Penemuan mayat bayi di Cameron Highlands, remaja 19 tahun mengaku jalani hubungan terlarang dengan kakak tiri


  • Kes
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi ditanam di kawasan bukit di Kampung Melayu Desa Kayangan. — IPD Cameron Highlands

SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dan kematian seorang bayi lelaki di kawasan berbukit Kampung Melayu Desa Kayangan, Brinchang, Cameron Highlands, Pahang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat daripada bapa suspek selepas menemukan mayat bayi tersebut kira-kira pukul 10 pagi hari sama.

“Ketika menuju ke tangki air di belakang rumah, bapa suspek terlihat satu kawasan tanah yang telah digali.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada petunjuk baharu, operasi SAR Ija Nizaruddin di Sungai Tui ditamatkan

BACA LAGI: Polis siasat punca sebenar kematian pelajar asrama perempuan di Papar

"Beliau kemudian menemui kain putih yang di dalamnya terdapat mayat bayi terbabit dan terus menghubungi polis,” katanya.

Dalam siasatan lanjut, suspek yang bekerja sebagai pekerja pembersihan inap desa mengaku telah menanam mayat bayi berusia dua hari itu, anak kandung daripada kakak tirinya yang berusia 21 tahun.

Mayat bayi lelaki berkenaan dilaporkan ditemukan berdekatan dengan tangki air di kawasan bukit berhampiran rumah suspek. — Gambar hiasan

"Hasil siasatan, suspek turut mengaku melakukan hubungan seks dengan kakak tirinya hingga hamil.

"Selepas wanita terbabit bersalin, suspek membawa bayi terbabit ke kawasan bukit dan menanam bersama uri," katanya.

Polis menahan suspek pada pukul 5.30 petang di kediamannya dan merampas peralatan seperti cangkul dan penyodok yang dipercayai digunakan untuk menggali lubang sebelum menguburkan bayi tersebut.

Suspek kini direman selama empat hari bermula Jumaat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram