TIDAK semua orang memiliki saluran pernafasan yang baik sehingga terpaksa bergantung kepada sesuatu ubat-ubatan bagi melancarkan pernafasan.
Di Malaysia, masalah pernafasan seperti resdung, selsema, asma dan epistaksis antara penyakit yang kerap berlaku.
Ini menyebabkan segelintir orang memilih untuk menggunakan herba terapi bagi membekalkan oksigen kepada tisu dan organ badan, sekali gus mengatasi masalah pernafasan yang dihadapi.
Persoalannya, adakah hukum menghidu herba terapi semasa berpuasa boleh membatalkan puasa?
Menjawab persoalan itu, pakar ilmu fiqh, @Syahrul menjelaskan bahawa menghidu herba terapi semasa berpuasa sama sekali tidak membatalkan puasa.
"Perbuatan ini sama seperti menghidu sesuatu (wangian atau asap gaharu)," tulisnya.
BACA LAGI: Cukup hujung-hujung sudu, kurma butter sesuai buat penghidap kerintangan insulin
Menghidu sesuatu herba terapi bagi membantu saluran pernafasan dibolehkan semasa berpuasa.
Namun begitu, jika seseorang menghidu dengan unsur berlebihan maka hukumnya makruh.
"Dan makruh menghidu wangian, asap gaharu (dan menghidu herba) jika ada unsur melonjakkan nafsu dan syahwat," tulisnya.
Memetik penerangan daripada pejabat mufti Wilayah Persekutuan, ini turut dijelaskan berpandukan kata-kata Al-Imam al-Syirbini iaitu:
(وَ) لْيَصُنْ (نَفْسَهُ) نَدْبًا (عَنْ الشَّهَوَاتِ) الَّتِي لَا تُبْطِلُ الصَّوْمَ مِنْ الْمَشْمُومَاتِ وَالْمُبْصِرَاتِ وَالْمَلْمُوسَاتِ وَالْمَسْمُوعَاتِ كَشَمِّ الرَّيَاحِينِ وَالنَّظَرِ إلَيْهَا وَلَمْسِهَا وَسَمَاعِ الْغِنَاءِ لِمَا فِي ذَلِكَ مِنْ التَّرَفُّهِ الَّذِي لَا يُنَاسِبُ حِكْمَةَ الصَّوْمِ، وَهِيَ لِتَنْكَسِرَ النَّفْسُ عَنْ الْهُوَى وَتَقْوَى عَلَى التَّقْوَى، بَلْ يُكْرَهُ لَهُ ذَلِكَ.
Maksudnya: “Dan sunat ke atas orang yang berpuasa untuk memelihara dirinya daripada segala bentuk syahwat yang tidak membatalkan puasa sama ada melalui perbuatan menghidu, melihat, memegang atau mendengar seperti menghidu bunga yang berbau harum dan melihat kepadanya serta memegangnya, atau mendengar nyanyian. Hal ini kerana pada demikian itu terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa iaitu membangkitkan nafsu dan membuatkan ia (nafsu) menandingi ketakwaan. Oleh yang demikian, perbuatan itu dimakruhkan ke atasnya.”
Seseorang yang menghisap tembakau semasa berpuasa akan menyebabkan puasanya terbatal.
Syahrul turut menambah, perkara itu berbeza pula apabila seseorang menghisap tembakau seperti rokok, vape dan shisha di bulan Ramadan.
"Ia membatalkan puasa kerana asap tembakau itu dikira sebagai jirim yang mengembun dalam mulut atau hidung.
"Asap tembakau yang diambil kemudian akan turun ke dalam dada sehingga ia masuk ke dalam rongga yang menyebabkan puasa terbatal," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram