KETIKA ramai mengambil langkah selamat untuk kekal dalam kerjaya tetap sewaktu pandemik Covid-19, pasangan suami isteri ini memilih jalan sebaliknya.
Suzieyana Hijau, 32, dan Muhammad Syarizal Mohd Deno, 29, meninggalkan status kakitangan kerajaan demi membina jenama kosmetik sendiri yang kini dikenali sebagai Lovaa Cosmetics.
Bermula pada 2020, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, suami isteri itu berhasrat mencari pendapatan tambahan bagi menampung keperluan keluarga.
BACA LAGI: Dari doktor gigi ke 'pakar' pastri, konsep 'rustic' pilihan Dr. Ezani, tak menang tangan urus 2 kafe
Memiliki kelebihan menyolek, sesuai pengalaman sebagai jurumekap sambilan mencetuskan ilham memulakan bisnes kosmetik.
Berbekalkan pengalamannya, Suzieyana mula mencari idea produk kosmetik mudah digunakan, sehingga terlahirlah penggaris mata fungsi dwicara, 2StepEyeliner yang pada waktu itu masih belum banyak di pasaran tempatan.
Modalnya hanya kira-kira RM1,000 hasil gajinya sendiri.
Dengan jumlah tersebut, wanita kelahiran Raub, Pahang itu memesan stok awal sebanyak 100 unit penggaris mata, dijual secara kecil-kecilan kepada rakan dan kenalan.
“Awal-awal memang susah sikit, tak ramai yang nak beli sebab produk baharu, tapi kami tak putus asa.
"Balik kerja saya buat video, muat naik di Instagram dan TikTok. Masa itu TikTok baru nak naik, senang masuk FYP (For You Page). Dari situ video saya tular,” katanya kepada Majoriti.

Suzieyana (kiri) dan Muhammad Syarizal (kanan) nekad berhenti kerja di sektor awam bagi membina perniagaan sendiri.
Berhenti kerja
Selepas setahun berniaga, pasangan itu terus bereksperimen menghasilkan produk baharu bagi mengekalkan momentum Lovaa Cosmetics.
Ujar Suzieyana, mereka kemudian melancarkan Eyebrow Kit #SakaKeningLovaa, produk inovatif berkonsepkan solekan pantas dan mudah digunakan.
“Konsep jenama ini memang jelas sejak awal, kami nak hasilkan alat solek ringkas dan menjimatkan masa.
"Kalau orang lain sibuk jual lipmatte atau bedak asas, kami pula fokus pada produk yang memudahkan wanita bersiap,” jelasnya menambah, lebih 110,000 unit Eyebrow Kit terjual hanya dalam tempoh sebulan.

Suzieyana pernah berkhidmat dalam pasukan PDRM selama empat tahun sebelum memutuskan untuk berhenti pada awal 2021.
Menurut Suzieyana, selepas melihat potensi besar bisnes berkenaan, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai anggota penguatkuasa di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhenti kerja terlebih dahulu bagi memberi tumpuan penuh pada operasi perniagaan.
Hanya tiga bulan kemudian, Suzieyana pada awal 2021 membuat keputusan meninggalkan kerjaya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Waktu itu memang saya dalam dilema, takut juga sebenarnya sebab kalau kerja kerajaan ada gaji tetap, pencen, semua terjamin.
"Namun suami saya bagi dorongan dan beliau juga yakin bisnes ini boleh pergi jauh," imbau anak bongsu daripada enam beradik itu.

Halangan keluarga
Seperti diduga, membesar dalam lingkungan keluarga yang berkhidmat sebagai penjawat awam, sukar untuk mereka menerima keputusan Suzieyana.
Langkah drastik meninggalkan dunia seragam biru dianggap bertentangan dengan kebiasaan yang sudah lama menjadi pegangan keluarga.
Biarpun berat hati pada awalnya, pemegang Diploma Teknologi Kreatif daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana itu nekad mempertahankan keputusannya.
Keyakinan semakin kuat selepas melihat potensi besar dalam perniagaan dibina bersama Muhammad Syarizal.
"Sebagai anak bongsu, saya selalu ikut kata keluarga terutamanya abang sebagai pengganti arwah bapa, tapi kali ini saya nekad.
"Saya sedar kalau teruskan kerja, berapa lama pun bekerja, gaji lebih kurang sama.
“Sebaliknya dalam perniagaan, kalau usaha lebih hasil pun akan datang lebih banyak,” tegasnya yang pernah menjual di tapak pasar malam dekat Raub demi menyokong minat Muhammad Syarizal dalam bisnes.

Bagi Suzieyana, jatuh bangun dalam bisnes adalah biasa dalam setiap langkah yang beliau usahakan.
Jatuh
Tambah ibu kepada seorang anak perempuan itu, selepas dua tahun membina jenama sendiri, bisnes berdepan kejatuhan besar apabila strategi harga yang kurang tepat menyebabkan ejen-ejen utama menarik diri.
Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan datang bertimpa-timpa. Produk baharu yang diharap menjadi ‘pengganti' produk tular tidak mendapat sambutan.
Sudahlah begitu, kerjasama dengan sebuah kilang pula membawa kerugian besar buat mereka.
“Bayangkan kita tempah 10,000 unit produk, tapi sampai banyak yang salah. R&D (penyelidikan dan pembangunan) lain, formula lain. Rugi dalam RM100,000 juga masa itu,” ceritanya.
Lebih mencabar, semua itu berlaku sewaktu dirinya sedang hamil.
“Saya banyak duduk rumah, termenung dan tak tahu nak buat apa.
"Dalam masa sama, kawan-kawan yang dulu rapat pun makin menjauh. Biasalah perempuan, kita akan fikir 'kenapa orang buat aku macam ini?," tuturnya yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Suzieyana kini memfokuskan pada jualan produk dengan 'harga rahmah'.
Menilai semula strategi, Suzieyana dan pasukannya memilih berhenti seketika daripada mengeluarkan kos besar untuk pemasaran berbayar.
Dari situ, lahirlah idea baharu, produk penjagaan kulit dengan 'harga rahmah'.
Menariknya, semua produk dibangunkan secara tempatan dan dikendalikan tenaga kerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) di Kelantan.
“Empat bulan lepas, ALLAH SWT bagi ilham untuk fokus pada produk penjagaan kulit.
"Kita buat konsep mudah, bahan-bahan semula jadi macam sabun susu kambing, penyegar wajah dan, pelembap, dengan harga antara RM10 hingga RM50,” jelasnya yang turut mengupah golongan suri rumah untuk bekerja secara sambilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
