sebaliknya sebagai alat untuk memperkasa manusia.

Ketika menjawat jawatan Ketua Saintis AI dan Machine Learning di Google Cloud pada 2017, beliau giat memperjuangkan AI beretika dan berpusatkan manusia (human-centered AI).

Kini sebagai Pengarah Institut Stanford untuk AI Berpusatkan Manusia (HAI), fokus beliau meliputi etika dan pencegahan ketidaksamaan dalam AI, aplikasi AI dalam kesihatan dan kebajikan social serta memastikan AI menjadi pelengkap, bukan pengganti tenaga manusia.

Fei Fei tidak melihat AI sebagai ancaman, sebaliknya sebagai alat untuk memperkasa manusia. — Agensi

Dominasi 

Sebagai wanita dalam bidang teknologi, Fei Fei berdepan cabaran besar termasuk diskriminasi gender. Namun, beliau memilih untuk tidak tunduk.

Melalui organisasi AI4ALL, beliau memperjuangkan penyertaan lebih ramai wanita dan kaum minoriti dalam AI, di samping program mentor seperti Stanford Women in AI.

Ketegasan dan kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada generasi baharu saintis wanita di seluruh dunia.

Pada 2024, Fei Fei menubuhkan World Labs, syarikat pemula dalam bidang kecerdasan spatial yang membolehkan AI memahami ruang tiga dimensi seperti manusia. 

Hanya dalam empat bulan, syarikat itu berjaya meraih pelaburan AS$230 juta (hampir RM1 bilion) dengan nilai pasaran melebihi AS$1 bilion (RM4 bilion).

Fokusnya kini tertumpu pada menjadikan AI lebih telus, beretika dan inklusif serta mengembangkan teknologi dalam bidang kesihatan, pendidikan dan robotik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram