DARIPADA sandwic mini daging panggang klasik Amerika hingga roset salmon salai, menu untuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjanjikan cita rasa seperti di negaranya walaupun berada jauh dari kediamannya.
Ayam hickory carik yang dibalut dalam gulungan tortilla juga akan dihidangkan ketika Trump dijadualkan makan bersama ketua-ketua negara malam ini.
Ketua Chef Eksekutif Pusat Konvokesyen Kuala Lumpur (KLCC), Hisham Jaafar berkata pihaknya sudah berbincang terlebih dahulu dengan wakil dari Rumah Putih.
BACA LAGI: [VIDEO] Nasib sempat elak, kereta terselamat 'ditelan' tanah runtuh di Balik Pulau
BACA LAGI: [VIDEO] Senangnya hidup, pemuda tanpa segan silu curi 'parcel' di perumahan Skudai

Trump menjadi tetamu tumpuan di Sidang Kemuncak Asean ke-47.
“Pencuci mulut juga akan dihidangkan. Ia akan disajikan di atas dulang sebelum diserahkan kepada pegawai Amerika Syarikat untuk menghidangkan makanan ringan itu.
“Mereka hanya mahukan makanan yang ringkas, sambil menyatakan ia bukan tentang Amerika Syarikat, tetapi apa yang boleh dimakan oleh orang Asia,” katanya.
Hisham berkata, majlis makan malam gala sidang kemuncak yang akan berlangsung Isnin dijangka menampilkan hidangan tradisional Malaysia kepada para delegasi.
Antara hidangan utama termasuk sate daging lembu yang disajikan dengan gaya avant-garde, ikan siakap dimasak mengikut gaya Cina Malaysia, serta sambal udang galah yang dihidangkan bersama persembahan nasi lemak.
Katanya, ikan siakap itu diperoleh dari Pulau Ketam, Selangor.
Turut disajikan ialah gulungan ayam (chicken roulade) dengan kerak rendang, dihidangkan bersama lemang.
“Semua sayur-sayuran kami diperoleh secara tempatan, termasuk dari Cameron Highlands. Ayam yang digunakan juga daripada kualiti terbaik.
“Kami benar-benar mahu memukau para tetamu dengan cita rasa dan produk Malaysia
“Sate juga pasti akan dihidangkan bersama bawang, timun, kuah kacang dan juga nasi himpit,” katanya.
Walaupun hanya mempunyai 150 kakitangan, pasukan dapur akan menyediakan makanan untuk kira-kira 5,000 delegasi setiap hari mulai hari ini hingga Selasa.
Hisham berkata, antara cabaran dalam mengendalikan sidang kemuncak berskala besar dan berprofil tinggi seperti ini ialah permintaan saat akhir.
“Namun, itu tidak menghalang kami untuk memenuhi permintaan mereka sebaik mungkin,” tambahnya.
Katanya, pihak dapur turut mempunyai menu kontingensi atau sandaran untuk disajikan kepada para delegasi.
“Kami juga mengambil kira keperluan diet semua delegasi, kerana kami akan menghidangkan makanan kepada tetamu dari seluruh dunia,” katanya.
“Menu ini mula disusun sejak Januari melalui perbincangan dengan Pejabat Perdana Menteri. Ia berasaskan makanan Malaysia dan apa yang ingin kami perkenalkan kepada para delegasi.”
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang menjadi kemuncak kepada pengerusian Malaysia dengan tema “Inklusiviti dan Kelestarian”, dijangka menarik kehadiran barisan pemimpin berprofil tinggi, termasuk Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Perdana Menteri India Narendra Modi, yang memilih untuk menyertai secara dalam talian.
Antara pemimpin serantau yang akan hadir ialah Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Timor-Leste Jose Alexandre Gusmao. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
