Lelaki kongsi proses tanam uri, anggota badan percuma di tanah perkuburan Subang Jaya, ramai tak sangka ada kemudahan begini


  • Bonda
  • Selasa, 28 Okt 2025

Pihak pengurusan tanah perkuburan turut membantu menggali dan menyediakan tempat khas untuk menanam uri. — Gambar janaan AI

SEORANG pengguna media sosial berkongsi maklumat mengenai kemudahan menanam uri dan anggota badan secara percuma yang disediakan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, Subang Jaya, Selangor.

Menerusi hantaran di aplikasi Threads milik mhdsyfqrzdii, lelaki itu memaklumkan bahawa penduduk sekitar Subang Jaya, Puchong, Shah Alam dan kawasan berdekatan boleh menanam uri di tanah perkuburan berkenaan sekiranya tinggal di kediaman bertingkat atau tiada kawasan lapang.

Menurutnya, pihak tanah perkuburan turut membantu menggali dan menyediakan tempat khas untuk menanam uri.

BACA LAGI: Adik 'perit' hilang bayi 11 bulan, abang gesa pemilik lembu tampil tanggungjawab kemalangan di Bera

BACA LAGI: Penemuan mayat bayi di Cameron Highlands, remaja 19 tahun mengaku jalani hubungan terlarang dengan kakak tiri

"Anggota badan pun boleh, contoh yang kena potong sebab diabetes, boleh saja bawa tanam situ. 

"Tak kena bayar apa-apa pun. Abang yang jaga kawasan itu suruh kongsi sebab ramai tak tahu,” tulisnya pada Sabtu.

Tambahnya lagi, pihak pengurusan di situ turut memastikan keselamatan kawasan tersebut sentiasa terjaga.

“Mereka cakap elok tanam situ sebab ada pengawal keselamatan, lagi selamat,” katanya.

Dalam hantaran sama, lelaki itu turut menitipkan pesan agar mereka yang berkunjung ke tanah perkuburan tersebut membacakan Al-Fatihah buat arwah anak sulungnya yang dikebumikan di situ.

“Kalau ada yang sampai ke sana, sedekahkan sekali Al-Fatihah untuk puteri sulung saya, Inara Aafiyah ya,” tulisnya.

Hantaran berkenaan mendapat perhatian dalam kalangan warga maya yang rata-ratanya berterima kasih atas perkongsian itu kerana ramai tidak mengetahui adanya kemudahan sebegitu di tanah perkuburan tersebut.

“Lebih selamat rasanya sebab tanah perkuburan dijaga. Kalau tanam di rumah, tanah kecil dan ada kemungkinan 'benda' lain korek,” ujar izzah.wazi.

“Alhamdulillah ada tempat. Jiran flat saya dulu tanam uri sekitar tong sampah saja, tak bakar pun di atas. Kawasan sini banyak anjing,” tulis hzlyana

“Saya tanam kucing saya dekat sini dengan anak-anak dia. Memang staf membantu sangat-sangat,” kata sherryzirx_. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram